29 Disember 2022, 19:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Baru-baru ini telah berlangsung “Siri Pameran Hanya Satu – Single” yang menampilkan hasil karya artis terkenal, Saiful Razman, iaitu Tugu Atas Bukit (TAB), di ruangan lobi utama Galeri Balai Seni Negara (BSN). Bersempena dengan pameran TAB tersebut, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi BSN bersama-sama Hanya Satu – Single, Rissim Contemporary, dan PORT turut menganjurkan Tayangan Video dan Ulasan Pengkarya Tugu Atas Bukit, dan Bedah Buku Rentong (1965), di Auditorium BSN.

Terbitan SR Art Studio, TAB dipersembahkan oleh Rat Production dan SR Art Studio dengan penampilan Mior Hashim Manap, Ameera Ramlee, Fathil Dani, Namron, Firdaus Karim, dan Nadia Aqilah sebagai pelakon.

TAB dan Rentong digandingkan dalam acara tersebut kerana karya itu diadaptasi atau diinspirasikan daripada Rentong. TAB merupakan genre baharu yang dikemukakan oleh Saiful sebagai artis. Dr. Zakaria Ali pula tampil dalam program tersebut sebagai pembicara sesi bedah buku tersebut.

Novel Rentong, karya Sasterawan Negara (SN) Shahnon Ahmad tersebut mengisahkan konflik antara dua orang penduduk kampung Banggul Derdap, Kedah, iaitu Semaun dan Dogol, yang turut melibatkan watak lain seperti Pak Senik, Jusoh, dan Lebai Debasa.

Menurut sarjana sastera, A. Teeuw, Rentong menampilkan sesuatu yang baharu dan segar dalam perkembangan kesusasteraan Melayu berbanding kesusasteraan Indonesia pada ketika itu. Berlatarbelakangkan desa kelahiran Shahnon sendiri, Rentong menampilkan kemelut dalam desa, permasalahan sosial dan nasionalisme orang Melayu sekitar pada tahun  1960-an. Rentong juga pernah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris bertajuk Rope of Ash pada tahun 1978 oleh Harry Aveling.

Novel yang juga pernah diadaptasi ke drama televisyen dengan judul Harimau Harimau, arahan Salleh Ben Joned ini turut mengangkat ketokohan ketua kampung, Pak Senik, dalam mengawal, serta berusaha mengekalkan keharmonian anak buahnya.

Terdapat pengkritik memuji kekuatan Shahnon dalam mengawal bahasa serta pergerakan plot cerita Rentong yang begitu menyentuh emosi pembaca sehingga beliau sendiri tertanya-tanya benarkah Semaun yang sering membuat onar di dalam kampung, atau watak lain yang menjadikan Semaun bersikap sedemikian.

Hal itu dikatakan sedemikian kerana Shahnon bermula dengan menulis soal pandangan orang kampung tentang watak Semaun yang jahat, suka menimbulkan kekacauan, dan bersikap “kera sumbang”. Walau bagaimanapun, Shahnon juga membawa pembaca mendalami watak dan diri Semaun. Dari situlah pembaca mengetahui bahawa setiap pandangan, dan lontaran kata-kata keji orang kampung terhadap Semaun, dan keluarganya tidak benar. Bagi pengkritik berkenaan, Rentong mampu berbicara secara tidak langsung kepada pembacanya agar selalu berwaspada terhadap cerita fitnah yang sering menjadi perbualan hangat di warung.

Dr. Zakaria memuji, dan mengkritik Rentong. Antara yang dipertikaikannya ialah persoalan Semaun tidak menerima lembu daripada Dogol dirahsiakan, dan Dogol takut pula rahsia itu pecah. Tambahnya,

Kemunculan harimau pada akhir cerita seperti dipaksa-paksa atau diada-adakan, kurang meyakinkan, dan seolah-olah Shahnon ketandusan idea untuk menamatkan cerita.

Walau bagaimanapun, kelemahan itu tidak terlalu aneh kerana ia merupakan karya pertama Shahnon. Selain itu, beliau menganggap Shahnon berjaya mengkritik secara halus soal ketidakadilan menerusi tindakan Dogol terhadap Semaun.

Selanjutnya, menurut Saiful, nama “jong” pada Changkat Jong berasal daripada cerita rakyat purba, iaitu sebuah kapal jong (sejenis kapal yang berasal dari Jawa, Indonesia) yang tersadai di atas puncak bukit akibat disumpah oleh Sang Kelembai. Jelasnya lagi, penduduk kampung yang berbangsa Melayu telah menjual sebahagian tanah tersebut. Ketegangan sosiopolitik dan keagamaan pula timbul berikutan kewujudan sebuah jirat Cina di tengah-tengah perkampungan Melayu. Ujarnya,

Bagi kebanyakan penduduk, kegawatan dan ketegangan di kampung berkenaan disebabkan oleh sumpahan purba, meskipun jirat tersebut turut menjadi sumber pendapatan tetap para penduduk kampung hasil kerja-kerja mencuci, dan menyelenggara kubur di situ.

TAB merupakan gabungan pelbagai jenis media dengan genre seni persembahan multimedia yang memaparkan komponen rekaan bunyi, video montaj, instalasi arca, dan poster yang digabungkan dalam kompilasi fiksyen drama audio. Menerusi TAB, Saiful membawa penonton keluar daripada sempadan seni lukisan, dan “membenamkan” mereka ke dalam sebuah landskap fizikal yang sebenar. “Seseorang akan mengalami sendiri memori fiksyen yang melakarkan kompleksiti dilema sosiopolitik, di sebalik kemiskinan, tradisi, agama, bangsa, dan urbanisasi,” kata Saiful yang memang meminati landskap, dan menyatakan bahawa arca-arca yang dibina daripada beg pasir merupakan simbolik kepada pembinaan dan pembangunan. Selain itu, khalayak juga dapat menerokai dilema etika di sebalik keinginan materialistik dan penerokaan persoalan budaya, tradisi dan kerohanian.

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.