20 Februari 2023, 16:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuching – Program Persembahan Manifestasi Seni Puisi: Harapan Kami anjuran Persatuan Bagi Orang Buta Sarawak dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak dan Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak telah diadakan pada 18 Februari lepas. Pementasan selama dua jam setengah itu melibatkan 38 orang ahli Persatuan Bagi Orang Buta Sarawak, dibantu karyawan DBP Cawangan Sarawak, kumpulan penari Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sarawak serta tokoh pendeklamasi tempatan.

Persembahan ini dimeriahkan dengan seni pengucapan, nyanyian, deklamasi, dialog, monolog dan gerak lakon sebagai suatu bentuk pemaknaan kepada pemikiran daripada puisi nukilan karyawan tunanetra. Sebanyak sembilan buah puisi daripada keseluruhan 16 buah puisi yang dipersembahkan ialah puisi yang telah tersiar dalam ruangan sastera akhbar tempatan seperti Utusan Sarawak (ruangan Wadah Bahasa dan Sastera) dan Suara Sarawak. Sementera itu, lagu tema bagi pementasan, Di Daerah Ini, ialah hasil olahan daripada puisi nukilan penulis mapan tunanetra, Joe Red yang telah memenangi hadiah sagu hati Sayembara Menulis Sajak Keluarga Malaysia, PEKASA 2022.

Bukan sahaja berbakat dalam penulisan kreatif dan persembahan, karyawan tunanetra melalui program ini telah menunjukkan keupayaan dalam gubahan muzik apabila mampu menjadi komposer kepada lagu-lagu puisi mereka sendiri. Intan Zubaidah, Azreen Azirah, Hapsha Mya, Zailani Anuar, Azzoenickry, D’Carlus dan Zahier merupakan antara barisan komposer tunanetra yang telah mengukir nama untuk persembahan ini. Persembahan ini turut dibantu oleh kumpulan pemuzik tempatan, Lasykar Seni.

Dendangan syair Bidasari dan lagu puisi Naskhah Kiriman Rindu oleh Nur Alina Semulih (Kredit jurufoto: Ahmad Nasuha Musa).

Turut hadir dalam program ini ialah YBhg. Puan Dayang Mariana Haji Abang Bolhasan, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Seni Sarawak, mewakili Timbalan Menteri Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak. Beliau telah diberi penghormatan untuk melancarkan album EP (Extended Play) terbitan Persatuan Bagi Orang Buta Sarawak yang berjudul Tongkat Abyad: Di Daerah Ini. Sebanyak enam buah lagu dimuatkan dalam album tersebut yang telah menjalani proses rakaman di Studio DBP Cawangan Sarawak. Tongkat Abyad atau tongkat putih merupakan simbolik terhadap perjuangan tunanetra memaknakan kehidupan untuk bersama-sama dengan masyarakat memastikan pembangunan, kemanusiaan, dan kedamaian dinikmati dengan penuh kasih sayang.

Turut hadir dalam pementasan ini ialah Encik Abang Haliman Haji Abang Julai,
Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Encik Ronald Thomas Law, Pengerusi Persatuan Bagi Orang Buta Sarawak Cawangan Kuching, Haji Mohamed Khaider Abang, Pengarah Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Encik Wan Mazli Wan Razali, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Pustaka Negeri Sarawak. Ujar Encik Abang Haliman,

Golongan kurang upaya seperti tunanetra memang berbakat dan kreatif dalam berkarya, terutamanya dalam penulisan puisi, deklamasi dan bernyanyi. Usaha ini akan diteruskan untuk memperkasa sastera dalam pelbagai kaedah melalui jalinan sinergi dengan pelbagai agensi dan persatuan di Sarawak.

Program ini merupakan rentetan daripada beberapa siri Bengkel Lagu Puisi yang pernah diadakan dan perbincangan lanjutan dalam kunjungan hormat persatuan tersebut kepada DBP Cawangan Sarawak pada tahun lalu. Kerjasama rintis antara Persatuan Bagi Orang Buta Sarawak dengan DBP Cawangan Sarawak ternyata mendapat sambutan yang menggalakkan dengan kehadiran lebih kurang 300 orang penonton. Antara penonton yang hadir ialah para pelajar sekolah bermasalah penglihatan dari SMK Matang Jaya dan SK Pendidikan Khas, Sarawak Society for The Deaf, Persatuan Orang Cacat Bumiputera Sarawak, Persatuan Lawn Bowls Para, PESRON Sarawak, serta pelajar dan pensyarah institusi pengajian tempatan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.