Oleh Harlym Yeo
3 Januari 2023, 11:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Program Interaksi Pemuisi Sedunia 2.0 yang menjadi arena pertemuan secara maya penggiat seni sejagat dianjurkan untuk kali kedua selepas diadakan pada 20 Mac 2022 lalu bersempena dengan Hari Puisi Sedunia.

Penganjuran kedua ini lebih istimewa apabila diadakan bersempena dengan sambutan tahun baharu 2023. Program tersebut membabitkan 40 orang peserta dari 10 buah negara melalui acara baca puisi Melayu secara langsung dan rakaman video menerusi Facebook PEMUISI Nasional Malaysia. Empat komuniti sastera Nusantara iaitu Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI), asyikasyik.com (Indonesia), Purta Seni (Brunei Darussalam), dan Pantunism (Singapura) turut terlibat dalam penganjuran program ini.

YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP dalam ucapan perasmian program tersebut memuji usaha murni PEMUISI yang menyemarakkan puisi Melayu di peringkat antarabangsa. Jelasnya,

YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP sedang menyampaikan ucapan perasmian.

Kegiatan itu dapat meningkatkan persefahaman dan perpaduan sejagat kerana puisi berbicara tentang soal kemanusiaan, kerjasama dan pemanfaataan kekuatan tamadun yang ada di dunia. Tuhan menjadikan manusia yang berlainan bangsa supaya manusia saling mengenal, termasuk mengenal kekuatan bangsa lain.

Exco PEMUISI selaku pengarah program dan pengacara majlis, iaitu Harlym Yeo berkata bahawa program itu menggabungkan pemuisi mancanegara yang memberikan persembahan puisi tradisional dan moden bertujuan bagi mengangkat martabat puisi Melayu, khasnya dalam kalangan pengkarya seni sastera serantau.

Exco PEMUISI selaku pengarah program dan pengacara majlis, Harlym Leo.

Presiden PEMUISI, Dato’ Dr. Radzuan Ibrahim berpendapat program seumpama itu wajar diadakan secara berkala bagi merapatkan hubungan dalam kalangan Kerabat Pemuisi Sedunia, sekali gus memartabatkan puisi Melayu di arena baca puisi antarabangsa. Tambahnya lagi,

Tahun 2023 dijangka memberikan cabaran yang besar kepada penduduk dunia kerana ketidakstabilan kesihatan, ekonomi, politik, dan sosial. Sebagai pemuisi yang peka dengan keadaan sekeliling, kita seharusnya memainkan peranan penting memberikan buah fikiran yang baik kepada masyarakat dalam menangani masalah ini. Karya-karya kita bukan sahaja luahan perasaan, tetapi juga boleh memberikan manfaat kepada masyarakat keseluruhannya.

Presiden PEMUISI, Dato’ Dr. Radzuan Ibrahim.

Program malam itu disemarakkan dengan bacaan puisi oleh beberapa tokoh tersohor, pemuisi, dan sasterawan negara tempatan serta penyair luar negara. Antaranya ialah Presiden PEMUISI, Dato’ Dr. Radzuan Ibrahim, Timbalan Presiden PEMUISI, Prof. Madya Dr. Norhayatie Ab. Rahman, SN Dato’ Dr. Zurinah Hassan, Kapten (B) Prof. Emeritus Dato’ Dr. Hashim Yaacob, Dr. Zainatul Shuhaida Abdul Rahman, Dr. Azlan Shafie Abdullah, Marzelan Perindu Seni, Sundarappandian AL Valusamy, Julia Ikin, Lim Ah Nee, dan Che Su Deraman. Selain itu, program itu juga diserikan dengan selingan lagu puisi oleh Adiwangsa Sukma, Man Kayan, dan Siso Kopratasa.

Manakala pemuisi dari luar negara diwakili oleh rakan penganjur bersama dari Indonesia ialah Hudan Nur, Siti Salmah, Mezra E. Pellondou, Jauza Imani, dan Willy Ana. Putra Seni,Prof. Madya Dr. Zefri Ariff, Hajah Aminah Momin, Atin Aswana, Panji Lara, dan Rahim KPS pula merupakan pemuisi dari Brunei Darussalam. Pemuisi Singapura pula ialah Shahril Samri, Fadhli Rusydi Fadzil, Irfan Azman, dan Cikgu Danish.

Selain itu, tetamu luar negara yang turut terbabit mendeklamasikan puisi ialah Prof. Madya Dr. Victor Pogadaev (Rusia), Dr. Suraiya Japakiya (Thailand), Prof. Madya Siamir Marulafau (Indonesia), Sita Aulliya (Belanda), Yasmaine Millson (Australia), serta Sam Sumadi dan Ratnasam Sib II (Singapura), Airis @ Ma Xiao Ge, Amsyar @ Zheng Ye Hua, Khaira @ Pi Jia Yi, Spencer Zhao (Republik Negara China).

Program edisi ketiga Interaksi Pemuisi Sedunia direncanakan akan diadakan secara simbiosis bersama Kerabat Pemuisi Sedunia dari Indonesia, Brunei Darussalam, Singapura, dan Thailand bersempena dengan sambutan Hari Puisi Sedunia pada 18 Mac 2023 yang bakal bersiaran di Facebook Pemuisi Nasional Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.