Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangNor Muhamad memberi jalur halus pengertian editor dan pengarang. Selainnya, beliau memetakkan dan menandai sempadan tertentu tatkala editor bertukar tugas menjadi pengarang.
Seorang editor yang menjadi pengarang memerlukan editor lain yang menyunting karyanya. Mustahil untuk seorang editor yang menjadi pengarang tidak perlu karyanya dipotong, dicantas, ditandai kesalahan, dan disunting.
Si Mata Helang (editor) dengan Penenun Karya (pengarang) merupakan teman akrab dan teman yang berkongsi pemikiran yang kadangkala mampu menjadi musuh ketat kerana perbezaan idea dan pandangan. Melalui dunia penulisan dan penghasilan karya, pertembungan idea dan pandangan daripada kedua-dua watak ini merupakan sesuatu yang biasa terjadi, dan wajar berlaku bagi membentuk kesatuan idea pada peringkat awalnya. Perselisihan idea dan pandangan antara kedua-dua watak ini menandakan dunia pengkaryaan masih lagi subur dan berkembang mengikut zamannya. Namun begitu, kebanyakan dalam kalangan mereka mungkin tidak seiring dari sudut “menterjemahkan” sesuatu idea ke dalam bentuk aksara dan tulisan.
Ada yang memberi pandangan, si mata helang mampu menulis dengan baik apabila dirinya bertukar watak sebagai pengarang. Benarkah? Hakikatnya, tulisan daripada si mata helang itu ada juga kurang dan lemahnya seandainya tiada si mata helang yang lain meneliti semula hasil tulisannya. Inilah yang membezakan fungsi, tugas dan peranan antara si mata helang dengan pengarang.
Editor berfungsi membetulkan tatabahasa, menentukan penggunaan istilah yang tepat, menetapkan penggunaan gaya bahasa yang sesuai, memurnikan (mencantikkan) ayat agar pembaca faham isi karya, memudahkan pengaliran idea oleh pengkarya asal, dan meneliti hasil tulisan dari aspek luaran dan dalaman sesebuah karya sama ada mengandungi sensitiviti atau kesalahan fakta. Editor juga dikatakan mampu untuk menilai unsur logik secara tepat dalam karya pengarang, iaitu yang menjelaskan tentang realiti kehidupan sebenar, peristiwa sejarah, atau keadaan yang munasabah dan benar. Misalnya, penggunaan watak dubuk (hyaenidae) di hutan Malaysia sebagai haiwan pemangsa dalam karya, sedangkan yang lebih tepat ialah harimau belang kerana haiwan itu merupakan pemangsa yang benar-benar mendiami hutan di Malaysia.
Apakah pula fungsi pengarang? Pengarang berfungsi sebagai penulis pertama bagi karya yang dipilih. Dia juga pencetus idea paling awal sehinggalah terbentuknya sebuah tulisan yang dianggap “segar” mengikut konteks semasa atau tema yang ditentukan. Namun begitu, garapan idea masih pada peringkat mentah sehingga memerlukan suntingan daripada si mata helang. Suntingan itu bukanlah menukarkan idea asal, tetapi mengindahkan lagi pemilihan bahasa, istilah, gaya bahasa, ejaan, struktur penulisan dan memurnikan isi tulisan agar dapat difahami oleh pembaca. Kadang-kadang, editor juga berperanan sebagai penulis kedua untuk karya si pengarang.
Ada dalam kalangan peneliti dan pemerhati menyebut, “Kenapa editor yang menghasilkan karya masih ada kesalahan tanda baca, ayat dan ejaan? Seharusnya editor tidak melakukan sebarang kesilapan dalam menghasilkan karyanya sendiri”. Pandangan ini seolah-olah menyatakan seorang editor itu tiada cacat cela atau lemahnya, sedangkan seorang doktor yang sakit juga memerlukan doktor lain untuk merawatnya, atau seorang pengamal perubatan Islam yang mengalami penyakit buatan orang (sihir) memerlukan perawat lain untuk merawat dirinya.
Waima karya oleh pengarang terkemuka juga memerlukan suntingan daripada editor. Inikan pula karya yang dikarang sendiri oleh editor baharu khususnya. Seorang editor yang menjadi pengarang memerlukan editor lain yang menyunting karyanya. Mustahil untuk seorang editor yang menjadi pengarang tidak perlu karyanya dipotong, dicantas, ditandai kesalahan, dan disunting.
