Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSibu –Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak telah menganjurkan Bengkel Perolehan Penerbitan Berkala di Pustaka Negeri Sarawak, Sibu pada 12 dan 13 Ogos 2023 yang lalu.
Bengkel ini telah disertai seramai 25 orang yang kebanyakan daripada peserta Peraduan Karya Kreatif Hari Guru, anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak dan turut dihadiri oleh penulis mapan seperti Encik Juni Jon Aji Noor, Encik Harun Siji dan Ts. Toh Chee Leong.
Penganjuran bengkel ini bertujuan menemukan penulis mapan dan pemula berkongsi pandangan, menjadi medan perbincangan efektif dan menghasilkan idea yang berkualiti.
Para peserta turut diberikan panduan penting berkaitan proses penghantaran karya, merangkumi syarat-syarat, spesifikasi penulisan dan sebab-sebab penolakan sesebuah karya.
Sesi bengkel ini turut menerangkan akan kewujudan portal penyiaran karya dalam talian baharu, iaitu WadahDBP, sebuah portal yang baru sahaja dilancarkan pada bulan Jun yang lepas.
Selain itu, lima buah ruangan penerbitan karya telah diperkenalkan kepada para peserta, antaranya ruangan ‘Yang Indah Itu Bahasa’ (Utusan Borneo), ‘Wadah Bahasa dan Sastera’ (Utusan Sarawak), ‘Tinta Inspirasi Sasterawan Sarawak’ (Suara Sarawak) dan ‘Bahasa Ekspresi Sastera Tunas’ (Sin Chew Daily).

Pada hari kedua bengkel, para peserta telah diminta membentang karya. Walaupun kebanyakan peserta ialah penulis pemula, atau boleh disebut sebagai “penulis peraduan” (cuma menulis untuk peraduan), namun semangat sastera yang ada dalam jiwa setiap peserta berkobar-kobar apatah lagi dengan respons positif dan membina yang diberikan oleh penulis mapan.
Puan Grace Julan Chambers, Guru Cemerlang SMK Kanowit menzahirkan keterujaan dapat menghasilkan puisi dalam bahasa Melayu.
Saya sangat teruja apabila dapat menghasilkan puisi dalam bahasa Melayu kerana sebelum ini saya lebih banyak menghasilkan cerpen dalam bahasa Inggeris. Karya-karya saya tulis sebelum ini hanya disimpan sebagai koleksi peribadi namun setelah menyertai bengkel ini, saya tahu medium terbaik untuk berkongsi karya-karya pada masa akan datang.