Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Bersempena dengan Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Asia Tenggara (SAKAT) XVI 2022, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka, YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan telah diberikan penghormatan menyampaikan ucap utama yang bertajuk “Sastera Inklusif: Sastera untuk Sastera atau Sastera untuk Apa dan Siapa?
Dalam ucap utamanya, Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan mengatakan bahawa ada beberapa isu yang berkaitan dengan sastera, khususnya tujuan dan fungsi sastera dari awal perkembangan hingga kini. Beliau menyorot beberapa isu teras yang berkaitan dengan sastera sebagai satu daripada cabang kebudayaan dan tamadun, bukan unsur yang terpisah daripada kehidupan manusia, dan bukan juga unsur milik eksklusif sekelompok manusia yang disebut sebagai “sasterawan”.
Isu pertama yang dibincangkan termasuklah perihal persepsi dan kefahaman masyarakat tentang sastera yang masih kabur. Segelintir pihak beranggapan bahawa sastera adalah kegiatan masa lapang bagi orang yang berminat dalam bidang seni, tetapi bukan keperluan bagi insan seluruhnya. Itulah asbab sastera masih kelihatan terbatas pada kelompok tertentu yang kecil pula jumlahnya.
Menurut Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan,
Kesilapan tanggapan masyarakat umum itu dan sejumlah orang yang intelektual, sebahagiannya berpunca daripada ketidakjelasan akan tujuan bersastera dalam kalangan sebahagian sasterawan sehingga sejumlah karya sastera lebih bersifat penzahiran suara hati peribadi sasterawan yang tidak berkaitan dengan isu pembinaan sahsiah, kehidupan masyarakat, isu negara dan isu kemanusiaan sejagat.
Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan turut menyentuh isu kebebasan sastera daripada sebarang ideologi atau idealisme. Menurutnya, falsafah dan pemikiran tidak seharusnya dijadikan fesyen, seolah-olah idealisme tidak sesuai lagi dalam zaman sebahagian orang asyik dengan falsafah Deskonstruktisme yang mencuba memecahbelahkan segala pemikiran sebelumnya.
Tambah beliau lagi, kepentingan sastera seharusnya dihubungkan dengan pembinaan insan dan “memanusiakan” manusia serta tidak menganggap estetika kurang penting dan hanya untuk menyampaikan perutusan yang luhur semata-mata. Imbangan antara isi dengan wadah masih perlu dipelihara kerana yang dikatakan “susastera” itu merujuk makna “keindahan”. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan turut menyentuh perihal nilai ilmu dalam sastera. Beliau mengatakan,
Meskipun karya sastera bukan karya ilmiah, pertanggungjawaban terhadap ilmu tetap tidak boleh diabaikan. Karya sastera kreatif tetap merupakan wasilah penyampaian ilmu, namun penyampaiannya berbeza daripada tulisan ilmiah seperti esei, tesis dan laporan penyelidikan.
Isu khalayak sastera turut diketengahkan dalam memperkatakan sastera inklusif. Menurut beliau lagi, ada tiga sudut yang menggugah keprihatinannya, iaitu isu khalayak kelompok, isu khalayak berdasarkan usia dan isu khalayak berdasarkan lokasi. Sastera seolah-olah menjadi milik eksklusif para elitis sastera dan tidak merakyat, selama itulah sastera kurang berhasil memenuhi peranannya dalam pembinaan insan.
Maka itu, tambahnya lagi, upaya untuk memupuk minat dan pelibatan golongan lain, khasnya golongan profesional, pemimpin, korporat dan yang lain perlu dijadikan agenda bersama-sama DBP, Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA), Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Pelancongan dan Seni Budaya Negara dan pertubuhan sastera.
Dalam konteks yang lain, golongan ilmuwan dan sarjana perlu diakrabkan dengan dunia sastera. Masyarakat dan negara memerlukan sarjana yang mempunyai rasa bahasa dan sastera selain tersohor dalam bidang ilmiah masing-masing. Manusia merupakan makhluk terbaik (ahsani takwim) yang bersepadu dalam komponen diri yang zahir dan diri yang batin. Dalam diri yang batin, bukan sahaja akal, bahkan perasaan, nurani, intuisi, hati dan kalbu turut menjadi juzuk penting bagi diri manusia.
Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan berkata,
Kita memerlukan saintis yang saintifik pemikiran dan teknokrat yang sistematik cara gaya kerjanya tetapi pada waktu yang sama mempunyai kehalusan budi, rasa dan intuisinya. Itulah juga antara yang terkandung dalam program memanusiakan manusia melalui sastera.
Sistem pendidikan sejak peringkat awal hingga pengajian tinggi mesti menyepadukan sastera dalam kurikulum dan kokurikulum secara terancang dan serius. Aliran sains dan aliran sastera tidak wajar menjadi alasan untuk memisahkan sastera daripada pelajar aliran sains. Demikian juga dalam kalangan pendidik tidak wajar dipisahkan atau memisahkan diri daripada pelibatan dalam dunia sastera, bukan untuk mengisi keseronokan perasaan, tetapi untuk menjadikan sastera sebagai pembentuk adab.
Beliau turut menegaskan bahawa sasterawan perlu menjadi suara perjuangan etos bangsa dan negara. Dalam kemelut menghadapi serangan menggoyahkan pancang kenegaraan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, seperti kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, kedudukan Raja-raja, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, dan kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera serta hak sah kaum lain, kita mengharapkan sasterawan menjadi jurubicara perjuangan di barisan hadapan bersama-sama pejuang lain.