Ujar Zaen Kasturi kepada penulis,
Sehebat mana pun pengarang, ia memerlukan editor (penyunting). Bagaimanapun, tentunya, editor juga perlu sehebat pengarang. gabungan kepakaran masing-masing membuatkan karya yang dihidangkan kepada khalayak adalah sesuatu yang berkemungkinan berwibawa dan dapat dipertanggungjawabkan. Editor bukan sahaja bertanggungjawab kepada perkara-perkara asas seperti tanda baca dan tatabahasa, misalnya, tetapi juga kepada muatan karya itu sendiri seperti pemikiran, rasa, sikap dan lain-lain. Sebagaimana ‘rancaknya’ sekarang kita membina pengarang menerusi pelbagai program, hal sebegitu juga perlu dilakukan dalam membina editor.
Apabila seseorang itu bertukar wajah menjadi seorang pengarang, biasanya, ketelitian terhadap tanda baca dan ejaan menjadi perkara yang kedua. Perkara utama ialah bagaimana idea itu dapat digarap dengan kreatif, dan ilhamnya dapat dikembangkan menjadi jalur cerita yang berseni. Curahan aksara, perkataan dan istilah serta ayat demi ayat dilakarkan tanpa henti, lenggok dan gaya kepengarangan tersendiri disebatikan dalam tulisannya. Setelah sampai pada garisan penamat untuk karya itu siap, perasaan tenteram, lega, atau bahagia itu dirasai oleh si pengarang. Namun begitu, keadaan ini biasanya dialami oleh sesetengah penulis baharu, atau pemula dalam dunia pengkaryaan. Ia berbeza dengan pengarang “lama” atau penulis prolifik dalam sesebuah genre kerana tulisan yang dihasilkan bukan bermatlamatkan ingin cepat siap. Mereka seboleh-bolehnya lebih banyak berfikir dan membuat taakulan berlapis-lapis berbanding menulis untuk segera siap. Terdapat juga dalam kelompok pengarang, yang tidak mahu karyanya segera siap disebabkan rasa “suka” apabila karyanya ditambah dan diberikan olahan berkali-kali.
Saifullizan Yahaya pula menjelaskan,
Proses menulis ini mengasyikkan, dan kadangkala memberikan kita nikmat yang luar biasa. Menulis atau berkarya untuk cepat siap, mengurangkan tahap bagusnya karya itu walaupun idea asalnya dikatakan sangatlah baik. Bentuk nikmat dalam menulis terlalu abstrak, dan boleh disamakan dengan manusia itu sedang mencapai nikmat dunia.
Bagi editor yang mengarang dan berpengalaman, biasanya hasil tulisannya diteliti dan dibaca semula olehnya, yang kadangkala memunculkan konflik dalaman kepada diri mereka. Antaranya bertindak menjadi penyunting untuk karyanya sendiri! Suntingan terhadap karya sendiri belum tentu betul, sekalipun ada perasaan “puas hati” atau kelegaan dengan suntingan kali ketiga, itu tidak menjamin tahap kualitinya, boleh jadi ia lebih teruk berbanding tulisan pada awalnya. Keadaan inilah yang sering menjadi penghalang kepada editor untuk terus berkarya, dan hanya menjadi penulis kedua (penyunting) untuk karya pengarang lain.
Ada juga dalam kalangan mereka yang menyimpan karya sendiri “di bawah meja” kerana khuatir karya tersebut dianggap lemah, kurang matang atau tidak berkualiti. Karya tersimpan tanpa dinilai atau dibaca oleh orang lain, yang pasti selamanya karya itu tidak mendapat jawapan jujur daripada “mata” individu lain, sama ada tulisan itu berkualiti atau memerlukan penambahbaikan. Perasaan kurang yakin itu bermula dengan beberapa pandangan, “Kau editor, kenapa kautulis begini? Mengapa tidak secantik tulisan pengarang A, B dan C”.
