Oleh M. Emir
24 Mei 2023, 15:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

M. Emir memberikan reaksi dan pandangannya terhadap tulisan Ibnu Din Assingkiri, “Boleh atau Tidak Sang Penyair Membuat Apresiasi Karya Sendiri?

Dalam sesetengah keadaan, sekiranya sesebuah puisi mempunyai pelbagai tafsiran (dan tidak pula ada yang menjadikan maknanya tuntas), saya kira, puisi itu telah berjaya untuk membawa pembaca ke kendang perbincangan yang lebih serius.

Boleh atau tidak sekiranya pemikiran yang disampaikan oleh penulis tidak selari dengan makna yang terbang ke minda pembaca? Jawapan saya: Ya, dibenarkan. Sebagai reaksi terhadap tulisan Ibnu Din Assingkiri, tidak menjadi satu kesalahan pun sekiranya pembaca memahami sebuah karya yang berbeza daripada apa yang hendak disampaikan oleh penulis asalnya, kerana hal ini pasti akan menimbulkan perbincangan yang lebih kritis dan meluas terhadap sesebuah karya.

Sebagai penulis, saya sendiri pun pernah terjebak dengan situasi ini, akan tetapi, saya rasa tidak perlulah sampai hendak mengapresiasikan karya saya sendiri kerana saya tahu, sekiranya saya berbuat demikian, pembaca akan lebih terbatas untuk memahami makna puisi yang disampaikan, mengikut tafsiran masing-masing. Sedangkan, puisi adalah antara karya kreatif yang berada pada puncak karya sastera.

Dalam sesetengah keadaan, sekiranya sesebuah puisi mempunyai pelbagai tafsiran (dan tidak pula ada yang menjadikan maknanya tuntas), saya kira, puisi itu telah berjaya untuk membawa pembaca ke kendang perbincangan yang lebih serius. Apabila sesebuah karya itu diperdebatkan secara serius, secara logiknya, karya tersebut akan menghubungkan sel-sel otak pembaca yang pada akhirnya akan melahirkan masyarakat yang kritis.

Malah, selain mengekspresikan perasaan, saya juga yakin anda semua tahu bahawa puisi perlu mengandungi pemikiran. Pemikiran pada tahap yang serius akan terbit bersama karya yang mempunyai pelbagai tafsiran terhadapnya. Bukanlah saya hendak menyatakan yang karya yang sukar difahami akan lebih mendapat tempat. Perlu difahami, karya yang sukar difahami dan karya yang menimbulkan pelbagai definisi pada pembaca adalah berbeza.

Jika sesebuah karya itu sukar difahami, maka, karya itu mungkin sebenarnya telah ditutupi dengan ungkapan retorik-bombastik supaya orang ramai perlu membuka Kamus Dewan pelbagai edisi untuk mencari makna yang tersembunyi, seolah-olah penulis sedang bermain sorok-sorok dengan pembaca. Sebagai contoh, penulis yang menyelindungkan “kesedapan” dan “kelazatan” karyanya melalui bahasa-bahasa, seperti ‘bianglala’, ‘jumantara’, ‘bumantara’ dan seangkatan dengannya terlalu banyak, sedangkan diksi-diksi itu sendiri asing bagi mereka. Itulah contoh penulis yang berjalan membelakangi kenyataan. Maksud bagi karya yang mempunyai pelbagai tafsiran pula cukup mudah: Apabila karya itu dinilai daripada beberapa perspektif yang berbeza, ya, panggillah karya itu dengan gelaran sebagai karya yang mempunyai berbagai-bagai definisi.

Saya berikan satu contoh puisi yang saya karang (yang belum pernah tersiar di mana-mana penerbitan dan ini hanyalah contoh). Mengapa saya mengambil contoh puisi yang belum pernah tersiar? Ya, supaya anda semua tidak melulu menyalahkan saya dengan isi esei yang bercanggah dengan feel saya yang mengapresiasi karya saya. Jika belum diterbitkan, ya, terserahlah.

I

Ingatan adalah air tin soya kedai belakang
Yang dimasukkan ke dalam peti ais

 Kemudian dibawa keluar apabila haus menjemput
& dibiarkan beberapa lama sebelum rakus kuteguk

II

Cinta rasa sayang hei masih remaja 4 tahun lalu
& kita masih belajar nama-nama lain bagi cabaran

 & gelak comel serta nafas kerja rumah matematik
Yang turun-naik hembus emasnya sahaja nan kita temukan

 Perasaan persis butir gula semakin manis, manisnya
Sehingga aku wajar berterima kasih kerana kaumengajarkanku

 Sesuatu; memulakan cinta adalah cara lain bagi
Memutuskan persahabatan utuh nir-rapuh

 Nostalgia adalah musuh yang nyata

  

 

 

Tetapi,
kenyataan adalah peria paling pahit.

Melalui puisi ini, ada beberapa tafsiran boleh dilakukan. Pertama, pembaca boleh menyatakan bahawa puisi ini ialah luahan seseorang yang putus cinta bersama kekasihnya pada empat tahun dahulu dan air soya mengingatkannya tentang perhubungan mereka. Makna kata tafsiran pertama ini menyatakan bahawa cinta seseorang itu berputik daripada air soya yang barangkali si lelaki ini belikan kepada si kekasih. Tafsiran kedua pula boleh tahan logik dek akal dengan menyatakan bahawa ini adalah hanya halusinasi penulis terhadap cintanya, dan hal ini dikuatkan lagi dengan bait akhir. Penulis sengaja menjarakkan beberapa baris dan menuliskan bahawa “kenyataan adalah peria paling pahit” diikuti dengan kata ‘tetapi’ di atasnya.

Ada dua pendapat terhadap petikan puisi ini. Mana satu yang betul? Tidak akan pernah ada dan hujah masing-masing akan mencambahkan lagi buah fikiran pembaca. Demikian, sedikit respons saya terhadap esei Ibnu Din Assingkiri.

Kredit Foto: Wonderlane/Unsplash

_________________________

M. Emir merupakan penulis yang berasal dari Kuantan, Pahang. Beliau telah menghasilkan beberapa buah puisi eceran yang tersiar dalam Tukang Puisi dan Selangorkini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.