Oleh Julia Henry
26 Oktober 2022, 17:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuching – Anugerah Tinta Kenyalang merupakan program yang diinisiatifkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak dan telah dilaksanakan sejak tahun 2008. Program mega ini merupakan usaha berterusan DBP Cawangan Sarawak bagi menggalakkan minat untuk menulis karya kreatif dan bukan kreatif, selain mengesan bakat penulis muda dan mengiktiraf penulis negeri Sarawak yang prolifik dan mapan. Melalui Anugerah Tinta Kenyalang juga, bakat dan hasil karya oleh penulis kelahiran Sarawak diraikan dan diiktiraf berdasarkan beberapa kategori penulisan.

YB Encik Shafiee Ahmad merasmikan Majlis Anugerah Tinta Kenyalang dan Malam Lestari Bahasa 2022.

Majlis Anugerah Tinta Kenyalang yang disekalikan dengan Malam Lestari Bahasa 2022 berlangsung pada 25 Oktober 2022 di Hotel Hilton Kuching. Majlis ini telah dirasmikan oleh Ahli Lembaga Pengelola DBP merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri N43 Daro, Yang Berhormat (YB) Encik Safiee bin Haji Ahmad. Dalam ucapan perasmiannya, beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada DBP Cawangan Sarawak atas usaha menganjurkan majlis yang menjadi medan untuk meraikan penulis dari Sarawak, yang berjaya menghasilkan penulisan kreatif dan bukan kreatif, yang diiktiraf kualitinya. Beliau juga turut menzahirkan rasa gembira kerana dapat bertemu dengan karyawan dan sasterawan dari negeri Sarawak setelah dua tahun majlis ini tidak diadakan secara fizikal dan bersemuka.

Sebelum itu, dalam ucapan alu-aluannya, Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Encik Abang Haliman Abang Julai merakamkan ucapan terima kasih kepada YB Encik Safiee bin Haji Ahmad atas kesudiannya melapangkan masa untuk hadir dan merasmikan majlis anugerah yang berprestij bagi dunia persuratan negeri Sarawak.

Sesungguhnya kehadiran YB Encik Safiee bin Haji Ahmad begitu bermakna dan membuktikan sokongan dan dukungan yang tidak berbelah bahagi Kerajaan Negeri Sarawak dalam usaha meneruskan agenda memartabatkan bahasa, sastera dan budaya, khususnya di Bumi Kenyalang,

demikian kata Encik Abang Haliman Abang Julai dalam pembukaan ucapannya.

Selaku Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Encik Abang Haliman menyatakan Majlis Anugerah Tinta Kenyalang diadakan untuk meraikan dan memberikan pengiktirafan kepada penulis negeri Sarawak, selain menyatakan rasa penghargaan atas sokongan dan keakraban yang telah diberikan oleh pelbagai pihak terhadap usaha dan kegiatan yang telah dilaksanakan oleh DBP Cawangan Sarawak sepanjang tahun 2022.

Bersempena dengan majlis yang meraikan bakat dan kejayaan penulis dalam menghasilkan karya, turut diadakan pelancaran buku terbitan DBP tahun 2022 yang dihasilkan oleh penulis Sarawak. Sebanyak tujuh buku yang terbit pada tahun 2022 dilancarkan oleh YB Encik Safiee bin Haji Ahmad, iaitu Memandang Cangkerang (Abizai), Lelaki Kata-kata (Jaafar Hamdan), Lagu Puisi Terakhir (Justin Amban), Stanza Terakhir Seorang Lelaki (Dahiri Saini), Cinta Maharani (Naziah Naziri), Sejambak Bunga Maya (Beb Sabariah), dan Ungkapan Berkias Orang Melayu Sarawak (Abang Patdeli Abang Muhi).

Kemuncak acara Anugerah Tinta Kenyalang ialah penyampaian hadiah kepada para penulis yang memenangi Hadiah Sastera Tunas Sarawak 2021/2022 dan Hadiah Sastera Penulis Sarawak 2021/2022. Karya sastera seperti puisi, cerpen dan esei yang memenangi hadiah sastera itu dinilai berdasarkan karya yang tersiar dalam Utusan Borneo melalui ruangan “Yang Indah Itu Bahasa”, Utusan Sarawak, Suara Sarawak, Berita Harian dan majalah Dewan Sastera terbitan DBP.

