31 Oktober 2022, 16:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kenyataan menarik oleh Encik A. Wahab Hamzah, penulis dan pengkritik filem, dalam “Forum Fiksyen Bukan Sejarah” ialah fiksyen dianggap sebagai sumber yang digunakan khalayak untuk memahami sesebuah peristiwa, sejarah ataupun idea. Forum tersebut telah diadakan di Pawagam Jalan Ampas, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dan menampikan dua orang lagi ahli panel iaitu, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Wan Hashim Wan Teh (Pensyarah Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan UONM) dan Encik Daniyal Kadir (penulis dan pengkritik filem). Encik Azlim Ibrahim, pensyarah ASWARA pula bertindak sebagai moderator forum tersebut.

Menurutnya lagi, sesebuah peristiwa (dalam konteks ini ialah peristiwa sejarah) akhirnya akan menjadi sebuah cerita. Beliau memberi contoh kejadian kemalangan kenderaan yang dilihat di jalan. Selepas sahaja kemalangan itu berlaku, mereka yang menjadi saksi kepada peristiwa itu akan bercerita kepada orang lain untuk difahami dan diketahui. “Sejarah dan peristiwa itu akhirnya akan menjadi sebuah cerita. Apabila berbicara tentang cerita, ia memerlukan watak-watak untuk digarap dan diangkat ceritanya”, ujar beliau lagi.

Para penyelidik harus teruskan melihat, mentafsir dan menyelidiki kebolehan fiksyen, lebih-lebih lagi filem sebagai medium fiksyen yang paling popular hari ini sebagai suatu sumber untuk memahami sejarah.

Namun demikian, beliau juga turut menyatakan bahawa ia tetap merupakan sumber alternatif dan bukan sumber ilmiah dan sumber utama. Katanya, “memang hakikatnya fiksyen seperti filem hanyalah sebuah tafsiran dan olahan kepada sesebuah peristiwa, tetap tidak kuat untuk dijadikan sandaran utama bagi memahami sejarah, lebih-lebih lagi secara ilmiah.”

Encik A. Wahab Hamzah (kanan sekali) sedang menyatakan pandangannya.

Melihat pola bahan kandungan dalam media sekarang, bahan sejarah dalam kalangan masyarakat awam seakan-akan telah menjadi sebuah cerita yang ditapis dan dibentuk semula. Di samping keberadaan buku ilmiah karangan para sejarawan, tidak dapat tidak khalayak secara umumnya semakin rapat dengan media bentuk popular seperti filem dan novel. Malah beliau juga berkongsi, dalam novel A. Samad Said iaitu Salina, olahan terhadap sesebuah peristiwa bersejarah itu berlaku dengan bebas. Katanya,

Saya pernah duduk satu meja dengan Pak Samad untuk menyiapkan sebuah buku dan bercerita tentang pengalaman serta kesusahan hidupnya dahulu. Sungguh apa yang dilaluinya memang tidak lari dengan apa yang ditumpahkannya ke dalam novelnya itu. Tetapi, banyak yang ditambah lebih-lebih lagi sebagai olahan dramatik dan penyedap cerita.

Manakala bagi ahli panel lain iaitu Daniyal Kadir (penulis dan pengkritik filem), salah satu kekuatan paling signifikan seni filem adalah untuk merakam zaman. Kekuatannya dalam konteks itu jika dibandingkan dengan tradisi seni lain agak jauh jurang perbezaannya memandangkan filem ada upaya untuk menangkap pergerakan, cahaya, suara dan imej. Beliau menyambung,

Disebabkan kekuatan dan peranannya itu dalam merakam zaman, walaupun ia secara langsung ialah fiksyen, ia juga menjadi bahan yang berkesan dalam cara khalayaknya untuk mempelajari perihal sejarah.

Selanjutnya, beliau meletakkan pembikin filem dalam beban tanggungjawab yang besar untuk menghasilkan filem-filem yang mengesankan. Beliau meletakkan filem Taste of Cherry sebagai contoh. Pengkaryanya iaitu Abbas Kiarostami cuba untuk mengungkap permasalahan dan wajah-wajah sebenar kota Iran dalam filem itu. Walaupun secara hakikinya ia ialah naratif fiksyen, tetapi disebabkan percampuran elemen, pemilihan dan pengarahan Abbas sendiri sebagai pembikin filem menyebabkan penonton dapat berasa dan mendekatkan diri dengan permasalahan dan peristiwa yang cuba diangkat.

Selain itu, Prof. Emeritus Datuk Dr. Wan Hashim Wan Teh pula menekan kepentingan untuk menyampaikan sejarah melalui perspektif kita, bukan sahaja perspektif orang luar, dan menyebutkan filem Mat Kilau yang baru-baru ini pecah panggung.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.