Oleh Hidayyah AT Mizi
31 Mei 2023, 15:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Hidayyah AT Mizi memberikan reaksi dan pandangannya terhadap isu lambakan puisi di media sosial dan kekurangan pengkritik sastera yang aktif.

Saya melihat kepentingan ilmu kritikan sebagai sesuatu yang sangat kritikal kerana kritikan yang sihat dapat membantu penulis menulis dengan lebih baik. Kalau kita hilang pengkritik, kita juga bakal kehilangan 50 peratus potensi penulis untuk menulis dengan lebih baik.

Lambakan puisi sepatutnya diraikan. Inilah petanda negara kita tidak kekurangan pencinta sastera. Salah satunya ialah kecintaan terhadap puisi. Hari ini, semakin ramai anak muda mula menulis puisi. Harus diakui, pengaruh teman sebaya banyak mempengaruhi trend anak muda masa kini.

Seandainya aktiviti menulis puisi di media sosial dikecam, dikhuatiri isu inklusif lwn. eksklusif akan menjadi suatu polemik yang berterusan. Hal ini kerana, kebanyakan penulis pemula menulis di media sosial sebagai satu cabang untuk dilihat dan didengari, selain usaha membina pengaruh.

Namun tidak dinafikan, lambakan karya kurang berkualiti seharusnya diambil perhatian. Perhatian yang saya maksudkan bukanlah tentang kaedah penulisan yang lebih baik. Kaedah ini boleh dipelajari oleh penulis secara berperingkat. Perhatian yang saya maksudkan ialah kaedah mengembangkan potensi penulis pemula ini untuk menulis dengan lebih baik.

Dalam esei bertajuk, “Puisi Sekarang Banyak Merapu?” dalam Berita Harian menyatakan tiga isi penting;

  1. Terjadinya lambakan puisi di media sosial seolah-olah mencerminkan ketergesaan menulis, menyebabkan berlakunya banyak kesilapan dalam penghasilan puisi, seterusnya puisi tersebut gagal ditulis dengan baik.
  2. Oleh sebab itu, kualiti puisi kurang bagus. Selain pengulangan subjek tanpa pembaharuan bahasa dan gaya, menyebabkan wajah puisi kelihatan lusuh.
  3. Tambahan pula, kritikan dilihat tidak relevan, seolah-olah kritikan itu membunuh.

Isi ketiga ini menarik minat saya untuk bereaksi dengan lebih mendalam kerana isi ini saling berkaitan dengan isi pertama dan kedua.

Memetik daripada esei yang sama, “Ia tidak dinamik dengan kehadiran kritikan kerana ramai merasakan kritikan itu membunuh.”

Kritikan sangat berkait rapat dengan penghasilan puisi yang matang, kerana itu saya tekankan perihal kritikan ini. Sejujurnya, isu “kritikan itu membunuh” bukanlah penyebab yang menjadikan kritikan tidak relevan; sebaliknya siapa yang sudi mengkritik puisi yang disiarkan di media sosial?

Kritikan bukan kutukan. Kritikan membantu penulis menambah baik tulisan. Kutukan mematikan penulis. Tidak kira karya di media sosial atau media cetak, kritikan sentiasa membantu penulis membaiki kesilapan mereka.

Dulu, kritikan dilakukan dalam kalangan penulis juga sebagai satu usaha membantu sesama sendiri. Namun begitu, berapa ramaikah pengkritik yang kita ada sekarang? Berapa ramai pengkritik dalam kalangan penulis masa kini yang tahu seni mengkritik? Dan, apakah yang perlu dijelaskan untuk membantu sesuatu karya itu ditambah baik? Itulah masalah semasa dalam kesusasteraan negara sekarang. Kita berhadapan dengan kekurangan pengkritik dan akhirnya penulis pemula (khususnya) gagal menghasilkan karya yang matang dan bagus.

Sekali lagi ditegaskan, hubungan penulis dan pengkritik ini saling memerlukan untuk sastera berkembang di negara kita. Penghasilan lambakan puisi yang belum matang bukanlah isu paling besar. Hal ini kerana, penulis dan pembaca akan membesar bersama-sama penulisan dan pembacaan mereka. Tidak timbul isu kalau puisi tersebut lemah, pembaca juga turut terperangkap dalam radar yang sama. Demi masa, penulis akan menulis dengan lebih baik. Pembaca juga akan menjadi semakin bijak untuk memilih bahan bacaan. Yang sakitnya, kesusasteraan tidak akan berkembang.

Isunya juga bukan tentang kesediaan menulis, tempoh penulisan atau kesediaan menerima kritikan. Hal-hal yang melibatkan proses ini memungkinkan penulis untuk mencari jalan keluar mereka sendiri.

Isu paling utama yang perlu diberikan perhatian ialah; bagaimana mengajarkan falsafah dan seni mengkritik dalam kalangan penulis itu sendiri?

Kenapa saya fokuskan kepada penulis?

Kita pun sedia maklum, dalam zaman teknologi begini, jika masih mengharapkan golongan akademik sahaja untuk mengkritik— seni kritikan akan terus lenyap sikit masa lagi, dan isu lambakan puisi kurang berkualiti juga tidak akan selesai.

Hal ini kerana kita tidak ada ilmu mengkritik.

Saya melihat kepentingan ilmu kritikan sebagai sesuatu yang sangat kritikal kerana kritikan yang sihat dapat membantu penulis menulis dengan lebih baik. Kalau kita hilang pengkritik, kita juga bakal kehilangan 50 peratus potensi penulis untuk menulis dengan lebih baik.

Saya membayangkan program Minggu Pengkritik Muda sebagai usaha yang membina kumpulan pengkritik sastera, meniru usaha Minggu Penulis Remaja yang sudah berhasil.

Bezanya, dalam Minggu Pengkritik Muda, berikan peserta yang menyertai program ini beberapa tugasan penting selepas bengkel. Contohnya, program mentor-menti dalam kalangan penulis sendiri.

Bayangkan, kalau ramai pengkritik dilahirkan dalam kalangan penulis, dan mereka bekerjasama dalam menghasilkan karya yang lebih bermutu dan menjadi penulis yang lebih baik; bukankah isu lambakan puisi kurang bermutu dan isu kekurangan pengkritik dapat mencapai titik peleraian?

Mungkin bunyinya terlalu “di atas kertas”, tetapi kalau ada jalan untuk diusahakan — kenapa tidak?

Kredit Foto: Europeana/Unsplash

_________________________

Hidayyah AT Mizi ialah penulis dari Perak. Beliau banyak menyumbangkan puisinya di beberapa media massa. Kata-kata yang Muncul di Cermin (Kata-Pilar, 2021) merupakan kumpulan puisi sulungnya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.