Oleh Aninah Janang
23 September 2022, 23:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang


Kota Kinabalu
–  Bersempena dengan Festival Puisi Esei Antarabangsa 2022 (Festival PEA 2022) yang berlangsung selama tiga hari, iaitu bermula pada 23 September 2022 hingga 25 September 2022, kerajaan negeri Sabah mengajak semua pihak untuk berganding bahu bagi memastikan program dan pengisian Festival PEA dapat diangkat ke tahap yang lebih tinggi agar dikenali di seluruh negara, seterusnya ke peringkat global.

Menerusi Festival PEA, kerajaan negeri Sabah turut percaya bahawa perkongsian ilmu daripada tokoh ilmuan dan budayawan dari negara serantau akan memberikan manfaat yang besar bukan sahaja dari segi percambahan ilmu malah pembentukan tamadun bangsa yang berjaya.

Maka itu, YAB Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, meletakkan kepercayaan yang tinggi kepada Festival PEA 2022 yang julung-julung kalinya diadakan dan bakal membawa dinamika baharu kepada perkembangan sastera dan budaya di Sabah, Malaysia amnya dan negara ASEAN khasnya.

YB Datuk Dr. Haji Mohd Arifin Haji Mohd Arif membacakan teks ucapan Perasmian Festival PEA 2022 oleh YAB Ketua Menteri Sabah.

“Program sebegini yang turut dihadiri oleh para ilmuan dan tokoh budayawan dari Malaysia dan dari negara jiran pastinya akan membuka ruang perkongsian dan kajian ilmu sepanjang program ini berlangsung. Oleh itu, dalam penganjuran Festival PEA kita perlu mempunyai hala tuju yang jelas dalam usaha membangunkan bangsa dan negara bersesuaian dengan tema Festival PEA 2022, iaitu ‘Maju Jaya demi Kemanusiaan dan Kemakmuran Sejagat’,” ucap Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, YB Datuk Dr. Haji Mohd Arifin Haji Mohd Arif,  yang mewakili Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Hajiji Noor ketika membacakan teks ucapan Perasmian Festival Puisi Esei Antarabangsa 2022, yang berlangsung di Hotel Promenade.

Majlis tersebut yang dihadiri oleh lebih daripada 300 orang tetamu jemputan dari Malaysia, Brunei dan Indonesia turut membuktikan bahawa Festival PEA 2022 amat signifikan untuk membantu kerajaan negeri Sabah mempromosikan negeri ini di mata pelancong.

Lebih daripada dua tahun kita berkurung akibat pandemik COVID-19 yang bukan sahaja menjejaskan tahap kesihatan rakyat, tetapi turut memberikan kesan yang besar terhadap ekonomi dan sektor pelancongan khususnya yang berkaitan dengan program seni dan budaya. Kini, kita bersyukur kerana sempadan negara kita telah dibuka sepenuhnya yang membolehkan kita menerima limpahan pelancong ke negeri Sabah yang sebahagiannya berkaitan dengan pelancong seni dan budaya seperti yang dilaksanakan oleh Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA), Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya, dan komuniti puisi esei ASEAN, serta kerjasama erat daripada beberapa jabatan dan agensi kerajaan

Tambahnya lagi, Festival PEA 2022 merupakan satu daripada program penting yang boleh dianggap sebagai ikon sastera dan budaya Sabah Maju Jaya yang bertujuan untuk memajukan semula aktiviti pelancongan terutamanya yang berkaitan dengan seni dan budaya yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19 yang melanda.

Saya berharap program sebegini dapat membantu kerajaan untuk memulihkan semula ekonomi melalui kehadiran pelancong ke negeri Sabah. Selain itu, program ini juga mampu memperkukuh perkembangan bahasa, sastera dan budaya sebagai wadah untuk mendidik manusia menjadi insan yang bersopan santun dan beradab sekali gus mengangkat jati diri bangsa Malaysia

 

Tambah YB Datuk Dr. Haji Mohd Arifin Haji Mohd Arif, YAB Ketua Menteri Sabah secara peribadinya amat tertarik dengan seni penulisan kreatif dan bukan kreatif  kerana menurutnya tulisan yang baik dan bermutu tinggi mempunyai daya tarikan yang tersendiri. Maka itu, amat penting untuk membina semula rangkaian hubungan dengan penulis, ilmuan dan budayawan pada peringkat serantau sama ada dari Burnei, Indonesia, Thailand dan Singapura yang boleh dilaksanakan oleh pelbagai pihak termasuk agensi dan jabatan kerajaan.

“Pada masa akan datang, saya yakin, program ini akan dapat dilaksanakan dengan lebih baik, malah saya melihat puisi esei bukan sahaja penting untuk melihat keindahan bahasa tetapi juga untuk mendapatkan ilmu pengetahuan. Oleh itu, saya berharap agensi seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Jabatan Pendidikan Sabah, dan agensi yang berkaitan, akan terus memberikan komitmen bagi membantu BAHASA dan komuniti serta masyarakat puisi esei ASEAN untuk terus berkembang pada masa akan datang,” ucapnya, seterusnya merasmikan Festival PEA 2022.

Lebih bermakna, Majlis Perasmian Festival PEA 2022 turut dimeriahkan dengan pelbagai persembahan yang penuh warna-warni, menarik, menyentuh hati dan sarat dengan pelbagai mesej penting untuk dibawa pulang.

Antara persembahan yang berjaya memukau para hadirin yang hadir ke Majlis Perasmian FEA 2022.

Kredit Foto: Mohd Hafizee Affiq bin Japar

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.