Oleh Marsli N.O
19 Februari 2023, 09:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Marsli N.O menulis tentang kerja penulis yang sememangnya sunyi dan sendiri.

Mungkin ada antara mereka yang berasa terganggu dan tersinggung. Akan tetapi walau apa-apa pun, dia selalu berusaha agar kerja-kerja menulis dia yang selalunya berlangsung ketika orang lain sedang nyenyak tidur itu tidak sampai akan mengganggu orang lain.

Ketika anak dan isteri, jiran setaman atau orang sekampungnya sedang nyenyak di alam mimpi, dia biasanya masih bersendiri di kamar tulis di bahagian belakang rumah, ruang di mana dia seringnya bergulat dengan huruf dan kata-kata.

Puluhan tahun dahulu, ketika teknologi komputer belum menjamur dan dia tidak mampu memilikinya, dia menulis hanya dengan mesin taip. Ketika itu, pada waktu anak dan isteri, jiran setaman dan orang sekampung dia sedang nyenyak dalam tidur serta bergulit dengan mimpi masing-masing, selalu dia rasa amat bersalah kerana memikirkan gema bunyi ketikan mesin taip dia pada malam yang terlalu sunyi begitu boleh mengganggu mereka dan untuk itu, agar sedikit dapat menghindar bunyi yang boleh mengganggu itu, dia melapek meja tulis dengan beberapa kain batik buruk yang dilipat beberapa kali supaya menjadi tebal dan dapat sedikit mengurangkan gema bunyi hentakan mesin taip di permukaan meja tulis.

Mujur sepanjang waktu itu tidak pernah jiran berhampiran rumah, di sebelah, di belakang atau di depan ada yang secara terbuka menyatakan rungutan mreka. Dia mengesani mereka seperti sedar dan tahu bahawa dia penulis dan kesedaran mereka itu dia balas dengan sikap untuk lebih banyak tidak menyombongkan diri dengan sedikit kepandaian menulis yang dia miliki itu.

Dia jarang dan boleh dikatakan langsung tidak bercerita apa-apa dengan mereka mengenai kerja tulis dan menulisnya. Malah, kalau ditanya sekalipun oleh jiran-jiran, dia lebih suka mengelak atau supaya tidak kelihatan sombong atau seperti mahu berlagak, jika perlu juga memberikan jawapan, dia berusaha seboleh mungkin agar tidak menjawabnya dengan berlebih-lebihan. Dia memilih untuk bercerita hanya apa adanya, sebatas yang ditanya dan sebatas itulah dia menjawabnya.

Mungkin ada antara mereka yang berasa terganggu dan tersinggung. Akan tetapi walau apa-apa pun, dia selalu berusaha agar kerja-kerja menulis dia yang selalunya berlangsung ketika orang lain sedang nyenyak tidur itu tidak sampai akan mengganggu orang lain.

Dia selalu ingin menjaga batasan itu. Kerja-kerja menulisnya memang hak dirinya peribadi, namun hak peribadinya itu selalu diusahakan supaya biarlah tidak pula sampai membuatkan orang lain berasa terganggu dan diganggu.

Apalagi dia sedar dan tahu betapa sebagai penulis, jika hendak dibandingkan dengan orang lain yang lebih dahulu menulis ketimbang diri dia, yang sudah lebih terkenal namanya, yang lebih banyak dan berjaya menerbitkan buku-bukunya dan buku hasil tulisannya laku keras di pasaran dan punya ramai peminat, sehingga memampukan mereka membeli rumah, kereta baharu, menyewa apartmen mahal, berbanding dirinya, dia bukanlah apa-apa sebenarnya.

Dia sebenarnya tidaklah apa-apa berbanding dengan sekalian mereka yang sudah lebih dahulu menulis ketimbang dirinya dan yang lebih banyak karyanya itu. Dia tahu dan sangat sedar itu. Dia hanyalah penulis yang apa adanya sahaja. Seorang penulis yang menuliskan segala sesuatu yang juga hanya dengan apa adanya sahaja, yang bermula secara otodidak (belajar sendiri) dan kerana itu tidak ingin berlagak dan melagakkan apa-apa sahaja yang dia tidak tahu sebagai tahu, semata-mata supaya dilihat orang lain sebagai penulis yang hebat dan penuh daya intelek.

