Oleh Karmila Azmi
21 Oktober 2022, 14:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

London – Di tengah-tengah krisis ekonomi yang melanda Sri Lanka, novelisnya Shehan Karunatilaka, 47, menyuntik rasa bangga dan perpaduan dalam kalangan rakyat negara itu.

Hal ini susulan kejayaan Karunatilaka muncul sebagai pemenang Booker Prize 2022 menerusi novel The Seven Moons of Maali Almeida. Kejayaan itu seperti yang dilaporkan oleh beberapa media, menarik minat politikus Sri Lanka yang masing-masing mengucapkan tahniah kepada pengarang menerusi Twitter.

Naskhah itu mula menarik perhatian ramai apabila berada dalam senarai pendek Booker Prize seperti yang diumumkan pada 6 September lalu, sebelum muncul sebagai juara pada 17 Oktober lalu. Pengiktirafan itu tentu sahaja memberikan sudut pandang lain terhadap Sri Lanka yang ketika ini bukan saja ditekan oleh krisis ekonomi tetapi pergolakan sosiopolitik.

Karunatilaka dalam satu temu bual menyebut, idea naskhah itu muncul pada tahun 2009. Beliau ingin memberikan pembaca perspektif watak yang sudah meninggal dunia. Hal ini katanya selari dengan perkembangan semasa apabila tamat perang saudara di negara itu, terlalu banyak perdebatan mengenai ramainya orang awam yang terkorban dan siapa yang harus disalahkan.

The Seven Moons of Maali Almeida bercerita mengenai pembunuhan seorang wartawan foto (photo journalist) yang dibunuh di tengah-tengah pergolakan ideologi di Sri Lanka sekitar tahun 1990. Watak utamanya, Maali, bangkit daripada kematian sebagai hantu dan mempunyai masa tujuh bulan untuk menyelesaikan pembunuhannya. Novel yang mencampurkan tema satira, detektif dan kisah cinta itu memaut hati juri yang menyifatkan karya berkenaan sebagai “bercita-cita tinggi, berani dan diperkemas dengan teknik naratif yang mencuit hati pembaca.”

Naskhah itu sebenarnya novel kedua Karunatilaka. Novel pertamanya, Chinaman terbit pada tahun 2011. Kemenangan itu membolehkan Karunatilaka menerima £50 ribu. Booker Prize ialah penghargaan untuk karya fiksyen berbahasa Inggeris yang diterbitkan di United Kingdom.

Karunatilaka ialah pengarang kedua buat Sri Lanka yang memenangi Booker Prize sesudah Michael Ondaatje berbuat demikian pada tahun 1992 untuk The English Patient.

Kredit Foto: The Booker Prizes

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.