Oleh Firdaus Mul
24 September 2022, 17:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu — Selepas Festival Puisi Esei Antarabangsa 2022 (Festival PEA 2022) membuka tirai perasmiannnya semalam, hari ini berlangsungnya forum intelektual  yang membicarakan tentang topik “Mengantarabangsakan Puisi Esei”. Forum ini berlangsung di Dewan Seminar Jabatan Kebudayaan Kesenian Negara (JKKN) Sabah, dan dihadiri oleh pengkaji bahasa dan sastera dari dalam dan luar negara,  pencinta sastera, penulis dan mahasiswa dari institusi pengajian tinggi.

Forum yang berlangsung selama sejam setengah ini dikendalikan oleh Encik Hassan Sapirin wakil dari Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA). Sementara itu,  barisan para panel pula dianggotai oleh Encik Jamal D. Rahman, wakil dari Indonesia; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Pembangunan Sabah, Profesor Madya Dr. Ramzah Dambul;  Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan Dewan Bahasa dan Pustaka, Dr. Hazami Jahari; Setiausaha Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA), Tuan Haji Hamzah Hamdani; dan Ketua Satu Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Labuan (PERWILA), Profesor Dr. Harun Pudin. Titik perbincangan forum ini adalah berpaksikan kepada persoalan adakah puisi esei bersedia untuk diantarabangsakan?

Menurut Profesor Madya Dr. Ramzah Dambul, puisi esei merupakan satu genre baharu yang perlu terlebih dahulu diterokai untuk melihat perkembangannya sebelum usaha pengantarbangsaannya digiatkan. Hal ini demikian kerana, menurutnya kayu ukur perkembangan puisi esei perlu dilihat dari segi pemahaman, pelibatan dan persaingan. Namun begitu, apabila berbicara tentang proses pengantarabangsaan puisi esei, wujud beberapa persoalan yang perlu diberikan perhatian khususnya mengenai kualiti puisi esei yang standard. Antara persoalan yang dibangkitkan oleh beliau termasuklah piawaian standard puisi.

Saya melihat berlaku beberapa percanggahan format dalam penghasilan puisi esei apabila tidak ada kebakuan dan formula yang menjadi asas rujukan penulis. Meskipun asas puisi esei bersifat anjal namun untuk mengantarabangsa puisi esei kita memerlukan garis piawaian yang standard tentang apa-apa yang dibolehkan dan sebaliknya

Profesor Dr. Haji Harun Pudin

Tambah beliau, hal ini bermaksud bahawa tanpa garis piawaian dan standard yang tetap, maka adalah mustahil untuk kita membawa puisi esei ke peringkat antarabangsa. Ujarnya lagi, apabila meneliti buku himpunan puisi esei, beliau mendapati puisi esei yang ditulis tidak ditulis dengan asas yang sebenar seperti yang digagaskan oleh Bapak Denny JA.  Maka itu, Profesor Madya Dr. Ramzah Dambul mencadangkan agar diwujudkan satu penetapan pendekatan pengisian puisi esei yang perlu “diikat” dengan sesuatu yang lebih spesifik agar genre itu berbeza daripada puisi biasa. Bahkan dalam persoalan ketiga, beliau turut melontarkan pandangan tentang  sejauhmanakah tema puisi esei ini hendak dilanjutkan dan sekali lagi beliau menegaskan bahawa genre puisi esei perlu mempunyai satu piawaian yang tetap agar matlamat untuk membawanya ke pentas antarabangsa boleh tercapai.

Profesor Dr. Haji Harun Pudin turut bersependapat dengan dengan Profesor Madya Dr. Ramzah Dambul dengan menegaskan bahawa puisi esei ini masih belum cukup mapan untuk di bawa ke peringkat antarabangsa disebabkan puisi esei masih belum mempunyai format yang tepat. Bahkan, beliau mencadangkan agar persatuan dan agensi yang melaksanakan aktiviti bahasa dan sastera di negara ini dapat berkerjasama untuk membentuk piawaian puisi esei agar genre tersebut mempunyai nilai untuk diterbitkan.

Kita harus lebih bersedia mengangkat puisi esei ke peringkat antarabangsa, iaitu dengan kerjasama semua pihak untuk bersama-sama mencari persefahaman dalam membentuk piawaian puisi esei yang seragam dan boleh dijadikan panduan pada masa akan datang

Tuan Haji Hamzah Hamdani

Pandangan Tuan Haji Hamzah Hamdani ternyata sedikit berbeza apabila beliau menyatakan bahawa puisi esei ini sememangnya sesuatu yang sudah mempunyai format yang jelas dengan merujuk  prinsip yang telah digariskan oleh Bapak Denny JA, selaku pengasas puisi esei di Indonesia. Setelah menegaskan bahawa puisi esei sudah mempunyai format yang tersendiri, maka beliau menyakini bahawa genre puisi esei mampu diangkat ke peringkat antarabangsa.

 

Puisi esei merupakan seni untuk masyarakat. Oleh itu, dengan adanya proses penterjemahan puisi esei yang sedia ada, maka genre tersebut akan mampu mendapat perhatian masyarakat dunia

Pandangan tersebut ternyata selari dengan Encik Jamal D. Rahman bahawa puisi esei sudahpun mempunyai format dan standard yang tetap. Sebagai buktinya, telah lahir pelbagai karya puisi esei di seluruh nusantara.

Encik Jamal D. Rahman

Selama 10 tahun kewujudan puisi esei, genre ini telah merentas sempadan dan geografi. Sebagai contoh, kerancankkan puisi esei yang ditulis di Jogjakarta, Papua, Aceh, Singapura, Malaysia dan Brunei merupakan bukti bahawa format puisi esei sudah terbentuk dan sudah bergerak ke satu tahap untuk di bawa ke pentas antarabangsa. Malah, saya berpendapat bahawa puisi esei lebih baik daripada puisi konvensional kerana sifatnya pelbagai dan mudah mendapat tempat di sisi masyarakat

Sementara itu, Dr. Hazami Jahari pula berpendapat bahawa amat penting untuk genre puisi esei disebarkan kepada umum agar genre itu lebih dikenali. Oleh itu katanya, untuk genre ini melalui proses pengantarabangsaan, usaha untuk memperkenalkan puisi esei di peringkat tempatan perlu digiatkan. Bahkan, beliau juga turut bersetuju dengan pandangan Profesor Madya Dr. Ramzah Dambul bahawa perlu adanya satu standard yang jelas dari segi konsep, takrifan dan cakupan tentang genre puisi ini kerana menurutnya kebakuan dan standard yang tidak tetap akan membawa pelbagai kekeliruan.

Dr. Hazami Jahari

Dalam mengembangkan puisi esei agar lebih difahami, kami di Dewan Bahasa dan Pustaka sentiasa terbuka dan bersedia untuk berkerjasama dalam mempromosikan genre ini agar berjaya dipopularkan dan mendapat tempat di sisi masyarakat. Antara usaha yang boleh kita lakukan bersama-sama termasuklah sayembara di peringkat kebangsaan dan diperingkat negeri

Yang turut hadir dalam forum tersebut ialah Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan; Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran; Presiden BAHASA, Datuk Jasni Matlani; dan Pengarah JKKN Sabah, Encik Jasmi Rasit.

Kredit Foto: Mohd Hafizee Affiq bin Japar

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.