Pelancaran tujuh buku hasil karya penulis negeri Sarawak.

Hadiah Sastera Tunas Sarawak 2021/2022 kategori sajak dimenangi oleh Ahmad Tajuddin Ismail (“Guru Matahari”), Aidil Farmi Mohamad (“Nostalgia Kota Samarahan”) dan Sharifah Zubaidah Wan Abu Bakar (“Petani Tua”). Penulis yang memenangi kategori cerpen pula ialah Jawa Manggau (“Sungai Seguai”), Ahmad Shafie Mohd Apendai (“Semut Merah dan Semut Hitam”), dan Sharifah Zubaidah Wan Abu Bakar (“Jalan Rezeki”).

Bagi Hadiah Sastera Penulis Sarawak 2021/2022, beberapa nama karyawan Sarawak yang prolifik diangkat sebagai pemenang. Kategori puisi dimenangi oleh Zainal Abidin Suhaili atau Abizai (“Sukar Bergelar Rama-rama”), Abang Median Abang Said (“Menyisip Prinsip”), Sriwati Labot (“Camar Putih di Dada Gelombang”), Rosani Hiplee (“Sejenak Berteduh di Bawah Rembulan Rabiulawal”), dan Jaya Ramba (“Tetawak Merdeka dari Rumah Panjang Kami”). Penulis yang memenangi kategori cerpen pula ialah Frankie Latit (“Batuk Kering di Lembah Gering”), Lokman Hakim Abdul Wahid (“Selimut”), Abang Median Abang Said (“Seorang Guru yang Terpaku di Depan Komputer Riba”), Roslan Jomel (“Siapa Pengarang Asal Kitab Alam Semesta”), dan Dahiri Saini (“Tanah Bernyanyi”).

Hadiah Sastera Penulis Sarawak 2021/2022 turut mengiktiraf tulisan esei kritikan sastera yang berkualiti. Penulis yang memenangi kategori esei kritikan ialah Abang Median Abang Said, Dilah Tuah, Sara Beden, Roslan Jomel dan Mohidin Malek. Anugerah Tinta Kenyalang turut memberikan pengiktirafan bagi kategori novel. Karya Abang Median Abang Said bertajuk Jejak Hilang yang Pulang (terbitan DBP) dan karya Mohamad Bahruddin Mohamad Bekri bertajuk Lelaki Penghantar Cinta (terbitan DY Kreatif Network) diiktiraf sebagai pemenang kategori novel.

Majlis Anugerah Tinta Kenyalang dan Malam Lestari Bahasa turut meraikan pemenang Anugerah Citra Majalah Sekolah Menengah Negeri Sarawak 2022. Kategori Majalah Terbaik dimenangi oleh SMK Pending dengan majalah bertajuk Apong 2021, yang turut memenangi kategori Majalah Terbaik (Bahasa). Majalah Terbaik (Penerbitan) pula dimenangi oleh SMK Kubong dengan majalah bertajuk Mercu 2021. Hadiah Khas Juri pula diberikan kepada SMK Sacred Heart.

Tetamu kenamaan yang terdiri daripada Sasterawan Negeri Sarawak, tokoh korporat dan Ketua Jabatan Kerajaan Negeri Sarawak.

Selain itu, DBP juga menyampaikan sijil penghargaan kepada beberapa jabatan dan agensi kerajaan sebagai rakan sinergi yang tanpa jemu berkolaborasi dengan DBP Cawangan Sarawak dalam menjayakan program kebahasaan, kebudayaan dan kesusasteraan. Pihak media juga turut diraikan sebagai tanda penghargaan atas sokongan yang diberikan selama ini.

Penyampaian cenderamata berupa Kamus Dewan Perdana kepada YB Encik Shafiee Ahmad.

Yang turut hadir dalam majlis ini ialah Sasterawan Negeri Sarawak, Zainal Abidin Suhaili atau Abizai, Jong Chiang Lai dan Dato’ Dr. Adi Badiozaman Tuah. Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran ramai penulis mapan kelahiran negeri Sarawak selain tokoh penulisan seperti Dato’ Dr. Jeniri Amir yang kini selaku Ketua Pegawai Eksekutif Tribune Press dan Suara Sarawak.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.