Oleh Asrar Ab Latif
25 September 2022, 09:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu  “Puisi melambangkan tingginya makna dalam sastera yang seharusnya ada dalam genre baharu dan harus diperkenalkan kepada generasi baharu,” demikian ujar Ibu Dewi Oktarossa ketika menyampaikan ucapan perasmian dalam Sambutan Festival Puisi Esei Antarabangsa 2022 (Festival PEA 2022), Malam Citra Puisi Esei yang diadakan pada 24 September 2022, di Sekolah Indonesia Kota Kinabalu. Sambutan Malam Citra Puisi bukan sahaja dihadiri oleh para ilmuan, budayawan dan penggiat sastera dari dalam dan luar negara, tetapi turut dimeriahkan oleh ratusan pelajar Sekolah Indonesia Kota Kinabalu.

Kemeriahan Malam Citra Puisi Esei dimulakan dengan deklamasi syair Festival Puisi Esei 2022 oleh Rosliza Amir Bek dan Nunhati Malihzan yang bertajuk “Pendiri Zaman”. Majlis kemudiannya disuntik dengan semangat yang membara dengan deklamasi puisi esei mini oleh Abd. Karim Gullam bertajuk “Sebutir Bintang yang Gugur dari Langit” karya Juri Durabi; deklamasi syair oleh Fatin Hamamah bertajuk “Bunga Kangkung”; dan deklamasi puisi oleh Agus R. Sarjono dan Dra. Kemalawati yang ternyata menyentuh hati para hadirin yang datang.

Bapak Dadang Hemawan


Malam Citra Puisi Esei dapat diangkat sebagai pentas perkongsian karya hebat para pengkarya dari Malaysia, Indonesa dan Brunei. Maka itu, Kepala Sekolah Indonesia Kota Kinabalu (SKIKK) Bapak Dadang Hemawan menjelaskan bahawa peluang yang diberikan kepada SKIKK sedikit banyak mendedahkan Puisi Esei kepada warga di sekolah tesebut. Untuk itu, beliau merakamkan setinggi-tinggi ucapan terma kasih  kerana SIKK dipilih menjadi tuan rumah Malam Citra Puisi Esei dan berharap masyarakat dapat melihat bagaimana sastera puisi memberikan impak kepada masyarakat. Beliau mengakhiri ucapan alu-aluannya dengan mendeklamasi sebuah puisi esei bertajuk “Negeri di Bawah Bayu”.

Encik Mohd Jumran

Sementara itu, dalam Ucapan Sambutan Satu, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sabah menjelaskan bahawa Festival PEA 2022  yang bertemakan  “Maju Jaya demi Kemanusiaan dan kemakmuran Sejagat” merupakan program yang diyakini mampu meningkatkan jati diri peserta dan semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung.

“JKKN percaya bahawa tanpa jati diri, generasi kita tidak akan maju dan jaya. Hal ini kerana program seumpamanya mampu mencambah idea sesama peserta program. Dengan pelibatan dan kesepakatan bersama antara negara serantau, program yang bersifat antarabangsa sebegini sememangnya memberikan nilai kepada semua pihak yang terlibat,” ucap Encik Mohd. Jumran, yang mewakili dan membacakan Ucapan Sambutan Satu Malam Citra Puisi Esei, Pengarah JKKN Sabah, Encik Jasmi Rasit.

Tambahnya lagi, JKKN merupakan organisasi kerajaan persekutuan yang berperanan penting dalam mengembangkan kebudayaan dan kesenian serta menggalakkan pertumbuhan aktiviti seni dan budaya antara pemain industri seni dengan budayawan, badan bukan kerajaan dan penggiat seni budaya dari dalam dan luar negara. JKKN juga katanya, menyediakan kemudahan dan pembangunan modal insan yang mahir dalam seni dan budaya. Maka itu, harapan JKKN agar program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang agar masyarakat kekal terpelajar dan berbudaya.

Puan Aminah Awang Basar

Menerusi ucapan Sambutan II oleh Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah, Puan Aminah Awang Basar, beliau menjelaskan bahawa Malam Citra Puisi Esei mengetengahkan tema yang sangat signifikan untuk berdaya maju kerana mengangkat mesej kemakmuran sejagat, “Maju Jaya demi Kemanusiaan dan Kemakmuran Sejagat”. Penganjuran festival ini juga menurutnya, membuktikan bahawa kita amat menghargai bahasa dan sastera khususnya karya yang merentas negara.

“Tanpa sokongan dan komitmen yang diberikan sudah tentu segala perancangan yang dirancang tidak akan dapat dilaksanakan. Maka itu, terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang menjayakan Festival PEA 2022. Kita bersyukur kerana festival ini buat julung kalinya diadakan di bumi Malaysia,” ujar Puan Aminah Awang Basar yang turut mendeklamasikan puisi yang bertajuk “Aku Kembali Nabawi”.

Sementara itu, dalam ucapan Sambutan Ketiga oleh Datuk Jasni Matlani, beliau berterima kasih kepada Bapak Dadang Hermawan, Kepala SIKK kerana hadir beramah mesra bersama-sama karyawan dari Malaysia, Indonesia dan Brunei. Menurutnya, Festival PEA 2022 membuktikan bahawa puisi mempunyai nilai kebersamaan yang penting antara negara serantau.

Datuk Jasni Matlani


Pandangan Datuk Jasni Matlani ini mendapat tempat di hati Ibu Debbi Oktarossa, Perwakilan Ri Kota Kinabalu yang menjelaskan bahawa puisi melambangkan tingginya makna dalam sastera yang dapat kembali memperkenalkan kita kepada genre baharu. Sebagai mewakili Bapak Rafail Walangitan, Konsul Jenderal Republik Indonesia di Kota Kinabalu, Ibu Debbi yang bertindak merasmikan Malam Citra Puisi Esei meletakkan harapan yang tinggi agar karyawan sastera dapat terus berhubung dalam program seumpama Festival PEA 2022. Beliau turut mendeklamasikan puisi bertajuk “Tuhan Kita Begitu Dekat”.

Ibu Debbi Oktarossa


Seusai ucapan daripada tetamu kehormat, Malam Citra Puisi Esei diwarnai dengan keindahan persembahan aneka kebudayaan Malaysia oleh Kumpulan Kebudayaan JKKN Sabah; persembahan Kebudayan Indonesia; persembahan Kebudayaan Brunei Darussalam oleh Kumpulan Akademi Panggung Sri Utama; persembahan Deklamasi Lakon Puisi Esei oleh Kumpulan BAHASA Sabah; dan persembahan Kumpulan Pelajar Sekolah Indonesia Kota Kinabalu.

Kredit Foto: Mohd Hafizee Affiq bin Japar

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.