Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangSelain wajarnya menulis perkara yang baik-baik, penulis juga kerap diingatkan agar menulis hal yang mereka ketahui sahaja agar tulisan tersebut berwibawa. Raja Yusoff Ariffin beranggapan penulisan puisi juga harus begitu.
Barangkali ada yang mempertikai atau bertanya apa perlunya penyair mengulas puisi sendiri. Bagi saya, kecenderungan ini ada kebaikannya. Paling tidak, dapat menunjukkan seseorang penyair itu tahu apa yang beliau sampaikan menerusi puisi ciptaannya.
P erlukah penyair mengetahui dan memahami puisi-puisi yang dicipta, atau dikarangnya? Adakah perkara tersebut menjadi syarat untuk bergelar penyair? Setakat ini, saya tidak pernah mendengar bahawa dengan memahami puisi ciptaan sendiri adalah menjadi sebuah perkara yang mustahak. Tidak aneh atau menghairankan apabila terhasilnya puisi, kebiasaanya akan diulas atau diperkata oleh orang lain. Walau bagaimanapun, tidak salah dan bukan satu perbuatan yang pelik jika penyair (mampu) mengulas puisi-puisinya sendiri.
Menyingkap sejarah dan setakat yang saya ketahui, majalah Dewan Sastera (DS) hampir empat dekad lalu telah membuka ruang atau mengorak langkah permulaan melakukan hal tersebut. Dalam keluaran bulan Mac 1986, DS telah menyiarkan ulasan Kemala (ketika itu belum lagi bergelar Datuk Dr. dan Sasterawan Negara ke-11) untuk puisi-puisi beliau sendiri. Pada masa itu, ramai yang mengakui dan merungut puisi-puisi mutakhir Kemala sukar difahami berbanding puisi-puisinya yang awal. Para penyair yang baru muncul mengatakan, mereka sukar untuk mengunyah dan menghadaminya.
Melihat pada potensi dan manfaat yang bakal diterima daripada langkah mengulas puisi sendiri, sambil menolak beberapa kelemahan, kecenderungan ini wajar diteruskan selagi atau asalkan karyawan terbabit tidak salah mentafsir dan mengulas. Memang ada yang berpendapat dan berharap bahawa langkah mengulas puisi sendiri ini dapat diteruskan, dan menjadi ikutan atau budaya. Namun demikian, masa berlalu pantas menyaksikan kecenderungan tersebut tidak mendapat sambutan, seterusnya menyebabkan tiada kesinambungan. Dalam kata lain, aktiviti ini terbantut. Mungkinkah kerana penyair memang tidak memahami puisi sendiri (dan hal ini dikesali), ataupun malas, serta pihak media penyiar tidak dapat, atau bersedia memenuhi saranan yang dikemukakan?
Sejak 40 tahun yang lalu, puisi sesiapa pun tetap akan diulas atau diperkata oleh orang lain. Barangkali ada yang mempertikai atau bertanya apa perlunya penyair mengulas puisi sendiri. Bagi saya, kecenderungan ini ada kebaikannya. Paling tidak, dapat menunjukkan seseorang penyair itu tahu apa yang beliau sampaikan menerusi puisi ciptaannya. Ulasan tersebut juga selaras dengan hakikat mukadimah tulisan ini, iaitu penyair tahu apa yang ditulisnya, atau persoalan mahupun tema puisinya sendiri.
Dengan langkah atau usaha tersebut, dapatlah pembaca, pemerhati dan peminat puisi mengetahui bahawa penyair mampu menghuraikan bukan sahaja barisan bait yang indah disusun, malah turut mengesan sama ada sesuatu baris tersebut berisi atau kosong. Mengikut logiknya, tentu atau mestilah penyair sendiri lebih mengetahui dan memahami karyanya.
Ada pihak yang mendakwa penyair (terutamanya yang baru muncul) tidak mengerti dan memahami puisi-puisi sendiri! Kata mereka, penyair tersebut hanya berbangga kerana berjaya menghasilkan puisi, lebih-lebih lagi apabila karya mereka tersiar. Apabila ditanya apakah maksud atau temanya, mereka gagal menjawab.
Namun begitu, benarkah ada penyair yang tidak memahami puisi sendiri? Jika benar pun, adakah dia perlu mahu mengaku, atau perkara tersebut tidak penting, lantas berterusan menjadi rahsia. Dalam hal ini, saya pernah diberitahu bahawa ketika menjadi editor DS, Usman Awang (Datuk (Dr.) dan Sasterawan Negara ketiga) suka menyiarkan puisi yang beliau tidak fahami. Ertinya, semakin kabur puisi itu, semakin beliau suka atau cenderung untuk menyiarkannya.
Setahu saya juga, antara penyair seangkatan dengan Usman dan turut bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka ialah Allahyarham Suhaimi Haji Muhammad. Pengkritik memang mengatakan puisi-puisi karya Suhaimi atau Pak Su kabur, tetapi kerap tersiar dalam DS. Usman tidak pula meminta Pak Su turut mengulas puisi-puisi sendiri. Ada pihak yang mendakwa penyair (terutamanya yang baru muncul) tidak mengerti dan memahami puisi-puisi sendiri! Kata mereka, penyair tersebut hanya berbangga kerana berjaya menghasilkan puisi, lebih-lebih lagi apabila karya mereka tersiar. Apabila ditanya apakah maksud atau temanya, mereka gagal menjawab.
Ada juga yang mengesyorkan agar editor sastera akhbar dan majalah dapat menyiarkan dua atau tiga buah puisi bersama-sama ulasannya dalam setiap keluaran. Kalau seseorang itu selalu mengirim banyak puisi, maka ulasannya eloklah sebanyak itu juga. Barangkali perkara ini dianggap ideal, tetapi akan membebankan pihak editorial dan penulis. Walau bagaimanapun, demi kemajuan dunia sastera negara, khususnya dalam genre ini, perkara sebegini tetap membawa kebaikan dan manfaat.
Ulasannya tidak perlu terlalu panjang, kecuali tidak dapat dielakkan. Bergantung juga pada bentuk, iaitu panjang atau pendek puisi. Hal yang lebih penting, jika pendek, puisi harusnya padat. Jika panjang pula, lebih baik lengkap semuanya. Kalau difikirkan, perkara ini akan turut membantu pihak editorial memahami puisi yang dikirimkan kepada mereka. Begitupun, itu bukan sama sekali mahu menidakkan kebolehan editor dalam hal menilai puisi, tetapi diakui ada juga puisi-puisi yang terlalu atau agak kabur sehingga sukar difahami, dan terpaksa dibakulsampahkan.
Namun demikian, dengan berpandukan ulasan yang disediakan, pihak editorial dapat memahami dan membuat pertimbangan sebelum menolaknya. Walau bagaimanapun, dalam hal ini, kita tetap tidak menolak soal mutu. Puisi dan ulasan yang dikirimkan mestilah turut berkualiti. Berdasarkan hakikat ini dan juga mengikut logik serta kewajaran, tidak semestinya semua puisi akan disiarkan. Barangkali ada puisi yang baik, tetapi ulasannya tidak. Mungkin juga sebaliknya. Pendek kata, puisi dan ulasan yang baik dan bermutu sahaja yang layak disiarkan.
Sewajarnya dan diharapkan, pengulas puisi juga (perlu) mampu menyelami apa yang tersirat di sebalik puisi (tersurat) orang lain yang diulasnya. Bergantung juga pada kebolehan dan ilmu pengetahuan yang dimilikinya. Walaupun hampir-hampir menyamai, tetapi masih lagi berbeza.
Apa yang diulas oleh orang lain, serba sedikit masih tidak sama dengan apa yang diulas oleh penciptanya sendiri. Inilah sisi yang ingin kita ketahui, dan masalah yang perlu diatasi.
Sidang editorial boleh menyiarkan puisi dan ulasan yang terpilih di ruangan puisi, atau jika tidak boleh, di halaman sastera yang berasingan. Apa yang penting, kita mengetahui apa yang tepat daripada penciptanya sendiri menerusi kecenderungan ini.
______________________________
Raja Yusoff Ariffin menulis puisi (sajak dan pantun), cerpen, rencana, ulasan, kritikan, dan berita sejak tahun 1982. Antara karyanya termasuklah buku esei Raja (Yusoff Ariffin) dalam Sastera Rakyat (1991), kumpulan drama remaja Sketsa Bas Mini (DBP, 1993), novel kanak-kanak Bangsal di Tepi Pantai (Vital Star, 1997), serta kumpulan puisi Belum Selesai (ITBM, 2016).