Oleh Firdaus Mul
9 November 2022, 16:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bahagian Penyelidikan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM) telah menganjurkan program “Diskusi Buku DBP-UM 2022” pada 3 November lepas. Program ini sepenuhnya dikendalikan oleh Prof. Madya Dr. Tengku Intan Marlina Tengku Mohd Ali (pensyarah Universiti Malaya), sementara pembicara buku pula ialah Dr. Eizah Mat Husain (pensyarah UM) dan Prof. Madya Dr. Roslina Abu Bakar (pensyarah UPM).

Kedua-dua pembicara undangan ini merupakan antara susuk yang dikenali ramai dalam dunia penyelidikan disiplin ilmu kesusasteraan. Program ini tertumpu kepada dua buah buku terbitan DBP, iaitu Syair Duka Nestapa (Wan Roshazli Wan Razali) dan Kedaulatan dan Kekuasaan Melayu Dalam Teks Sastera yang diselenggara oleh Jelani Harun dan Rogayah A. Hamid.

Dr. Eizah Mat Husain (pensyarah UM) sedang membicarakan kajiannya.

Dr. Eizah Mat Husain memilih buku Syair Duka Nestapa sebagai bahan kupasan dalam sesi diskusi ini. Beliau menjelaskan bahawa teks Syair Duka Nestapa merupakan sebuah hasil transliterasi daripada tulisan syair Duka Nestapa yang ditulis sendiri oleh Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II yang menghimpunkan lebih kurang 450 rangkap.

Beliau turut menyatakan bahawa permulaan syair ini merupakan puji-pujian kepada Allah SWT. Ujarnya,

Tujuan teks ini ditulis dengan memuji-muji Allah SWT adalah untuk memperoleh keberkatan. Dalam masa yang sama, tujuannya juga untuk meyakinkan pembaca bahawa penulis masih berpegang teguh dengan ajaran agama walaupun ditimpa musibah.

Tambah beliau lagi, tema ataupun isi kandungan keseluruhan karya ini lebih tertumpu kepada penderitan, kesusahan hidup dan kekecewaan. Hasil terjemahan emosi ataupun perasaan pengarang pada ketika itu diadatapsikan dalam hasil penulisannya.

Ungkapan yang digunakan dalam penulisan Syair Duka Nestapa menggambarkan keadaan baginda yang mengalami kesedihan sewaktu dalam buangan di Melaka. Baginda juga meluahkan rasa kekecewaan dan penyesalan kerana terlalu percaya kepada orang asing apabila baginda memberikan Pulau Pinang kepada Inggeris untuk membuat penempatan dengan harapan Inggeris akan membantu Kedah ketika diserang oleh musuh.

Beliau menyimpulkan bahawa syair ini bukan sekadar luahan perihal penderitaan Sultan Ahmad Tajuddin Halim Syah II sahaja, bahkan dalam masa yang sama menyatakan tentang citra bangsa yang dahagakan kemerdekaan serta hasrat untuk mendapatkan kembali negeri Kedah yang menjadi jajahan Siam.

Pembicara kedua, Prof. Madya Dr. Roslina Abu Bakar pula memilih buku kedua bertajuk Kedaulatan dan Kekuasaan Melayu Dalam Teks Sastera yang diselenggara oleh Jelani Harun dan Rogayah A. Hamid. Beliau menyatakan bahawa buku tersebut menghimpunkan 18 buah esei hasil kajian para sarjana yang membicarakan kedaulatan dan kekuasaan raja-raja Melayu yang bersumberkan naskhah-naskah yang terhasil daripada kepengarangan istana Melayu.

Prof. Madya Dr. Roslina Abu Bakar sedang membicarkan buku Kedaulatan dan Kekuasaan Melayu Dalam Teks Sastera.

Beliau juga jelas menyatakan bahawa sistem pemerintahan beraja yang diamalkan kini merupakan kesinambungan daripada sistem pemerintahan terdahulu. Berdasarkan daripada 18 buah esei yang terhimpun dalam buku tersebut, beliau menyimpulkan bahawa,

Kebanyakan karya-karya yang dihasilkan dan termuat dalam 18 kertas kerja tersebut tidak hanya berkisarkan tentang sistem pemerintahan sesebuah wilayah, tetapi juga tentang semangat mempertahankan tanah air.

Beliau turut menjelaskan bahawa banyak perkara menarik yang ingin disampaikan dalam buku tersebut, khususnya kepada kalangan generasi pembaca baharu tentang keistimewaan raja-raja Melayu selain mengambil iktibar untuk sebuah sistem pemerintahan yang kukuh dan mantap daripada segi ekonomi dan kemakmuran masyarakat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.