17 Mac 2023, 08:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Mohd Fadzil Yusof membentangkan sejarah sastera tempatan yang dibumbui oleh gagasan Seni untuk Masyarakat, kewibawaannya, tetapi juga masa untuk meneliti kembali cabang-cabang baharu, sesuai dengan peredaran zaman.

Tidak terlalu ketara, jika disebutkan di sini, sastera yang diperjuangkan oleh ASAS 50 ialah sastera yang bersifat fungsional, sastera yang menggerakkan dan mencetuskan kelangsungan tindakan terhadap khalayak dengan suatu kesedaran jelas tentang suatu hala tuju.

Agak menarik untuk mengimbas kembali gerakan sastera dan budaya nan besar pengaruhnya dalam sejarah kebangkitan nasionalisme di negara kita, iaitu Angkatan Sasterawan 1950 atau ASAS 50, serta “tragedi” perpecahannya kepada dua kumpulan, iaitu kumpulan yang menyokong “Seni untuk Masyarakat” dan “Seni untuk Seni” yang mungkin membekas beberapa hal penting sebagai renungan. Secara ringkas, dinyatakan di sini bahawa perpecahan tersebut berhasil disebabkan oleh ideologi ataupun bawaan pemikiran beberapa individu, iaitu kumpulan pertama yang diketuai oleh Asraf. Beliau memberatkan perihal kemasyarakatan dalam penghasilan karya. Pihak yang kedua diketuai oleh Hamzah Hussain yang memberatkan kebebasan pengarang untuk menulis mengikut rasa kesenian yang dikehendaki sendiri oleh pengarang.

Sedutan sejarah tersebut dapatlah dikaitkan pula dengan beberapa hal yang mungkin berkaitan dengan kesusasteraan kita pada hari ini, terutamanya dalam cara menilai dan membaca sesebuah karya sastera, sehingga dianggap sebagai sebuah karya yang bermutu atau layak diangkat sebaris dengan karya-karya Sasterawan Negara, misalnya.

Hari ini, hampir tujuh dekad setelah mencapai kemerdekaan, tidak berlebihan sekiranya dikatakan, bayang-bayang ASAS 50 masih ada dalam minda kita. Beberapa hal masih bermain dalam minda bawah sedar, khususnya soal ketokohan dan perjuangan yang dibawa melalui falsafah dan penulisan yang dirintis hingga ke masa kini, kalaupun generasi baharu belum tentu mengenali gerakan tersebut.

Misalnya, semangat nasionalisme dan patriotisme banyak disuarakan oleh golongan terdahulu, khususnya sewaktu kebangkitan ASAS 50, sehingga memberikan kesan besar dalam sejarah pembentukan bangsa yang tidak mungkin dipertikaikan. Malah, tidak sedikit para pengarang mapan yang dilahirkan daripada ASAS 50 ini, di samping jasa dan legasi yang ditinggalkannya kepada masyarakat yang begitu besar, kerana ramai pengarang ASAS 50 dan mereka yang terdidik dengan gagasan ini sudah melahirkan sejumlah karya baik yang menyokong hasrat negara serta mengungkap isu nasional dan sebagainya.

Tidak terlalu ketara, jika disebutkan di sini, sastera yang diperjuangkan oleh ASAS 50 ialah sastera yang bersifat fungsional, sastera yang menggerakkan dan mencetuskan kelangsungan tindakan terhadap khalayak dengan suatu kesedaran jelas tentang suatu hala tuju. Sifat sastera yang berkaliber ini sudah mampu menjadikan kebanggaan sejarah buat anak bangsa. Malah, peranan besar yang dijalankan pada masa itu amat relevan pada ketika itu sehingga sejumlah gagasan yang diserapkan dalam karya oleh tokoh-tokoh tersebut mampu dihubungkan dengan keadaan sosial atau keadaan semasa era 1950-an dan 1960-an. Misalnya, penonjolan penulisan gaya realisme yang memusatkan pengungkapan citra kemasyarakatan yang melebihi “realisme diri” atau individualisme, selain keprihatinan terhadap perjuangan bahasa yang cukup membekaskan, hingga ke hari ini.

