Diterbitkan pada 2 Jun 2023, 16:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Walaupun telah menjangkau berabad lamanya, namun karya klasik perlu diinterpretasikan ke dalam sebuah karya moden”.

Hal ini telah dirungkaikan oleh Sasterawan Negara (SN) ke-13, Dato Zurinah Hassan dalam program Bual Bicara Eksklusif Sasterawan Negara 2023 anjuran Persatuan Industri Buku Malaysia (PIBM) yang berlangsung semasa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) baru-baru ini.

Menurut beliau pengisian yang terdapat dalam karya-karya sastera tradisional seperti cerita klasik bukanlah berkisarkan tentang sebuah ‘kisah’ semata-mata tetapi dalam masa yang sama turut mempunyai makna yang sangat mendalam.

Kisah itu bukan sekadar hikayat tetapi intinya yang mampu menjernihkan minda kita berfikir. Hal begitulah menyebabkan karya-karya sebegini harus dibawa ke bentuk moden untuk dibicarakan.

Selain itu, beliau juga turut berkongsi pengalaman menghasilkan karya sebelum dan setelah dinobatkan sebagai penerima anugerah Sasterawan Negara Ke-13. Menurut beliau perbezaan yang paling ketara adalah dari segi komitmen sebelum dan selepas menjadi SN.

Sewaktu kecil, beliau menulis hanya sekadar berkarya dan berseronok. Kemudian setelah meningkat usia barulah beliau terdetik untuk mengetengahkan isu tentang orang miskin, petani, peladang, nelayan dan sebagainya. Kini, setelah dianugerahkan sebagai SN, pelbagai perkara harus dilakukan dan tidak semata-mata tertumpu kepada penghasilan karya.

Hal seperti berkongsi pengalaman dan menggalakkan penulis muda berkarya merupakan sebahagian rutin sebagai SN. Pada sesi akhir program, turut dilancarkan buku Mutiara Pantun Melayu.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi