13 Oktober 2022, 12:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Rancangan “Bicara Karyawan: Kumpulan Drama Ragang” menampilkan penulis buku ini, iaitu Roydy Anuar atau nama penanya Roydy Rokidy. Beliau merupakan seorang penulis skrip drama pentas dan telah menghasilkan 27 buah skrip. Kumpulan Drama Ragang ini juga merupakan buku pertama beliau yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.

Dalam bicara tersebut, beliau menyatakan idea dalam menghasilkan skrip drama pentas datang dalam pelbagai cara seperti melalui pembacaan, penontonan, pemerhatian, pengalaman diri sendiri atau orang lain. Contohnya, beliau berkongsi berkenaan cetusan idea yang diperoleh dalam menghasilkan skrip drama Ragang iaitu melalui pembacaan akhbar yang menceritakan tentang kaum orang asli untuk mempertahankan tanah mereka daripada dirampas. Melalui pembacaan ini maka tercetusnya idea untuk dikembangkan menjadi skrip drama tersebut.

Tema tragedi digunakan dalam keseluruhan buku ini seperti kisah perjuangan bangsa, agama, keluarga, tanah air dan pengakhirannya berakhir dengan tragedi. Beliau juga berkongsi tentang cabaran dalam penghasilan skrip ialah cerita dan isu yang ditampilkan itu harus dekat dalam hati masyarakat dan kekal relevan. Pemilihan tajuk juga merupakan antara cabaran yang ada kerana perkara tersebut amat penting untuk memikat hati pembaca atau penonton.

Pada akhir rancangan ini, beliau menyatakan harapan sebagai seorang penulis agar karya yang dihasilkan kekal relevan dan menggalakan penulis skrip drama pentas supaya menerbitkan buku, khususnya di DBP kerana karya itu akan ditapis dan mempunyai garis panduan khusus, terutamanya daripada segi laras bahasa yang lebih sesuai untuk dipentaskan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.