21 Oktober 2022, 18:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuching – Seminar Sastera Borneo dimulakan pada hari ini dengan sesi pembentangan pertama yang membawa tajuk “Sastera dan Pelancongan”. Sesi pembentangan tersebut yang berlangsung di Balai Budaya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak, Kuching menampilkan pembentang dari empat buah negara, iaitu Malaysia, Brunei, Indonesia dan Singapura.

Sesi dimulakan dengan pembentangan makalah oleh Pemangku Pengarah DBP Brunei, Yang Mulia Tuan Haji Awang Suip Haji Abdul Wahab dengan tajuk “Potensi Pelancongan Sastera di Negara Brunei Darussalam”. Menurut beliau, sastera menjadi satu daripada wahana yang mampu melonjakkan keyakinan dan minat pelancong untuk datang melawat ke sesebuah negara. Sebagai contoh, bandar Edinburgh di Scotland telah mendapat pengiktirafan daripada Pertubuhan Pelajaran, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai bandar sastera pertama. Edinburgh merupakan bandar kelahiran bagi kebanyakan penulis antarabangsa tersohor seperti Arthur Conan Doyle dan J. K. Rowling.

Pembentang pertama dan kedua.

Sesi diteruskan dengan pembentangan makalah “Pariwisata dan Sastra Lisan di Kalimantan Barat” oleh Dr. Ismail Ruslan dari Institut Agama Islam Negeri (IAIN) Negeri Pontianak. Beliau berkata, sastera lisan mampu mendukung usaha kerajaan untuk menghidupkan destinasi pelancongan di Kalimantan Barat. Hal ini dibuktikan dengan kepesatan aktiviti pelancongan di beberapa destinasi popular di Kalimantan Barat yang kaya dengan kisah sastera dan hikayatnya seperti Kota Pontianak yang dikunjungi kerana ceritera hantu dan Pulau Lemukutan kerana keunikan meriam yang terdapat di sana.

Pembentangan makalah ketiga yang bertajuk “Sastera dan Pelancongan” pula disampaikan oleh Encik Suraidi Sipan dari Angkatan Sasterawan 50 (ASAS 50) Singapura. Dalam pembentangannya, beliau menyatakan bahawa sastera dan pelancongan merupakan dua disiplin yang agak berbeza. Walau bagaimanapun, apabila dua bidang ini disatukan, gabungan ini mampu melahirkan suatu produk yang amat luar biasa. Hal ini dapat dilihat terutamanya di United Kingdom dan Amerika Syarikat yang begitu memperkasakan golongan sasterawan dengan membina muzium atau rumah peringatan bagi karyawan seperti Ernest Hemingway dan Emily Dickinson. Oleh itu, beliau berpendapat bahawa aspirasi ini perlu dicontohi dan diketengahkan dengan giat di rantau nusantara.

Pembentang ketiga dan keempat.

Pembentangan makalah terakhir bertajuk “Hikayat Panglima Nikosa: Dari Daerah Sastera ke Negeri Pelancongan” dikongsikan oleh Timbalan Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Encik Ja’afar Haji Hamdan. Menurut beliau, sastera pelancongan dirujuk sebagai pelancongan yang berkembang secara semula jadi di sekitar tempat yang terdapat padanya karya sastera dan keberadaan pengarang. Hikayat Panglima Nikosa oleh Ahmad Shawal Abdul Hamid dianggap sebagai novel Melayu pertama di dunia. Mengikut catatan pengkaji, hikayat ini telah dicetak pada batu (kaedah litografi) pada tahun 1876 di Bukit Persinggahan, Kampung Boyan, Kuching, Sarawak.

Sesi pembentangan yang dipengerusikan oleh Encik Osman Zaini dari Persatuan Karyawan Sarawak (PEKASA) diakhiri dengan penyampaian cenderamata kepada panel pembentang dan pengerusi sesi oleh Sasterawan Negeri Sarawak Ketiga, Datu Dr. Haji Badiozaman Tuah dan Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Encik Abang Haliman Abang Julai.

Empat panel pembentang menerima cenderamata yang disampaikan oleh Sasterawan Negeri Sarawak Ketiga, Datu Dr. Haji Badiozaman Tuah (empat dari kiri) dan Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Encik Abang Haliman Abang Julai (tiga dari kiri).

Seminar Sastera Borneo yang diadakan bersempena dengan Festival Sastera Borneo 2022 ini berlangsung bermula pada hari ini hingga 23 Oktober 2022 dan menyajikan pelbagai pembentangan kertas kerja yang merangkumi skop sastera dan pelancongan. Khalayak boleh mengikuti seminar ini secara bersemuka atau secara dalam talian melalui siaran langsung yang disiarkan di laman Facebook Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sarawak.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.