Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Liga Kesusasteraan Islam Antarabangsa Malaysia meneruskan inisiatif penganjuran Forum Bulanan Kesusasteraan Islam kali ke-7 dengan menjemput Prof. Emeritius Dr. Muhammad Bukhari Lubis sebagai tetamu undangan pada jumaat yang lepas.
Beliau menjelaskan “Kesusasteraan Islami Bandingan: Keterlibatan Seorang Sarjana” yang mana pernah disyarahkan ketika beliau dilantik sebagai profesor di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada tahun 2017.
Sebagai permulaan, beliau menceritakan individu yang banyak memberi inspirasi dan dorongan untuk menyelami isi kesusasteraan berbentuk islam. Ujarnya;
Almarhum Tan Sri Prof. Emeritus Dr. Mohd. Kamal Hassan ada menemui dan bertanya kepada saya tentang rancangan masa depan dalam bidang akademik. Anta (awak) sekarang ini sibuk dengan polemik Sastera Islam. Anta ambil Sastera Islam, anta buat muqaranah (perbandingan). Anta boleh bahasa Arab, jadi belajar bahasa Islami kedua iaitu bahasa Parsi.
Atas dorongan inilah menyebabkan beliau melanjutkan pengajian dalam bidang Kesusasteraan Islami Bandingan pada peringkat ijazah Sarjana di University of Chicago, dan ijazah Doktor Falsafah di University of California, Berkeley.
Seterusnya, beliau menjelaskan perihal sastera yang dikaitkan dengan Islam. Sastera Islam perlu difahami berdasarkan kesedaran diri sebagai seorang Muslim yang perlu berserah diri kepada Allah SWT dengan sepenuh hati. Konsep sastera sebagai dakwah mencerminkan kefahaman seseorang terhadap tujuan penciptaannya di atas dunia ini. Katanya;
Dalam kesusasteraan, struktur yang indah sahaja tidak mencukupi. Kita perlukan dua keindahan, iaitu keindahan luaran atau bahasa, dan yang kedua keindahan isi. Kalau isinya seperti menulis novel dengan bahasa yang lucah, dan novelis kemudian meninggal dunia dengan orang ramai terus membacanya, maka adakah itu yang akan dikira sebagai ibadat?
Selain itu, Prof. Emeritius Dr. Muhammad Bukhari Lubis juga mempunyai pandangan tersendiri tentang konsep bandingan. Menurut beliau, seseorang yang mengkaji karya sastera dari Malaysia dan Indonesia belum termasuk dalam konteks ‘bandingan’ yang sebenar kerana kajian melibatkan bahasa yang sama. Justeru, menurutnya konsep “bandingan” dalam konteks kajian kesusasteraan mestilah melibatkan bahasa yang berbeza sepertimana yang ditekuninya melibatkan kesusasteraan Melayu, Arab, Turki dan Parsi.
Penganjuran Forum Bulanan Kesusasteraan Islam diadakan bagi menyemarakkan wacana berkenaan dengan Sastera Islam bukan sahaja melibatkan sarjana di Malaysia tetapi juga di Timur Tengah. Ini bertepatan dengan fokus Sastera Islam yang sangat dekat dengan Kesusasteraan Arab.
Majlis yang dijalan secara dalam talian turut disertai oleh Pengerusi Liga Kesusasteraan Islam Antarabangsa Malaysia, YBhg Prof. Madya Dr. Abdul Rahman Chik dan dikendali oleh Dr. Wan Rusli Wan Ahmad, iaitu Timbalan Pengerusi Liga Kesusasteraan Islam Antarabangsa Malaysia.