Oleh Marsli N.O
8 November 2022, 15:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Marsli N.O bercerita tentang bagaimana sebuah cerita menjadi “cerita”.

Hakikatnya, semua kita memiliki cerita, suka bercerita dan mendengar cerita. … , Namun demikian, meski setiap kita memiliki cerita, tetapi tidak semua orang pula mampu untuk menuliskan cerita-cerita tersebut sebagai sebuah genre karya kreatif yang dinamakan cerpen

Setiap hari, ketika bersama kawan-kawan dan ahli keluarga, di kolej, pejabat atau warung kopi, kita saling mendengar dan bertukar cerita. Cerita mengenai apa sahaja. Sesuatu yang positif atau negatif: mengumpat, menasihati, perkhabaran atau menebarkan fitnah.

Hakikatnya, semua kita memiliki cerita, suka bercerita dan mendengar cerita. Suatu cerita yang benar-benar terjadi, ada fakta dan jelas pelaku serta kejadiannya, atau demi mencapai niat dan tujuan yang negatif. Suatu cerita yang benar sengaja ditokok tambah dan diselewengkan sumber serta kebenarannya.

Namun demikian, meski setiap kita memiliki cerita, tetapi tidak semua orang pula mampu untuk menuliskan cerita-cerita tersebut sebagai sebuah genre karya kreatif yang dinamakan cerpen. Malah ramai pula yang takut untuk menulis cerita yang dimilikinya sebagai sebuah cerpen.

Kenapa terjadi demikian?

Jawabnya ialah tidak banyak kalangan kita yang berasa perlu untuk melanjutkan segala cerita yang dimiliki dan diketahuinya itu (yang sebelumnya dijadikan bahan gosip), teladan atau cermin perbandingan hidup peribadinya sendiri untuk tatapan khalayak yang lebih luas.

Bagi sebahagian kita, segala cerita tersebut memadai hanya diketahui dan berlegar dalam kalangan khalayak sempit yang mereka kenal dan akrab sahaja. Tiada sebarang nilai atau kepentingan untuk dilanjutkan pula sebagai sebuah karya kreatif bersalutkan nilai cereka, sama ada nilai mata benda atau yang sifatnya spiritual.

Sementara sebahagian kita yang lain, yang berniat untuk melanjutkannya sebagai sebuah cerita yang diberikan sifat kreatif dan cereka pula, merasakan betapa menulis itu tidak lain ialah proses membuka keaiban diri sendiri di hadapan khalayak pembaca. Segala yang didedahkan di dalam tulisannya tidak lain juga ialah cermin kebodohan dan kecacatan dirinya sebagai seorang penulis.

Lalu menulis, dalam percakapan ini sebuah cerpen, menjadi mimpi buruk yang menzahirkan rasa takut serta aib yang tidak terperikan kepada seseorang yang pada mulanya punya niat mahu melanjutkan cerita yang dimilikinya kepada khalayak pembaca yang lebih luas.

Sedangkan, hakikat sebenarnya tidak sedemikian.

Tujuan sebenar seseorang yang memilih untuk menulis sebagai wadah mengucapkan dan menyatakan sesuatu kepada masyarakat atau khalayak pembacanya, adalah untuk berkongsi pengalaman, buah fikiran dan segala sesuatu yang dianggap membina dan positif dengan mereka.

Untuk mencapai tujuan tersebut, seorang yang mahu memikul tanggungjawab dan amanahnya sebagai seorang penulis yang baik dan dapat menyalurkan manfaat serta kebaikan kepada masyarakat dan khalayak pembaca tulisannya, perlulah menguasai seni dan teknik bagaimana sebuah  tulisan atau karyanya sewajarnya dipersembahkan sebagai produk akhir kepada mereka.

Hanya dengan menguasai segala teknik dan seni menuliskan sebuah karya secara baik, betul dan benar, maka diri penulis tidak akan dipandang sebagai manusia bodoh yang tiada sedikit pun rasa silu dan segan mempamerkan kebodohan diri sendiri melalui karya.

