Oleh Harlym Yeo
27 Disember 2022, 09:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Edisi penutup tirai tahun 2022 bagi Program Baca Puisi Bulanan PEMUISI di DBP 12.0 telah diadakan di Wisma DBP, Kuala Lumpur baru-baru ini. Program bulanan anjuran Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada kali ini mengangkat tema “Gerbang Gemilang, Malaysia Terbilang” dan dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Datuk Seri Profesor Dr. Awang Sariyan. Dalam kata alu-aluannya, beliau berkata,

Puisi akan terus dijadikan wasilah bagi pembangunan tamadun dengan pengertian kita tidak menjadikan puisi sekadar hiburan tetapi lebih penting daripada itu.

“Puisi menampilkan ilmu dan penyampaian asas akhlak dan sahsiah kepada masyarakat,” tambahnya yang turut mendeklamasikan puisi karya terbaharu beliau yang berjudul Nasib Warkah yang Dimuliakan.

Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Datuk Seri Profesor Dr. Awang Sariyan.

Beliau menegaskan bahawa kegiatan puisi seperti ini wajar terus dianjurkan supaya dapat meningkatkan dan memperluas khalayak penghasil karya dan pengikutnya. Menurut beliau lagi, dalam konteks melahirkan penulis seawal-awalnya, bengkel pemantapan ilmu untuk pelajar sekolah di seluruh negara harus diteruskan bukan sahaja oleh DBP, malahan oleh persatuan seumpama PEMUISI. Gerakan yang merentas aneka bidang profesional bukan semata-mata sebagai rutin sebaliknya menjadi denyut nadi insan.

Presiden PEMUISI, Dato’ Dr. Radzuan Ibrahim.

Sementara itu, Presiden PEMUISI, Dato’ Dr. Radzuan Ibrahim berkata bahawa sastera termasuk genre puisi telah diterima sebagai komponen penting untuk mengimbangi tuntutan fizikal dan nilai insani dalam sesebuah masyarakat. Merujuk kepada kegiatan membaca puisi, beliau berpendapat bahawa penganjuran secara konsisten perlu dipergiat.

Karya sastera sangat penting kepada pembangunan modal insan ke arah melahirkan generasi yang seimbang dari segi jasmani, emosi, dan intelektual.

Menyentuh tentang tema pada program itu, ujar beliau, “Tema ini amat sesuai dengan keadaan penutup tahun 2022 memandangkan kita semua akan melangkah ke tahun baharu 2023 dalam berapa hari sahaja lagi.”

Semoga tahun baharu dengan pemerintahan negara yang baharu ini akan membersihkan sistem nilai yang korup yang berlaku di segenap lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama. Juga menekankan nilai-nilai integriti yang melahirkan moral dan karakter bangsa yang bertamadun dan berjaya.

Sebagai golongan pemuisi, beliau berpendapat bahawa dengan jiwa murni dan ikhlas dapat mencipta karya yang indah dan menusuk jiwa, di samping mendidik masyarakat ke arah kebaikan, bermoral dan integriti.

“Segala kebobrokan dan sistem hidup yang korup dan buruk seharusnya diperbaiki segera serta digantikan dengan ekosistem yang positif, betul, dan bertamadun,” jelas beliau.

Pelancaran buku antologi Tali Kerabat terbitan PEMUISI oleh Datuk Seri Profesor Dr. Awang Sariyan.

Pada majlis yang sama juga, berlangsungnya pelancaran buku terbitan PEMUISI yang ke-22, iaitu buku antologi Tali Kerabat. Buku tersebut mengandungi puisi yang dihasilkan oleh 79 orang pemuisi baharu dan mapan daripada dalam dan luar negara yang terdiri daripada Sasterawan Negara, budayawan, ilmuwan dan tokoh korporat.

Program dikemudikan oleh gandingan pengacara ceria Harlym Yeo dan Bunga Merah.

Turut tampil pendeklamasi secara maya yang merupakan seorang sarjana Rusia, pakar sejarah dan budaya Asia Tenggara dari Moscow, Rusia, iaitu Profesor Madya Dr. Victor Pogadaev. Manakala antara yang hadir di Wisma DBP bagi menggemilangkan majlis dengan persembahan secara langsung termasuklah Timbalan Presiden PEMUISI, Profesor Madya Dr. Norhayati Ab Rahman; Exco PEMUISI, Harlym Yeo dan Maslinah Yusoff; Dr. Ibrahim Ghafar, Rasidi Daud, Bunga Merah, Muzaffar dan Muaadah, Che Su Deraman, Nazhatulshima Nolan, Man Bakrie, Pena Permai, Julia Ikin, Sani Sudin, Yanz Hamzah, dan lain-lain.

Selain daripada Program PEMUISI di DBP sebagai penutup tirai tahun 2022, PEMUISI juga turut mengambil inisiatif bersama-sama rakan Kerabat Pemuisi Sedunia untuk menganjurkan Program Interaksi Pemuisi Sedunia 2.0 pada 31 Disember 2022. Program ini dijangka melibatkan penyertaan lebih 20 orang pemuisi dari 10 buah negara seperti Indonesia, Brunei, Singapura, Thailand, China, Australia, Belanda, Korea Selatan dan Rusia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.