Walaupun era itu sudah berlalu bersama perjuangan gerakan tersebut, namun kemungkinan bayang-bayang gerakan ASAS 50 masih menggaris sedikit sebanyak cara, kaedah dan sisi melihat sastera kita pada hari ini. Antaranya, hari ini, cara penilaian dan pemilihan karya juga masih terikat dengan kriteria menurut ASAS 50, kalaupun tidak secara langsung. Maka dengan kemungkinan ini menganjurkan kita untuk melihat, apakah semestinya sesebuah karya itu mesti bersesuaian dengan suatu faham kemasyarakatan atau perlunya cara penerimaan yang lebih liberal atau terbuka penilaiannya?

Perihal kemasyarakatan dan lokaliti sememangnya tidak dapat dipisahkan daripada karya sastera yang ditulis oleh seseorang pengarang. Hampir setiap pengarang menempel bersekali dirinya, termasuk sifat lokalitinya dalam hasil kerja kepengarangannya. Hal ini dapat dilihat dalam analisis serta kajian yang menampakkan fungsi sifat ketempatan yang tetap ada, meskipun tidak ditonjolkan secara eksplisit, baik karyanya sajak, cerpen, drama, mahupun novel. Ringkasnya, sebuah karya ialah pembayang pada pengarang sekali gus masyarakatnya, malah mungkin sifat sosiopolitik atau sosioekonomi wilayah yang didudukinya atau budaya yang diwakilinya.

Maka, tidak mungkin karya pengarang kita dihasilkan daripada ruang yang kosong atau vakum. Hal ini demikian kerana, kita sedia maklum bahawa kesimpulan sesebuah karya tidak mungkin dihasilkan dalam ruang kosong atau latar yang persih, tanpa dibumbui dengan nilai, makna dan falsafah yang terserap atau tergabung yang dapat dibaca dan dibicarakan oleh khalayak, meskipun dilahirkan secara “Seni untuk Seni”.

Penulis percaya bahawa karya yang cenderung memihak kumpulan kedua yang dibincangkan, tidak meleraikan karya yang dikarang oleh mereka daripada nilai, norma, pengaruh, dan latar yang tersemat dalam karyanya. Hampir tidak ada karya yang ditulis mengandungi unsur kelompongan mutlak, iaitu “seni tulen” atau seumpamanya. Kiranya dapat dibuat pembandingan, kedua-duanya tidak banyak pertentangan, walaupun perbezaan antara kedua-duanya memang nyata dari segi teknik penulisan, garapan dan sebagainya.

Maka, tidak mungkin karya pengarang kita dihasilkan daripada ruang yang kosong atau vakum.

Kembali kepada kaitan ASAS 50 yang pengaruhnya semacam masih membayangi khalayak dan sebahagian pengarang hari ini (juga hal legasi serta sistem pengendali tertentu yang berkait dengan perihal kesusasteraan), rasanya perlu juga kita melihat semula hal kebetulan ini. Selain menyemak kembali pengertian konsep ASAS 50 yang sudah berlalu namun agak “tekal” melatari landasan pemikiran, ada baiknya kita melihat juga penilaian hasil sastera tempatan dewasa ini dengan membuat pemugaran yang sesuai dengan peredaran semasa.

Tanggapan “kebetulan sebuah sistem” tidak pantas diselarikan dengan ketentuan takdir semata-mata, jika direnung secara berhati-hati. Oleh sebab sistem sastera boleh diubah dan disesuaikan dengan keadaan, maka menganggap kebetulan sistem sastera dikekalkan dan dirigidkan, malah dianggap tidak perlu kepada sebarang perubahan atau penambahbaikan, hal ini sememangnya tidak sesuai sama sekali dalam perkembangan zaman. Hal ini kerana, sistem yang sengaja dikekalkan tidak akan membawa penambahbaikan yang lebih positif. Sistem yang kekal agak berlawanan dengan sifat neutralnya lingkungan masa atau perkembangan zaman yang saling menerima perubahan demi perubahan.

Sebegitulah juga sastera yang tidak dapat dielak daripada mengalami perubahan dan anjakan, daripada sistem mana yang mengawalnya atau yang mengurusnya. Justeru, yang pasti berlaku ialah sastera akan berubah dan membentuk identitinya kerana masyarakat juga berubah atas faktor masa, seperti berubahnya realiti, teknologi, percambahan idealisme, dan pemikiran.

