Oleh Firdaus Mul
23 Oktober 2022, 00:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuching – Selepas Seminar Sastera Borneo membuka lembaran tirainya semalam, hari ini dilanjutkan beberapa siri pembentangan kertas kerja, antaranya ialah Sesi Pembentangan Kertas Dasar. Sesi ini merupakan sesi pembentangan yang istimewa kerana melibatkan pembentang kertas kerja daripada Dewan Bahasa dan Pustaka, iaitu YBrs. Dr. Hazami Jahari (Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan Dewan Bahasa dan Pustaka), YBrs. Puan Aminah Awang Basar (Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah) dan YBrs. Encik Abang Haliman Abang Julai (Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak). Pembentangan kertas dasar ini masih membawa naratif yang sama seperti pembentangan sebelum ini, yakni berpaksikan keupayaan sastera sebagai produk pelancongan. Pembentangan Kertas Dasar ini dikendalikan sepenuhnya oleh YBrs. Tuan Haji Japri Bujang Masli (Pemangku Ketua Pengarah Eksekutif Pustaka Negeri Sarawak).

YBrs. Tuan Haji Japri Bujang Masli (Pemangku Ketua Pengarah Eksekutif Pustaka Negeri Sarawak) yang bertindak sebagai moderator.

YBrs. Dr. Hazami Jahari menerusi pembentangannya yang bertajuk “Pelancongan Sastera Perspektif Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Malaysia” jelas menyatakan bahawa sastera mempunyai keupayaan untuk menjadi salah satu pemangkin industri pelancongan negara. Keupayaan ini dilihat selepas melakukan tinjauan awal terhadap beberapa penganjuran dan pelaksanaan aktiviti berkaitan dengan kesusasteraan di Malaysia. Jelas beliau lagi,

Tinjauan awal yang dilakukan dengan berlatarkan Kuala Lumpur, jelas menunjukkan bahawa sastera berbentuk persembahan dan penganjuran kegiatan kesarjanaan sastera yang bersifat serantau atau antarabangsa memberikan gambaran bahawa kesusasteraan tanah air mampu menjadi produk yang berkualiti untuk diadaptasikan sebagai produk pelancongan.

YBrs. Dr. Hazami Jahari (Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan Dewan Bahasa dan Pustaka) sedang membentangkan kertas kerjanya.

Beliau memberikan contoh beberapa penganjuran seminar dan wacana yang bersifat serantau dan antarabangsa yang memiliki potensi khas untuk menarik pelancong seperti penganjuran Dialog Borneo Kalimantan, Pertemuan Sasterawan Nusantara, dan Pengucapan Puisi Dunia.

Segala pelaksanaan dan penganjuran tersebut membuktikan daya ketertarikan kesusasteraan mampu dijadikan sebagai tamsilan dalam usaha menjadikan sastera sebagai salah satu pemangkin pelancongan negara. Dalam masa yang sama, untuk merealisasikan impian ini, beliau berpendapat bahawa hal tersebut memerlukan kerjasama daripada semua pihak berkepentingan agar khazanah kesusasteraan yang ada yang menjadi produk pelancongan dan produk yang berdaya tahan serta kalis zaman. Katanya,

Untuk menjadikan impian sebagai kenyataan, ia memerlukan perancangan yang teliti, usaha yang bersungguh-sungguh, penyediaan dana, dan pelibatan pelbagai pihak berkepentingan. Kemudian ia juga memerlukan kepakaran latihan dan penghasilan tenaga kerja seni dan sastera yang berkualiti. Mengkomersialkan khazanah sastera ialah kunci utama. Hal ini akan membuktikan keupayaan produk sastera untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan produk pelancongan yang lain.

