20 Februari 2023, 08:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Raja Yusoff Ariffin ingin memperkatakan hal berbahasa dalam kehidupan seharian. Masihkah ada insan yang mahu berbahasa puitis, terutamanya dalam pengalaman kerja dan cara hidup hari ini?

Hari ini zaman sudah berubah, serba moden dengan semua perkara bergerak pantas, dan mahu dilakukan secepat mungkin, ramai yang keberatan atau tiada masa untuk berbasa-basi, apatah lagi berbahasa puitis ketika bertutur. Perkara begitu membuang masa dan membosankan. Kata mereka kenapa perlu memikirkan gaya bahasa yang indah lagi menyukarkan.

Disedari atau tidak hal ini merupakan satu hakikat yang perlu dihadapi, perkataan puitis amat berkaitan dengan bahasa. Bahasa pula ialah alat bagi pertuturan, perbualan, dan karya. Karya sastera seperti sajak (puisi moden) dikatakan puitis kalau bahasanya indah, berbunga-bunga, merdu didengari, dan tidak prosaik (ayat panjang biasa yang dipatah-patahkan membentuk baris demi baris agar kelihatan seperti sajak).

Puitis pula bermaksud memiliki sifat sebagaimana puisi. Erti imbuhan “tis” pada perkataan puitis ialah seperti atau seolah-olah. Dalam perkataan lain, puisi dan puitis tidak dapat dipisahkan.

Benarkah anggota masyarakat hari ini tidak lagi mementingkan bahasa puitis dalam kegiatan harian? Dalam dunia yang serba canggih dan semakin pantas hari ini, benarkah bahasa puitis tidak lagi penting?

Apakah alasan serta hujah mereka yang mengatakan bahasa puitis masih penting dan perlu dipertahan? Mengapa mereka menegaskan bahasa puitis itu masih mustahak, dan perlu diamalkan dalam urusan harian?

Manusia hari ini dikatakan tidak mempunyai banyak masa untuk bercakap dalam bahasa yang puitis. Antara alasan mereka ialah malas, mahu segera menyelesaikan urusan, dan tidak tahu atau tidak mahir berbahasa sedemikian.

Mereka yang malas dan mahu bergegas mungkin tidak dapat dibantu lagi. Namun demikian, mereka masih boleh disedarkan bahawa kehidupan harian tidak dapat lari daripada bahasa puitis. Bahasa tersebut tetap ada di sekeliling mereka, misalnya dalam televisyen atau radio menerusi filem, drama, dan rancangan bual bicara. Mahu atau tidak, disukai atau dibenci, mereka akan mendengarnya semasa menonton dan mendengar.

Benarkah dunia hari ini tidak puitis? Dengan bahasa puitis yang masih ada dalam media massa, dakwaan mengatakan dunia hari ini tidak lagi puitis kurang tepat, dan masih boleh dipertikai. Masih ada lagi insan mahupun individu yang berpuitis dalam kehidupan hari ini. Mereka memang berminat dengan puitis atau perlu berkarya sedemikian kerana menyara hidup (menulis skrip filem, drama, ucapan pembesar, dan sebagainya). Jadi, suka atau tidak, diingini atau ditolak, bahasa puitis masih dan akan terus wujud.

Puitis tidak semestinya dalam sajak sahaja. Dialog-dialog dalam filem, drama, dan ucapan juga perlu puitis agar enak didengar, serta tinggi nilai sasteranya. Walaupun kadang-kadang kedengaran bombastik, tetapi memang begitulah dialog karya sastera yang harus berbeza dengan dialog harian dunia nyata.

_________________________

Raja Yusoff Ariffin menulis puisi (sajak dan pantun), cerpen, rencana, ulasan, kritikan, dan berita sejak tahun 1982. Antara karyanya termasuklah buku esei Raja (Yusoff Ariffin) dalam Sastera Rakyat (1991), kumpulan drama remaja Sketsa Bas Mini (DBP, 1993), novel kanak-kanak Bangsal di Tepi Pantai (Vital Star, 1997), serta kumpulan puisi Belum Selesai (berseorangan/ITBM, 2016). 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.