Oleh Rasoul Manan
4 Februari 2023, 01:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Malam Baca Puisi anjuran Persatuan Penulis Malaysia (PENA) pada kali ini menampilkan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), iaitu Dr. Hazami Jahari sebagai tetamu khas. Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran Dr. Saleeh Rahamad, Presiden PENA; Dato’ Seri Suhaimi Yaacob, Presiden Bulan Sabit Merah Malaysia Kuala Lumpur; pelakon dan pengarah terkenal, Dato’ Ahmad Tarmimi Siregar dan Prof. Dr. Lim Kim Hui. Turut hadir ke majlis ini ialah Tuan Haji Razali Che Mat, Pengarah Jabatan Penerbitan DBP dan Dato’ Dr. Radzuan Ibrahim selaku Presiden PEMUISI.

Malam Baca Puisi edisi Februari adalah bertemakan “Kulirik Jendela, Langit Masih Berkaca-kaca”. Sebagai tetamu khas, Dr. Hazami Jahari membuka bicara bercerita tentang minatnya yang mendalam terhadap bahasa dan sastera. Dengan menggalas jawatan sebagai Ketua Pengarah, sudah tentu akan ada cabaran yang menanti apatah lagi tekad beliau sebagai nakhoda kapal sudah tentu ingin mengembalikan peranan dan fungsi sebenar DBP. Perkara itu sudah pasti berkisar tentang usaha mendaulatkan bahasa, sastera dan penerbitan. Dalam usaha ini, jelas Dr. Hazami:

Dr. Hazami Jahari, Ketua Pengarah DBP semasa berucap dalam majlis tersebut.

 

Para karyawan dan persatuan sastera akan diajak bersama-sama DBP dan bukannya bersaing, malah akan dibantu, dipayungi dan berkolaborasi dalam menjayakan pelbagai aktiviti agar fungsi bahasa dan sastera kebangsaan berada di mercu kejayaan.

 

 

 

 

Dalam majlis tersebut, Dr. Hazami menyampaikan sebuah sajak yang bertajuk “Janji”.  Seterusnya majlis dimeriahkan lagi dengan bacaan sajak oleh beberapa nama besar dalam ranah sastera. Antaranya termasuklah Dr. Saleeh Rahamad, Dr. Lim Kim Hui dan Datuk Dr. Ibrahim Ghaffar.

Dr. Saleeh Rahamad selaku Presiden PENA memberikan kata alu-aluan dan seterusnya menyampaikan sebuah sajak.
Dr. Lim Kim Hui mendeklamasikan sajak khas kepada Ketua Pengarah DBP dan khalayak yang hadir.
Datuk Dr. Ibrahim Ghaffar menyampaikan sajaknya dengan penuh semangat.

Menariknya acara pada malam tadi yang diadakan pada pukul 8.00 malam di Rumah PENA, Kuala Lumpur, terdapat pembaca sajak dari luar negara, iaitu dua orang gadis Korea. Mereka menyampaikan sajak dengan penuh bergaya dalam bahasa Melayu.

      

Dato’ Dr. Radzuan Ibrahim turut menghiburkan para tetamu dengan lagu puisi ciptaannya sendiri yang bertajuk “Resah”. Pendeklamator tanah air, Shukri Abdullah yang turut hadir menutup acara majlis dengan puisinya yang menarik hati para penonton.

Dato’ Dr. Radzuan mendendangkan lagu puisi ciptaannya sendiri.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.