YBrs. Puan Aminah Awang Basar selaku pembentang kedua juga percaya dengan keupayaan yang dimiliki, karya sastera tanah air boleh dijadikan sebagai salah satu produk pelancongan yang menguntungkan. Bukan sekadar menguntungkan negara, bahkan secara tidak langsung memberikan kesan kepada kerancakan sastera tanah air dan menyumbang pendapatan kepada masyarakat setempat. Memandangkan beliau mewakili DBP Cawangan Sabah dalam sesi pembentangan ini, maka naratif pembentangannya tertumpu pada latar negeri Sabah. Bagi beliau, keunikan yang dimiliki negeri Sabah, yakni kepelbagaian etnik dan bahasa secara tidak langsung melahirkan pelbagai jenis karya kesusasteraan.

YBrs. Puan Aminah Awang Basar (Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah) sedang memperkatakan tentang karya sastera sebagai produk pelancongan.

Kepelbagaian Menurut beliau lagi, perkara ini bukan sahaja membentuk keunikan bahkan membentuk daya ketertarikan masyarakat luar untuk mendalami, mengkaji dan memahami masyarakat setempat. Beliau juga turut menyatakan bahawa industri pelancongan merupakan industri yang sangat penting terhadap perkembangan ekonomi sesebuah negara. Pelancongan juga bukan sekadar dapat menjana pendapatan negara, bahkan berupaya membangunkan sosioekonomi masyarakat, pertumbuhan infrastruktur dan mempromosikan budaya bangsa. Jelasnya lagi,

Di Sabah, kira-kira terdapat 50 kelompok etnik dan 200 subetnik yang menunjukkan kepada kita tentang kepelbagaian yang dimiliki. Kewujudan pelbagai kelompok etnik dan subetnik ini secara tidak langsung mendorong kepada kepelbagaian jenis sastera tradisional, terutamanya cerita rakyat.  Jika ia berjaya dikomersialkan, maka ia akan menjadi tarikan pelancong. Pelancong lebih tertarik kepada sesuatu yang mereka tidak pernah peroleh di luar sana, maka kepelbagaian sastera tradisional yang dimiliki oleh pelbagai etnik di Sabah mampu membentuk daya ketertarikan.

YBrs. Encik Abang Haliman Abang Julai selaku pembentang ketiga pula lebih menitikberatkan karya sastera yang berunsurkan kearifan tempatan sebagai produk pelancongan. Kepelbagaian etnik yang dimiliki negeri Sarawak dan kepelbagaian genre sastera tradisional yang lahir kelihatan mampu membentuk cita rasa kelainan kepada masyarakat luar, dan sekali gus boleh menarik minat mereka untuk lebih mengetahui kehidupan masyarakat setempat.

YBrs. Encik Abang Haliman Abang Julai (Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak) sedang menjelaskan tentang kearifan tempatan yang terdapat dalam karya sastera tempatan.

Selain itu, beliau juga turut berpandangan bahawa pelancongan berasaskan kesusasteraan harus disesuaikan dengan norma kehidupan yang ada di negara ini. Ujarnya,

Perlu ada satu garis panduan yang jelas tentang sastera sebagai produk pelancongan, agar pelaksanaannya selari dengan budaya dan agama yang diamalkan oleh masyarakat majmuk di negara ini.

Beliau juga kelihatan bersetuju dengan gagasan awal yang diutarakan oleh pembentang pertama dan kedua, yakni melihat potensi dan cakupan yang ada dalam genre kesusasteraan yang mampu menjadi salah satu produk pelancongan. Beliau menyatakan bahawa tempat-tempat menarik dan kearifan tempatan yang terdapat dalam karya sastera harus diberikan penekanan.

Seterusnya, beliau juga menyatakan bahawa pelbagai program dan kegiatan telah dilakukan oleh pihak DBP Sarawak yang berkait rapat dengan pelancongan seperti penyelidikan kearifan tempatan Sarawak dan seminar serta wacana tempatan.

Kesemua program dan kegiatan ini membuktikan keupayaan yang ada dalam khazanah sastera tanah air, khususnya negeri Sarawak, maka hasrat untuk menjadikan sastera sebagai produk pelancongan bukanlah satu perkara yang mustahil.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.