7 Februari 2023, 12:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Program Malam Puisi Kemanusiaan 2023 telah diadakan pada 31 Januari lepas bertempat di Auditorium Hospital Kuala Lumpur (HKL). Program anjuran College of Emergency Physicians dengan kerjasama Jabatan Kecemasan, Hospital Kuala Lumpur tersebut mengangkat tema “Bangkit Dari Jatuh”.

Datuk Dr. Alzamani Mohammad Idrose, pakar perubatan kecemasan dan trauma, yang juga bertindak sebagai pengerusi jawatankuasa penganjur berkata dalam ucapan pembukaan program, “Malam Puisi Kemanusiaan ini ialah aktiviti EQ (kecerdasan emosi) untuk semua (pengamal perubatan) meneroka dan melepaskan semua emosi kerana pengamal perubatan mendepani kemanusiaan setiap hari dalam memberi rawatan. Emosi ialah suatu kuasa besar dan puisi juga menjadi terapi kerana doktor juga boleh ‘sakit’.

Malam Puisi Kemanusiaan 2023 merupakan kesinambungan daripada acara Malam Puisi Kemanusiaan 2021 yang pernah diadakan pada 31 Disember 2021. Ketika itu, acara disiarkan sepenuhnya secara dalam talian, dan mendapat respons yang baik dengan jumlah tontonan mencecah angka ribuan.

Kali ini, Malam Puisi Kemanusiaan 2023 dijalankan secara hibrid dan disertai oleh 24 orang pemuisi yang terdiri daripada petugas kesihatan daripada pelbagai disiplin dan kategori. Mereka merupakan pakar neurologi, pakar perubatan kecemasan & trauma, pakar bedah am, pakar sakit puan, pakar forensik, penolong pegawai perubatan dan jururawat.

Turut hadir pada program tersebut ialah tetamu jemputan dari Singapura, Thailand dan Filipina yang menyertai siaran langsung menerusi Zoom. Wakil daripada Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia juga turut diundang bagi melengkapkan suara kemanusiaan para petugas barisan hadapan.

Dengan tema “Bangkit dari Jatuh”, program ini bertujuan untuk menghargai kepayahan dan kesulitan yang dihadapi oleh para petugas barisan hadapan ketika negara dilanda wabak pandemik dan bencana alam (banjir dan tanah runtuh). Menerusi puisi, para pengamal perubatan dapat mengutip semangat untuk bangkit semula dan bekerja sepenuh hati dengan sabar dan tanpa putus asa.

Hal ini disentuh oleh Dato’ Dr. Asmayani Khalib, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, dalam ucapan perasmiannya. Katanya,

Setiap orang pernah jatuh, tetapi yang lebih penting adalah bangkit setiap kali jatuh. Malam Puisi Kemanusiaan 2023 ialah manifestasi untuk mengumpul semangat bagi memberi khidmat bakti untuk semua. Melalui puisi yang bertemakan kemanusiaan, malam ini memastikan kita semua untuk terus kukuh, terus mara dan mencapai kejayaan yang lebih tinggi.

Dato’ Dr. Asmayani Khalib, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan sedang menyampaikan ucapan perasmian.

Para pemuisi menyampaikan sajak menerusi paparan slaid dengan muzik iringan, memberikan suatu pengalaman yang mengasyikkan kepada para penonton. Hal ini turut disokong oleh Nisah Haron, penerima anugerah Sasterawan Muda Asia Tenggara, juga merupakan tetamu jemputan khas/sasterawan undangan, memberikan respons:

Apresiasi puisi menggunakan teknologi dapat memperkukuh makna dan menghidupkan kembali puisi yang mati di atas sekeping kertas. Saya amat mengesyorkan program ini diteruskan lagi dan diperluas sasaran khalayaknya.

Nisah Haron sedang mendeklamasikan puisi.

Selanjutnya, beliau turut menyampaikan sebuah sajak bertajuk, “Sahabat Sejambak Kesidang”. Menariknya, setiap pemuisi melantunkan sajak yang berkaitan dengan bidang kepakaran masing-masing. Sebagai contoh, pakar sakit puan membacakan sajak perihal memulihkan semangat wanita yang mengalami keguguran, pakar forensik menyampaikan rasa empatinya terhadap mayat yang ditanganinya dan ketua jururawat menyuarakan rasa penghargaan kepada pasukannya.

Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, Presiden PENA, juga merupakan tetamu jemputan khas/sasterawan undangan, senada dengan hal ini. Katanya:

Saya berbangga bahawa sastera dihormati apabila dianjurkan di sebuah institusi yang sangat penting dalam kehidupan kita. Saya amat menantikan suatu usaha kolaboratif antara pihak penganjur dengan persatuan penulis. Jika para penyair berpuisi berpandukan imaginasi dan emosi, tetapi malam ini, para petugas barisan hadapan berpuisi menegakkan realiti. Beliau turut mendeklamasikan sajak yang bertajuk, “Cinta dan Derita.

Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, Presiden PENA sedang mendeklamasikan puisi.

Selanjutnya, beliau turut mendeklamasikan sajak yang bertajuk, “Cinta dan Derita”.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.