24 Mei 2023, 08:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ibnu Din Assingkiri memberikan reaksi dan pandangannya terhadap tulisan Raja Yusoff Ariffin, “Penyair Perlu Memahami Puisi Sendiri?

Mampukah manusia menjadi neutral dan telus apabila menghakimi diri sendiri?

Boleh atau tidak sang penyair membuat apresiasi terhadap karyanya sendiri? Jawapannya: tentu saja boleh. Akan tetapi, perlu juga dilihat untuk apa penyair berbuat demikian. Jikalau untuk tujuan mempertahankan penyimpangan tatabahasa (penggunaan licentia poetica) atau untuk tujuan membimbing, tentu saja boleh.

Ada keperluan untuk penyair mengulas puisinya sendiri apabila ditanya tentang penyimpangan tatabahasa yang ada dalam karyanya. Pembaca perlu tahu mengapa penyimpangan itu dilakukan. Apakah sumbangannya dalam pengindahan karya dan sebagainya.

Jikalau penyair itu merupakan pembimbing penulisan, tentu lebih selesa (dan selamat) apabila menjadikan karya sendiri sebagai bahan kajian kes. Dalam sesi ceramah atau bengkel penulisan, penyair akan membuat ulasan/apresiasi karya sendiri kepada peserta bengkel.

Jikalau penyair membuat ulasan/apresiasi untuk tujuan selain yang disebutkan awal tadi, berkemungkinan besar akan terjadi beberapa hal yang tidak membantu dalam perkembangan sastera.

Hal yang terpenting sekali yang perlu difahami ialah para pengkritik perlu neutral dan telus dalam kerja mereka. Hal ini kerana, perkataan critic itu sendiri berasal daripada bahasa Yunani, iaitu krites, yang bermaksud “hakim”.

Maka, sudah menjadi tanggungjawab seorang hakim untuk menghakimi dengan adil. Langkah pertama untuk berlaku adil adalah dengan menjadi neutral dan telus.

Mampukah manusia menjadi neutral dan telus apabila menghakimi diri sendiri? Jawapannya tentu sekali sukar! Senario yang sama berlaku semasa membuat edit (kendiri) pada karya sendiri. Penulis biasanya akan terlepas pandang kesalahan sendiri walau sehebat mana pun dia dalam ilmu penyuntingan.

Kerahsiaan dalam puisi tidak semestinya ketaksaan yang melampau sehingga penyair langsung tidak meninggalkan tanda-tanda kepada pembacanya.

Teringat saya akan kata-kata Sasterawan Negara Baha Zain, “Puisi tidak berbicara segalanya dan tidak kepada semua.” Begitu juga kata-kata Allahyarham Jamaluddin D., “Puisi itu ada rahsianya …”

Dua penyair mapan ini menyebut tentang kerahsiaan puisi yang menjadi salah satu kriteria seni yang indah. Kerahsiaan ini tidak semestinya ketaksaan melampau sehingga penyair langsung tidak meninggalkan tanda (clue) kepada pembaca.

Saya bersetuju bahawa puisi itu harus menyimpan rahsia melalui seni bahasanya. Melalui gaya bahasa dan simbolik dalam diksi, penyair tidak berterus-terang menulis dengan terang-benderang. Inilah salah satu daripada keindahan puisi – kerahsiaan yang diberikan tanda untuk digali maknanya oleh pembaca.

Jika makna asal penyair disuap kepada pembaca oleh penyair sendiri, maka kita tidak perlu lagi pada ilmu kritikan serta kajian puisi. Hal ini menjadikan ilmu kritikan dan kajian berkaitan menjadi lewah (redundant).

Roland Barthes melalui eseinya bertajuk “The Death of the Author” telah menolak tanggapan tradisional bahawa pengarang sebagai sumber makna dan berautoriti dalam mentafsirkan karyanya.

Esei ini melahirkan teori resepsi, teori fenomenologi, teori respons pembaca, dan teori-teori lain yang menghilangkan/mematikan penulis sebagai sumber makna karya.

Hubungan makna asal teks sudah terputus daripada penulis sejak karyanya tersiar. Pengkritik akan memaknai karya penulis itu melalui tanda-tanda yang ditinggalkan oleh penulis dalam puisi. Dengan cara ini, makna puisi akan lebih luas penerokaannya. Inilah salah satu cara wacana sastera berkembang.

Untuk puisi konvensional, lebih sesuai kita pautkan saja pada esei dan pendapat Roland Barthes dalam “The Death of the Author”. Untuk puisi Islamik, penulislah yang patut memudahkan pemaknaan dan menulis dengan gaya sihat (uslub mahmudah) untuk mengelakkan pemesongan daripada makna asal.

Di Malaysia, bermula dengan tulisan Aminuddin Baki bertajuk “Pandangan Seorang Penuntut Tinggi Kita tentang Sebuah Buku Melayu” dalam Utusan Zaman pada 12 Jun 1949 yang mengkritik karya novel Keris Maslah yang telah memulakan aktiviti kritikan yang hidup bernyawa selama 74 tahun, sampai hari ini …

_________________________

Ibnu Din Assingkiri berasal dari Singkir Laut, Kedah. Beliau telah menghasilkan dua kumpulan cerpen, empat kumpulan puisi serta berpuluh antologi pelbagai genre terbitan di Malaysia dan Indonesia. Turut terlibat sebagai editor, penyelenggara serta pembimbing bengkel penulisan kreatif. Karya eceran puisi, cerpen dan eseinya terbit di pelbagai media tempatan dan antarabangsa.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.