23 September 2022, 22:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ipoh – Program Dialog Utara ke-16, 2022 anjuran Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak (PPANPk) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) membuka tirainya pada hari ini di Pusat Konvensyen Hotel Casuarina, Ipoh, Perak. Program yang berlangsung dari 23 September hingga 25 September 2022 ini menyaksikan siri dialog dan pembentangan kertas kerja yang mengangkat tema “Kelestarian Alam dalam Bahasa, Sastera dan Budaya”.

“Dengan berkarya, kita boleh memastikan kelestarian alam terus terpelihara. Dengan menggunakan lenggok bahasa, sastera dan budaya; dalam kelembutan, karya tersebut menjadi tikaman lidah yang berbisa untuk terus mengingatkan semua insan yang berada di bumi bertuah ini bahawa kewajipan mempertahankan kelestarian alam ini bukanlah hak eksklusif seorang individu. Sebaliknya, tanggungjawab tersebut digalas oleh semua,” ujar Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Negeri Perak, YB Encik Ahmad Saidi Mohamad Daud ketika menyampaikan amanat daripada Menteri Besar Perak, YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad dalam Majlis Perasmian Program Dialog Utara ke-16, 2022 yang diadakan pada malam tadi.

Kerosakan alam dilakukan oleh tangan-tangan manusia yang durjana. Bumi ini umpama seorang tua yang uzur dan sakit, dan memerlukan rawatan serta penjagaan yang sewajarnya.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Negeri Perak, YB Encik Ahmad Saidi Mohamad Daud mewakili Menteri Besar Perak merasmikan Program Dialog Utara ke-16, 2022.

Tambah beliau, kerajaan negeri Perak baru-baru ini telah melancarkan Pelan Perak Sejahtera 2030 yang menggariskan kelestarian penggunaan sumber dan alam semula jadi sebagai satu daripada teras strategik pelan tersebut. Oleh itu, kerajaan negeri amat berbangga apabila dipilih menjadi tuan rumah dan akan sentiasa memberikan sokongan penuh pada penganjuran program seperti ini yang menepati aspirasi kerajaan negeri. Beliau juga mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur dan berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan.

Antara tetamu kehormat yang menghadiri majlis perasmian tersebut termasuklah Ahli Dewan Undangan Trong merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah PPANPk, YB Puan Jamilah Zakaria; Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, Dr. Haji Abang Patdeli Abang Muhi mewakili Ketua Pengarah DBP; Ketua Satu GAPENA, YBhg. Datuk Haji Zainal Abidin Datuk Wira Haji Borhan; dan Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad.

Dr. Haji Abang Patdeli Abang Muhi (kanan) mewakili Ketua Pengarah DBP menyampaikan cenderahati kepada Encik Ahmad Saidi Mohamad Daud (kiri) diiringi oleh Ketua GAPENA Satu, Datuk Haji Zainal Abidin Datuk Wira Haji Borhan (tengah).

Dalam majlis yang sama, Encik Ahmad Saidi turut melancarkan buku Kertas Kerja Dialog Utara ke-16, Kelestarian Alam dalam Bahasa, Sastera dan Budaya dan Antologi Puisi Dialog Utara ke-16, Sifat Rimba terbitan GAPENA serta berkesempatan menikmati makan malam bersama-sama para karyawan dari Wilayah Utara Malaysia, Selatan Thailand, Sumatera Utara dan Acheh, Indonesia. Selain itu, hadirin juga dihiburkan dengan Persembahan Silang Budaya dari Malaysia, Indonesia dan Selatan Thailand.

Untuk catatan, Program Dialog Utara ini diadakan bagi memastikan kesinambungan hubungan melalui maklumat, bahasa, sastera dan budaya serumpun dalam usaha memupuk dan memelihara persefahaman antara para penulis, sasterawan dan budayawan di Wilayah Utara Malaysia, Selatan Thailand, Sumatera Utara dan Acheh, Indonesia.

Khalayak berpeluang mengikuti pembentangan kertas kerja daripada ahli panel yang arif dan berpengalaman luas dalam bidang khusus masing-masing. Antaranya termasuklah Dato’ Dr. Milhan Yusuf MA, Pengurus Besar Majelis Adat Budaya Melayu Indonesia (MABMI); Dr. Phaosan Jehwae dari Universiti Islam Pattani, Thailand; Dr. A. Rani Usman dari Universitas Islam Negeri Ar-Raniry Banda Acheh, Indonesia dan Ketua Dua Persatuan Penulis Perlis, Profesor Madya Dr. Nor Hasimah Ismail.

Rakaman Majlis Perasmian Program Dialog Utara ke-16, 2022 boleh ditonton di pautan ini.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.