26 September 2022, 11:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bangi – Pusat Penyelidikan Manuskrip, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), UKM dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menganjurkan Diskusi Manuskrip Melayu siri 5/2022 bertajuk “Peranan Manuskrip Falak di Aceh” secara atas talian. Diskusi ini disampaikan oleh Encik Hermansyah, Pensyarah di Prodi Sejarah dan Kebudayaan Islam, Fakultas Adab dan Humaniora, UIN Ar-Raniry Banda Aceh.

Aceh menjadi salah satu pusat yang menghimpunkan sejumlah besar manuskrip Melayu di Nusantara. Namun, selepas berlaku bencana tsunami pada tahun 2004, sebahagian besar koleksi manuskrip yang disimpan tersebut telah hilang. Selain pusat penyimpanan manuskrip, terdapat juga manuskrip yang berada dalam simpanan penduduk tempatan dan dijadikan sebagai koleksi peribadi.

Encik Hermansyah, Pensyarah di Prodi Sejarah dan Kebudayaan Islam, Fakultas Adab dan Humaniora, UIN Ar-Raniry Banda Aceh sedang membentangkan kajiannya.

Umumnya keberadaan manuskrip di Aceh meliputi pelbagai jenis bidang ilmu. Antaranya ialah al-Quran, hadis, fiqah, syariah/hukum, sains, adat/budaya, farmasi dan tasawuf. Beliau juga mengetengahkan tiga teori proses masuknya ilmu falak ke Aceh, iaitu melalui proses Islamisasi masyarakat Aceh pada abad ke-8M, perkembangan ilmu hasil daripada aktiviti pertukaran pelajar yang menyambung pengajian ke Haramain serta perkembangan kegiatan pelayaran yang memerlukan petunjuk dan tanda di langit.

Ilmu falak ini digunakan untuk menentukan waktu solat, mengetahui arah kiblat, penetapan bulan dalam kalendar Islam (hijrah) dan turut digunakan dalam kegiatan seharian. Beliau yang juga merupakan ahli filologi Indonesia berkata, di Aceh juga, terdapat beberapa ulama yang menghasilkan karya manuskrip mengenai ilmu falak seperti Nuruddin Muhammad Ali (1069H/1658M). Karyanya ialah Kitab Bad’u Khalq al-Samawat wa al-Ardh yang membahaskan mengenai alam semesta dalam perspektif tasawuf dan perbincangan tentang eskatologi.

Sheikh Abdul Rauf Ali al-Fansuri al-Jawi (1105H/ 1693M) yang dikenali sebagai Syeikh Abdu Rauf as-Singkili atau Teungku Syiah Kuala yang hidup pada masa empat Sultanah juga menghasilkan karya berkenaan ilmu falak. Beliau banyak mengarang dan menulis kitab. Antara salah satu kitabnya ialah Risalah fi Taqwim (buku ringkas tentang takwim). Ulama tersebut juga memperkenalkan penggunaan metode hisab dan membahagikan tahun kepada tahun Qamariyah, tahun Syamsiah dan tahun ‘Adadiyah.

Tambah beliau lagi, perkembangan ilmu falak oleh ulama Aceh diteruskan lagi pada abad ke-19 yang boleh dilihat melalui beberapa karya manuskrip yang membahaskan tentang ilmu falak. Antara karya ialah Sirajuzh Zhalam fi Ma’rifat as-Sa’adi wa an-Nahs fi Syuhur wa al-Ayyam, Tajul Mulk (karya etnomatematik untuk penanggalan, hari baik buruk, dan astrologi), dan Umdah ath-Thullab fi Tarikh al-‘Arab dan Wasilah al-Thullab li-Ma’rifati A’mali al-Lail wa an-Nahar bi Tariqi al-Hisab.

Ujarnya lagi, ilmu falak turut mengalami perubahan selepas berlakunya penjajahan dan semakin berkembang pada era kemerdekaan. Antara penulis dalam zaman ini ialah Abuya Syekh Haji Hasan Krueng Kalee, Abu Muhammad  Isa Syamtalira Aron Gp. Pulo, Tgk. Syekh Saman, Tgk. Muhammad Shaleh Lambaro, Tgk. H. Syafi’I Aron, Tgk. Muhammad Thaib (Abu Batee Lhee) Lhokseukon, Syekh Muhammad Ali Isryad (Abu Teupin Raya /Abu Falaky), dan Tgk Abdullah Tgk Ibrahim (Abu Tanjong Bungong).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.