Sekiranya sistem pengendali ini mengambil kira bahawa sastera harus berupa satu jalur pemikiran atau berada dalam stail atau gaya yang sama, menurut suatu acuan tradisi atau berketetapan tanpa kewajaran selainnya, maknanya, tidak berlakulah apa-apa pemberatan logika yang dibuat terhadap sastera yang sentiasa tumbuh mencapah dan makin beraneka pengucapannya, mengikut acuan semasa atau adanya aliran pemikiran yang sedang menonjol. Hal ini kerana, pengucapan yang diungkapkan daripada pemikiran sentiasa berkembang, malah bervariasi dan kreatif, sepertimana manusia itu sendiri yang mahukan bernafas di lokasi yang lain dan melihat kepelbagaian pemandangan indah.

Kerisauan penulis juga terletak pada tahap tertentu. Bagi penulis, pada ketikanya nanti, tidak mustahil berlaku pembekuan kreativiti dalam lapangan sastera yang mewujudkan pendirian yang tidak mampu lagi menerima sebarang idea baharu, cetusan bernas dan sebarang pembaharuan gaya kerana sikap pengendali atau sistem yang memegang kuasa atau kata penentu secara autokratik, sehingga mengacum banyak kesempitan daripada penjanaan pengkaryaan yang lebih bugar buat masyarakat.

Perlakuan sistem juga sebenarnya membekaskan kesan pada wadah sastera sekarang. Memang ada keadaannya, sastera memberikan reaksi balas yang tidak dijangkakan, seperti yang tampak di beberapa negara seperti di China dan beberapa negara Amerika Latin. Namun begitu, mungkin juga menggelapkan ruang kesusasteraan yang diharapkan atas kebekuan tindakan yang disengajakan oleh beberapa pihak yang kurang senang dengan gerakan pembaharuan, misalnya bagi pengarang yang agak cenderung kepada gaya “Seni untuk Seni”.

Kemungkinan pemikiran dan gagasan ASAS 50 yang tinggal sebagai gergasi sastera yang agak lama, dan legasinya yang masih dipegang atau dianuti dengan akrab, namun pada sisi lainnya, seakan-akan belum dapat menerima perubahan yang sedang berlaku dalam pengucapan sastera tempatan yang sedang berlangsung. Maka, penulis tidak menafikan, pengaruh gagasan ini masih kuat sehingga membekaskan sifat kurang luwes dalam pembacaan, malah agak defensif terhadap penerimaan karya sastera yang berada di luar gagasan ini.

Tiada Karya Sastera yang Terlalu Baik

Dalam era globalisasi yang terbuka kini, sikap sistem yang positif sangat diperlukan untuk menyokong serta mengimbangi kewujudan sastera yang pelbagai dan bervariasi agar dapat benar-benar dihayati dan dihargai.

Persoalan “manakah karya yang lebih baik” tidak akan menjadi signifikan sekiranya gagasan yang sama masih kekal membayangi pemikiran pengendali sistem dan khalayak. Hal ini juga berkaitan dengan sifat lain seperti penelitian era dan keselariannya dengan suatu gerakan, kecenderungan falsafah tertentu, dan gaya pengucapan yang disorot daripada suatu sudut yang tertentu sahaja.

Walaupun hakikatnya, semangat atau roh sastera tidak pernah dibiayai dan didanai oleh mana-mana sistem yang membuatkan karyanya menjadi terus dibaca, namun keperluan pada keprihatinan sesebuah sistem sastera dapat membantu dalam kelancaran fitrah sastera untuk hidup lebih selesa dan sempurna, selari dengan kewujudan insan.

Dalam era globalisasi yang terbuka kini, sikap sistem yang positif sangat diperlukan untuk menyokong serta mengimbangi kewujudan sastera yang pelbagai dan bervariasi agar dapat benar-benar dihayati dan dihargai. Memandang dan membaca karya secara terikat pada garisan peraturan atau ciri-ciri tertentu tidak dapat mengembang luaskan sastera kita, malah mungkin membawa kepada kemundurannya.

Nasib sastera pula tidak lagi, khususnya pada zaman globalisasi ini, tidak saja diletakkan atas tangan pengarang, malah kepada pengendali sistem dan khalayak yang besar dan bijaksana. Tumpuan sastera seharusnya tidak lagi pada aliran dan garapan gaya tertentu, kerana manusia sentiasa mengharap perubahan dan pembaharuan, selari dengan kehendak manusia yang mahukan makna kemanusiaan itu semakin menonjol, sempurna dan lebih luwes daripada sebelumnya, mengikut acuan kemajuan yang sepatutnya.

