Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTangkak – Encik Azimin Daud, penulis Asal Usul Batu Badak dan Batu Kerbau terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), iaitu pemenang kategori Buku Bergambar Kanak-kanak, Anugerah Persuratan Selatan telah dijemput berkongsi proses kreatif beliau sempena Hari Pengkarya Selatan di Pejabat Pendidikan Daerah Tangkak, baru-baru ini.
Beliau kata idea untuk menulis buku ini tercetus sewaktu sedang belajar di Universiti Putra Malaysia (UPM). Ketika itu, beliau diamanahkan untuk membuat kerja lapangan di Seri Menanti, Kampung Gunung Pasir, Negeri Sembilan. Ujar beliau;
Di kampung ini terdapat banyak cerita lisan yang tidak dibukukan seperti kisah Kampung Surau Terbakar, Tuk Gadang, Batu Badak, Batu Kerbau dan Batu Putih.
Saya memilih untuk membuat kajian mengenai kisah Batu Badak dan Batu Kerbau dengan bantuan Pak Shukur, seorang penglipur lara dari kampung Buyau. Berdasarkan sumber cerita daripada beliau, maka terhasillah buku cerita bergambar kanak-kanak yang terbit pada hari ini.

Lantaran hal ini membuatkan beliau menjadi lebih bersemangat untuk menghasilkan buku-buku yang memberi pengajaran kepada kanak-kanak disamping berkongsi cerita, nilai-nilai murni dan ilmu pengetahuan.
Selain itu, sebagai penulis yang masih baru dalam dunia penulisan buku kanak-kanak, beliau mengharapkan sokongan pembaca agar dapat terus berkarya serta menghasilkan buku yang berkualiti.
Program ini turut diserikan dengan kehadiran Ketua Pengarah DBP, Dr. Hazami Jahari diiring Pengarah DBP Wilayah Selatan, Encik Mohd Riduwan Wahab dan Ketua Satu Persatuan Penulis Johor, Amiruddin Md Ali Hanafiah, dan Ketua Satu Komuniti Buku Pengkarya Johor (KBKJ), Encik Isnin Tawaf.
Program ini merupakan anjuran DBP Wilayah Selatan dengan kerjasama KBKJ dan PPD Tangkak menghimpunkan pengkarya-pengkarya yang hebat daripada wilayah selatan antaranya Dr. Maskiah Masrom, Haji Shapiai Haji Ramli, Aminah Mokhtar, Aladin Mohamad dan Mohammad Musip.