Dia bukanlah jenis orang yang begitu. Dia hanya ingin menjadi apa adanya dirinya sahaja. Dan kerana itu, dia tidak begitu peduli kalau ada yang bergunjing atau meremehkannya dengan pelbagai tuding. Apalagi untuk melayan segala kehendak dan pinta daripada mereka yang berasa terlalu hebat dan bijak ingin menentukan sastera dan hasil karya sastera yang ditulis oleh para penulis mesti begitu dan begini.

Dia tidak mengatakan penulis mesti memusuhi teori. Sama sekali tidak. Namun ketika menulis, yang ditampilkan ialah keberadaan dirinya sendiri.

Dia memang percaya dan sedikit tahu mengenai teori-teori yang berkaitan dengan dunianya: sastera. Hal itu dia pelajari dan juga baca lewat sejumlah buku-buku. Namun baginya, penulis bukanlah semata-mata budak teori. Teori hanyalah pelengkap pengetahuan dan juga boleh dikatakan semacam garis pandu kepada penulis.

Namun itu bukanlah mutlak. Di samping teori, seorang penulis juga tidak boleh tidak mestilah mengetahui dan belajar mengenai banyak cabang ilmu yang lain. Ketika sedang menulis, penulis tidak boleh lagi menjadi tukang ulang yang tanpa sedikit pun mencernakan dalam fikirannya apa-apa yang pernah dia baca dan pelajari, membancuhnya dengan kehendak serta keperibadiannya sendiri, supaya menjadi buah fikiran miliknya sendiri pula.

Dia tidak mengatakan penulis mesti memusuhi teori. Sama sekali tidak. Namun ketika menulis, yang ditampilkan ialah keberadaan dirinya sendiri. Fikiran, perasaan dan tanggapannya mengenai dunianya serta persekitarannya yang dibancuh daripada ilmu yang dipelajari serta yang dibacanya. Sesuatu yang tidak sampai kelihatan seperti mengulang-ulang semula secara polos pendapat dan buah fikiran sesiapa sahaja yang telah memukau dan membuatnya menjadi dan berasa kagum!

Sebagai seorang penulis, yang hanya apa adanya dan menulis hanya dengan sekadarnya sahaja, dia selalu percaya bahawa yang perlu dilaksanakan oleh seorang penulis ketika berkarya adalah dengan mempamerkan diri, keperibadian dan buah fikirannya sebagai dirinya sendiri dan bukan sebagai orang lain, dengan cara seboleh mungkin setulus dan sejujur yang mungkin.

Memang dia menghayati dan mempelajari sesuatu, apakah itu idea, ilmu dan pendapat-pendapat daripada tokoh, buku dan karya orang lain, namun segala itu telah dia cerna dalam dirinya sehingga menjadi sesuatu yang lain dan khas miliknya.

Demikianlah untuk sekian waktu dan tahun. Seorang penulis akan tetap dan terus menulis segala sesuatu yang mendatangi fikirannya dengan tekun dan bersungguh-sungguh. Walau ketika kemudiannya, buku demi buku tulisannya diterbitkan, tiada siapa ingin tahu setiap malam pada jam berapa dia baru masuk beradu dan cabaran serta kegelisahan apa yang telah dia tanggung sepanjang kerja menulisnya itu!

Memang menulis ialah kerja bersendiri. Bersendiri dengan dunia, kegelisahan dan kesunyiannya sendiri. Dan dia menceritakan hal ini hanya kerana ingin sedikit berkongsi kisah dan latar dengan pembaca atau siapa sahaja yang sudi menjadi pembaca karyanya. Karya yang hanya apa adanya daripada seorang penulis yang memang sekadarnya sahaja.

Kredit Foto: Matt Artz/Unsplash

_________________________

Marsli N.O lahir di Kertih, Terengganu. Kini penulis sepenuh masa dan memilih bersendirian. Telah menerbitkan beberapa buku dan dapat dihubungi lewat email [email protected].

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.