Oleh Harlym Yeo
27 September 2022, 11:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Puisi Murni, Malaysia Harmoni” diangkat menjadi tema penganjuran program baca puisi bulanan PEMUISI di DBP edisi 9.0. Pendakwah bebas, Prof. Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah diberikan penghormatan menjadi perasmi bagi program tersebut.

“Niat saya ke mari ini bukan untuk merasmikan ataupun menjadi tetamu kehormat, tetapi adalah untuk berjumpa dengan para pemuisi yang berbilang kaum,” ujar beliau yang berasa bertuah dan teruja dengan penglibatan para pelajar berbilang kaum daripada sekolah antarabangsa, iaitu Sekolah Wesley Methodist (Wesley Methodist School Kuala Lumpur – International).

Program anjuran Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang telah diadakan di Stor Teater DBP, Kuala Lumpur itu menampilkan hampir 20 orang peserta dan istimewanya penglibatan dua kumpulan iaitu “Wesleyan Idols” dan “The Shining Trio” daripada Sekolah Wesley Methodist.

Persembahan bacaan puisi dan lagu patrotik dinyanyikan dengan berkobar-kobar oleh kumpulan Wesleyan Idols yang dianggotai oleh Gwenyth Ong Wei Mun, Ayrianne Lew En Xie, Adele Lee Xue Qi, Brenda Yong Xin Yue, Mugilsri Gokilan, dan Jireh Ngoi Ee Le, manakala kumpulan adik-beradik The Shining Trio iaitu Chang Xuan Ni, Chang Hao Yuan dan Chang Hao Sheng membuat persembahan pembuka gelanggang program tersebut.

Menurut Prof. Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, dunia puisi memerlukan lebih ramai pemuisi dalam kalangan bukan Melayu yang mampu menguasai bahasa Melayu dalam usaha untuk memartabatkan bahasa kebangsaan. Ujarnya,

Bahasa ialah puisi dan puisi ialah bahasa. Selagi kita tidak menguasai bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, maka selagi itu kita tidak akan mampu membaca dan menikmati puisi dengan penuh penghayatan.

Beliau juga turut mengakui bahawa beliau tidak mahir dalam membaca teks ucapan yang disediakan sebaliknya lebih suka untuk melontarkan kata-kata daripada sanubari dan hati.

Dr. Ibrahim Ghaffar sedang membaca puisi.

“Kata hati tidak pernah berdusta berbanding dengan kata-kata yang keluar daripada mulut. Tetapi jika kata-kata yang keluar daripada mulut itu seiring dengan hati, ia ialah kata (yang mencerminkan) diri kita sendiri,” jelas beliau yang turut membacakan puisi karyanya sendiri berjudul “Melayukah Aku?”.

Presiden PEMUISI, Dato’ Dr. Radzuan Ibrahim (kiri) memberikan cenderamata kepada Prof. Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah.

Merujuk kepada pemilihan tema program pada kali ini iaitu, ‘Puisi Murni, Malaysia Harmoni’, Presiden PEMUISI, Dato’ Dr. Radzuan Ibrahim berpendapat bahawa tema tersebut bersesuaian kerana bersempena dengan sambutan Hari Malaysia pada bulan September. Katanya yang juga dikenali dengan nama pena Wanrazuhar,

Puisi murni ialah puisi yang luhur, bersih, dan ikhlas dalam konteks kecintaan terhadap negara bagi meniupkan rasa kasih sayang terhadap negara, hidup aman, damai, dan harmoni dalam masyarakat majmuk.

Turut hadir memberi persembahan yang mengasyikkan adalah daripada kalangan para pemuisi, penggiat seni sastera, pelajar sekolah, dan orang awam. Antaranya ialah Datuk Radzuan Abdullah, Dr. Ibrahim Ghaffar, Awang Abdullah & Mimi GM, Adik Mawaddah & M. Perindu Seni, Ramadan Akmal B Md. Jamal (TUDM), Julia Ikin, Norlizah Mohd Yassin, Dani, Azmi Mohd Nordin, Adik Aryan Andika, Man Bakrie, Mohd Shamier Mohd Shakir, Lin Haslinaz, dan Maslinah Yusoff.

Awang Abdullah dan Mimi GM sedang membuat persembahan.
Adik Mawaddah dan M. Perindu Seni.

Program PEMUISI di DBP 10.0 dijangka bersiaran pada 29 Oktober 2022, Sabtu, 8.30 malam di Stor Teater DBP, Kuala Lumpur. Penganjur mengalu-alukan kehadiran dan penyertaan peminat untuk mengambil bahagian dalam program akan datang dengan menghubungi Timbalan Setiausaha PEMUISI, Marzelan Perindu Seni.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.