Oleh Harlym Yeo
15 September 2022, 12:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bersempena dengan sambutan Hari Malaysia ke-59 pada 16 September ini, rakyat Malaysia berpeluang menyaksikan persembahan puisi menerusi program Sayembara Deklamasi Puisi Artistik Hari Malaysia (SDPAHM) ke-3, Peringkat Akhir – Kebangsaan pada 15 September 2022 (Khamis) mulai jam 8.30 malam di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur.

Program anjuran Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) dengan kerjasama DBP dan Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia ini akan dirasmikan oleh YB Dato’ Seri Dr. Shahidan Kassim, Menteri Wilayah Persekutuan. Turut hadir menyemarakkan acara ialah YBhg. Profesor Datuk Seri Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran, Ketua Pengarah DBP, Sasterawan Negara, Pengarah dan pegawai MOTAC serta penggiat sastera dan peminat puisi tanah air.

Menurut Presiden PEMUISI, Dato’ Dr. Radzuan Ibrahim, SDPAHM itu diadakan bersempena dengan sambutan Hari Malaysia semenjak tahun 2020. Program ini bertujuan untuk memartabatkan kedudukan puisi di persada sastera tanah air, melahirkan rasa prihatin dan cinta akan negara melalui wadah puisi, dan menjulang bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara. Ujarnya,

SDPAHM tahun ini mendapat sambutan yang cukup baik dalam kalangan deklamator tanah air. Seramai 300 orang peserta telah menyertai sayembara ini di seluruh negara. Daripada jumlah itu, seramai 15 orang yang merupakan johan di peringkat negeri dan Wilayah Persekutuan akan mewakili negeri dan wilayah masing-masing di peringkat akhir kebangsaan.

Menurutnya lagi, kesemua peserta diwajibkan mempersembahkan puisi patriotik secara kreatif dan inovatif yang dipetik daripada buku Antologi Puisi Artistik Pohon Merdeka terbitan PEMUISI.

Ini merupakan SDPAHM kali ketiga dan para peserta akan merebut Piala Pusingan Seri Pemuisi Malaysia. Selain itu, hadiah termasuklah piala iringan, wang tunai, hadiah buku dan sijil akan menjadi milik pemenang dan peserta sayembara.

Katanya, selain acara deklamasi puisi para peserta sayembara, program itu akan diserikan oleh persembahan bacaan puisi, monolog, lagu puisi, tarian tradisional Ulek Mayang, dan sebagainya.

Mereka yang akan terlibat termasuklah SN Dato’ Rahman Shaari, Datuk Prof. Emeritus Dr. Hashim Yaacob, Pak Din Shamsuddin Ahmad, Kumpulan Taridra Ulek Mayang UMT, Kumpulan Arsidra –Marzelan PS/Shareezad, Lin Haslinaz, Cikgu Badrul Hisham Ab Hamid, dan Maslinah Yusof.

Program tersebut boleh ditonton secara langsung di Facebook DBP dan PEMUISI BERKARYA.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.