Kritikan itu boleh bermula daripada mereka yang jujur dalam menghakimi sesuatu penulisan, dan ada ketika ia dikritik daripada mereka yang tidak pernah menjadi seorang pengarang atau sekadar menjadi pembaca yang tahu ilmu kebahasaan dan prinsip asas editorial. Apabila menyebut tentang keberanian seorang editor menyerahkan hasil tulisannya sendiri untuk semakan dan suntingan editor lain, mereka perlu berlapang dada jika dikritik, dan tidak mendakwa tulisannya tiada apa-apa kekurangan. Kenapakah perlu malu untuk dikritik oleh sahabat editor lain atau pengarang lain? Tiada yang sempurna untuk sebarang hasil seni dan karya.
Kini, pengarang bukanlah semata-semata mengarang dan menulis, tetapi perlu juga menguasai asas editorial. Penguasaan seorang pengarang dalam bidang editorial memungkinkan dirinya lebih faham, apakah sebenarnya kerja editor dan apakah “kitab” yang menjadi panduan utama seorang editor. Misalnya, Gaya Dewan sebagai buku panduan editorial, Kamus Dewan untuk rujukan perkataan dan istilah, dan lebih pantas dengan melayari laman sesawang Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM). Semua bahan rujukan yang dinyatakan itu bukan hanya diamalkan di DBP sahaja, tetapi melibatkan ramai pihak termasuklah lain-lain penerbit, malahan menjadi panduan kepada pihak yang menguruskan penerbitan secara “swaterbit”.
Selain itu, ada pengarang yang menjadikan bidang editorial sebagai kerja sampingan kerana minat atau menjadi punca pendapatan. Pengarang yang menjadi penyunting kepada karya pengarang lain sudah tahu aspek penting yang perlu ada untuk bahan terbitan. Jika buku, mereka sudah mendalami pemilihan dan kesesuaian kulit buku, dan beberapa hal teknikal dalaman buku. Selain hal teknikal, ada dalam kalangan mereka yang menguasai kerangka pemasaran buku untuk jualan. Misalnya, turun ke lapangan bersama-sama rakan pengarang untuk meninjau minat dan kehendak pelanggan dan pembaca semasa.
Selain memiliki bakat mengarang yang “kaya” dengan idea, seorang pengarang juga harus sedar akan dunia penerbitan. Yang pasti, tidak semua “rumah” penerbit dapat meluluskan karya pengarang kerana beberapa faktor yang perlu diambil kira. Antaranya kesesuaian tema, gaya dan fokusnya. Ada karya yang dianggap baik, tetapi yang dikatakan “baik” itu pula tidak menepati kehendak rumah penerbit, maka tidak akan terpilih juga karya yang dihantar.
Oleh yang demikian, seorang editor haruslah menyelami dunia kepengarangan, dan bukan hanya tertumpu pada kerja-kerja penyuntingan semata-mata. Dunia pada hari ini telah mengalami perubahan dalam melahirkan ramai cendekiawan dan golongan pemikir aras tinggi, dan salah satunya berusaha ke arah mengasah diri untuk menjadi seorang penulis dan pengarang yang ada wibawa. Hal ini secara tidak langsung akan memberikan satu nilai tambah kepada editor untuk lebih tahu, apakah itu karya yang bermutu, atau bagaimanakah untuk mengenal pasti karya yang benar-benar berkualiti. Terasa janggal jika editor mengukur sesebuah karya itu berdasarkan persepsi dan andaian sahaja. Terdapat situasi seorang pengarang yang melontarkan persoalan kepada editor, karya yang bagaimana dianggap baik dan apakah bukti karya tersebut kurang baik, yang kadang-kadang tidak mampu dijawab oleh si mata helang. Ada beberapa situasi yang memperlihatkan, editor hanya mampu mengatakan karya itu baik disebabkan penulis itu ialah penerima S.E.A. Write Award, Sasterawan Negara atau tokoh-tokoh yang ternama.
_________________________
Nor Muhamad Mat Zain atau Nur Muhamad Fansuri seorang pendaki gunung yang tegar dan amat intim dengan alam kehijauan flora. Buku beliau yang baru terbit ialah Kaki Gunung: Travelog ke Puncak Ardi. Hasil makalah beliau pernah disiarkan dalam akhbar Berita Harian, majalah Dewan Budaya dan Portal Gerbang Borneo. Beliau pernah menjadi editor di Bahagian Buku Sastera, Jabatan Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka dan kini merupakan seorang pegawai di Bahagian Penyelidikan Sastera, Jabatan Dasar dan Penyelidikan Dewan Bahasa dan Pustaka.