Apabila terdapat pengucapan yang baharu, yang bermakna dan mengisi kekosongan, yang tidak pula “merewang ke dunia tidak berhujung”, maka maknanya, sasteranya masih berdegup dan bernafas. Kita juga ditunjukkan bahawa kebebasan menulis masih relevan dalam usaha membantu manusia untuk mencari kesempurnaan dan membayangkan bahawa karya sastera seharusnya tidak kaku, tertempel atau tidak terkumpul dalam suatu acuan saja atau yang popular. Justeru, perubahan cara menilai sastera harus ada anjakannya juga, supaya dapat meraikan dan menghargai kebaharuan karya serta kematangan generasinya. Seiring itu juga, pengendali dapat memahami antara sebab karya yang tidak diangkat tetapi menjadi penting dan mendapat sambutan apabila adanya sekatan atau bingkai tertentu yang menyekat cara menilai dan membaca karya baharu ini. Penambahbaikan dalam penilaian karya sastera sangat perlu untuk menjamin ekosistem sastera yang lebih mandiri dan relevan pada sifat sastera yang baik dan sentiasa mengimpikan malar hijau.

Mutakhir ini, terdapat karya sastera yang agak jelas sifat seninya, yang sebenarnya mempunyai kualiti yang tersendiri dan dapat dibanggakan. Sebagai contoh, karya Zean Kasturi atau S.M. Zakir atau Zainal Rashid Ahmad amat cenderung pada aliran ini, yang mungkin harus dipertimbangkan suatu sistem untuk mengangkat karya mereka agar dapat berada dalam senarai karya penting, malah mungkin juga dipilih sebagai Sasterawan Negara. Mengapa kita masih berharap dengan karya yang agak “berusia” pengucapannya, sehingga aspek jurang generasi masih diambil kira untuk menentukan lapangan takdir sastera arus perdana akan datang yang masih panjang, dengan mengabaikan sejumlah pengarang yang sudah boleh diangkat ke tahap seterusnya, atau mendapat pengiktirafan yang sebaik-baiknya.

Selain untuk memberikan ruang yang lebih luwes kepada masyarakat demi melihat aspek kewujudan karya yang beraliran seni ini, hal ini seeloknya diteliti semula kerana tidak semestinya sesebuah karya yang diiktiraf pada peringkat nasional ialah karya sastera yang fungsional semata-mata. Malah, kita sudah sedia maklum, karya beraliran seni dan yang seumpamanya makin mendapat ruang yang besar dalam kalangan khalayak sastera, terutamanya daripada golongan muda dan remaja.

Justeru, pengiktirafan merupakan salah satu cara pilihan yang terbaik untuk mengangkat sejumlah pengarang daripada aliran ini, yang sudah membentuk gaya pengucapan yang sarat dengan mesej tersendiri, di samping mempunyai kekuatan bahasa yang jitu, malah menjadi penghubung zaman moden dan globalisasi, atau sekurang-kurangnya, sudah boleh mewakili kumpulan sastera Melayu yang lebih luwes dan baharu. Dan, sebagai langkah ke hadapan bagi pihak pengendali; di sinilah ketulenan sastera dapat ditonjolkan oleh sistem sastera yang tidak ketandusan dengan barisan pengarang besar sekiranya diperlukan, demi menyahut cabaran globalisasi dan memartabatkan sastera untuk tatapan generasi akan datang dengan yakin.

Akhir sekali, perubahan tidaklah bermaksud untuk meninggalkan apa-apa yang sudah lama atau yang indah-indah daripada warisan kita, tetapi memahami cara memperbaharui garapan tinggalan sebelum kita untuk menyambung suara dan makna yang lebih segar dan relevan, demi kebaikan, kelestarian dan kesejahteraan bangsa pada abad kini yang lebih mencabar.

Kredit Foto: Yusdi Hassan/Unsplash

_________________________

Mohd Fadzil Yusof menulis puisi, rencana dan cerpen. Karyanya pernah tersiar dalam akhbar Berita Harian, Mingguan Wasilah, Harian Metro, Mingguan Utusan Melayu, majalah Dewan Sastera, Nur, Siasah, Dewan Budaya, Tunas Cipta, dan Milinea Muslim. Karya bukunya termasuk novel Berahi Sukma (ITBM, 2015), kumpulan cerpen Terbang Layang-layang (DBP, 2016), dan kumpulan puisi Buku Kenangan Kala Pemukiman (DBP, 2019).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.