Namun ketika mahu menuliskan sebuah cerita sebagai cerpen yang bertolak daripada kisah benar dan nyata, berdasarkan sesuatu yang benar berlaku dan berfakta, tidaklah pula boleh dituliskan semula sebagai tiruan atau disalin bulat-bulat seperti wujudnya yang asal.

Soal-soal kerahsiaan peribadi individu yang terlibat di dalam sesebuah cerita, latar tempat dan waktu yang benar-benar wujud tentu sahaja jika didedahkan sebagai sebuah cerpen, apalagi sehingga boleh mendatangkan aib kepada sesiapa yang terlibat di dalam cerita tersebut, pasti sahaja akan mengundang risiko tindakan perundangan dan perbicaraan di mahkamah.

Di sinilah sifat kisah sebenar sesebuah cerita itu perlu diubah kembali sebagai sebuah cerpen dengan cara memberikannya sifat sebuah “cerita yang direka” atau cereka.

Penukaran sifat kisah sebenar ini agar berubah sifatnya sebagai sebuah cerita rekaan atau cereka dilakukan dengan cara menukar dan menyamarkannya. Penyamaran ini berupa penukaran nama watak yang terlibat, pertukaran peranan watak, merubah lokasi kejadian agar tidak dapat ditebak sebagai sesuai yang bersifat tempatan dan mudah dicamkan, ubah suai terhadap kejadian dan  mungkin juga, pengakhiran cerita tersebut.

Namun, usaha menyamarkan sifat benar dan fakta sesebuah cerita yang dijadikan sebuah cerpen ini hanya mampu dilaksanakan dengan kreativiti dan daya imaginasi yang tinggi serta segar. Agar mampu memiliki peralatan ini, seorang penulis cerpen mestilah banyak membaca bahan bacaan yang bermutu dalam semua bidang dan tidak hanya tertumpu kepada sastera semata-mata.

Persyaratan lain yang diperlukan ialah memiliki sifat suka meneroka, mengkaji, banyak bertanya, berfikiran kritis dan memahami konsep betapa dalam penulisan cereka. Segalanya serba mungkin, tiada hukum logik, benar atau salah, namun tidaklah sampai melangkaui batasan larangan agama dan moral.

Tetapi apakah sesungguhnya yang dikatakan sebuah cerpen?

Kata cerpen ialah gabungan daripada dua kata iaitu “cerpen + pendek”. Ukuran pendeknya subjektif. Ada yang mengatakan selesai dibaca dalam waktu sekali duduk ketika menunggu tren atau dalam batasan lapan hingga 12 muka surat yang ditaip langkau dua baris dan bergantung juga kepada had ruang sesuatu majalah dan akhbar. Sesetengah akhbar atau majalah juga ada memberikan garis panduan jumlah perkataan untuk sesebuah cerpen yang dikirimkan ke penerbitan mereka. Namun, yang pasti sebuah cerpen terbatas dalam bentuk kesatuan dan kesan emosinya yang tunggal.

Tentu sahajalah soal bagaimana mahu menulis cerpen itu juga perlu dipelajari dan dikuasai, iaitu bagaimana dengan watak dan perwatakan di dalamnya dan cara menuliskan dialog atau bagaimana bentuk susunan ceritanya.

Dalam keterbatasan dan sifatnya yang pendek, sebuah cerpen digerakkan oleh hukum sebab dan akibat serta konflik yang menjadi tunjang pergerakan dan persoalan. Soal bagaimana penulis cerpen bijak menyusun cerita atau plotnya, bertunjangkan hukum sebab akibat dan konflik, hanya dengan kala awal – tengah – akhir memang suatu dugaan yang mencabar.

Sebagai penulis cerpen, di sinilah kesungguhan, fokus dan kecerdikan kalian dituntut. Semua kita, menulis bukan kerana mahu mempamerkan kecacatan dan kekurangan cerdik diri kita.

Bukan!

Kredit Gambar: Yohann Lc/Unsplash

_________________________

Marsli N.O lahir di Kertih, Terengganu. Kini penulis sepenuh masa dan sering berpergian ke mana-mana secara bersendirian, demi merangsang daya kreatif dan kreativitinya. Telah menerbitkan beberapa buku dan dapat dihubungi lewat e-mel [email protected].

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.