Oleh Firdaus Mul
24 September 2022, 18:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Dalam usaha mengantarabangsakan puisi esei, ada pihak yang mencadangkan agar genre itu di masukkan dalam sukatan mata pelajaran Sastera di sekolah atau di institusi pengajian tinggi di negara ini. Sejauh manakah cadangan tersebut dapat direalisasikan?

Datuk Jasni Matlani


Menerusi Forum Puisi Esei II yang bertajuk Puisi Esei dalam Sistem Pendidikan Negara, Presiden Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA), Datuk Jasni Matlani menjelaskan bahawa dua potensi besar yang mendukung genre puisi esei yakni penambah ilmu pengetahuan dan keindahan berbahasa dalam berkarya pastinya akan dapat membina jati diri dalam kalangan generasi muda. Oleh itu, beliau bercadang untuk menghasilkan satu modul berkaitan puisi esei agar boleh dijadikan sebagai bahan pembelajaran dalam sistem pendidikan negara.

Dengan kekuatan yang mendukung genre puisi esei, saya percaya genre ini berupaya menjadi satu medium pembelajaran yang mampu membentuk ikatan perpaduan dalam kalangan generasi muda. Saya tidak menafikan, kita memerlukan standard yang jelas agar berupaya membentuk satu piawaian sebelum diadaptasikan dalam modul pembelajaran sistem pendidikan negara kelak

Dr. Rahmah Abdul Ghani


Bagi panel kedua, Dr. Rahmah Abdul Ghani, beliau berpendapat bahawa tidak ada sebarang masalah jika ingin memasukkan genre puisi esei sebagai kursus pembelajaran di peringkat pengajian tinggi. Hal ini dikatakan demikian kerana dalam status quo semasa, terdapat beberapa kursus sastera yang ditawarkan kepada para mahasiswa yang melanjutkan pengajian di peringkat institut perguruan. Begitu juga halnya dengan peringkat sekolah. 

Dalam kalangan tenaga pengajar, mereka sudah bersedia untuk beradaptasi dengan genre tersebut. Namun begitu, perlu ada bengkel atau pendedahan awal diberikan kepada mereka sebelum genre puisi esei menjadi sukatan dalam kursus pengajian di peringkat pengajian tinggi ataupun menjadi sukatan pembelajaran (subjek sastera) di peringkat sekolah

Tambah beliau lagi, kesemua ini berbalik kepada pihak kementerian yang terlibat, kerana mereka (golongan tenaga pengajar) hanyalah anggota pelaksana dan bukannya penggubal dasar. Maka itu, dalam fasa yang pertama, beliau menegaskan bahawa golongan tenaga pengajar sudah bersedia untuk beradaptasi dengan genre tersebut untuk dijadikan sebagai bahan pengajaran.

Puan Aminah Awang Basar


Sementara itu, Pengarah DBP Cawangan Sabah, Puan Aminah Awang Basar berpendirian bahawa harapan untuk menjadikan genre puisi esei ini sebagai satu daripada modul dalam sukatan pembelajaran bukanlah sesuatu yang mustahil bahkan mempunyai sinar yang terang untuk direalisasikan. Namun begitu menurutnya, sebelum puisi esei berupaya beradaptasi dalam sistem pendidikan, genre tersebut perlu mencapai standard yang telah ditetapkan.

Sistem pendidikan di negara ini berpaksikan kepada dua asas utama, yakni Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Falsafah Sastera Kebangsaan. Maka itu, selagi ia tidak mencapai dan selari dengan standard atau piawaian yang berpaksikan Falsafah Pendidikan Negara dan Falsafah Sastera Kebangsaan, maka semua pihak perlu bekerja keras, jika benar-benar ingin merealisasikannya

Dra. Kamalawati


Dra. Kamalawati, dari Indonesia pula menjelaskan bahawa genre puisi esei mampu diadaptasikan dalam sistem pendidikan sastera di Indonesia dan hal itu tidak menjadi masalah kerana di negara tersebut, penerimaannya sangat meluas. Bahkan menurutnya, genre puisi ini amat dekat dengan masyarakat kerana puisi esei ditulis sebagai satu luahan masyarakat terhadap peristiwa dan konflik penting yang berlaku di Indonesia.

Puisi esei merupakan satu komponen terpenting untuk dimasukkan dalam modul pembelajaran dan sistem pendidikan baik di Indonesia atau di Malaysia. Saya percaya bahawa puisi esei ini merupakan adunan realisme tentang bangsa, negara, budaya, sejarah dan sebagainya. Maka itu, ia wajib dibaca dan dipelajari agar dapat membentuk pemikiran kelas pertama mandiri

Tuan Haji Sukor Haji Usin


Bagi Tuan Haji Sukor Haji Usin, beliau berpandangan bahawa perlu ada cadangan yang kukuh untuk merealisasikan impian menjadikan genre puisi esei ini sebagai satu bahan pembelajaran dalam sistem pendidikan negara. Oleh itu, dunia kesusateraan perlu memainkan peranan yang penting terutamanya dalam memperkenalkan dan mempromosikan genre ini kepada masyarakat umum.

Selepas genre puisi esei mencapai standard yang telah ditetapkan, puisi esei perlu dipromosikan kepada masyarakat di negara ini. Pelbagai program perlu dilaksanakan agar ia mengalakkan pelibatan setiap lapisan masyarakat di negara ini.

 

Encik Chacho Mohama

Forum ini yang dihadiri oleh para ilmuan, budayawan dan penggiat sastera dari dalam dan luar negara telah dikendalikan oleh Encik Chacho Mohama dari BAHASA sebagai moderator.

Kredit Foto: Mohd Hafizee Affiq bin Japar

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.