Oleh Suyuthi Yusuf
13 September 2022, 15:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Bahasa kita menjadi besar sekarang kerana dahulunya ada nenek moyang kita yang menggunakannya secara lisan dan diperturunkan kepada kita pada hari ini”, ujar Sasterawan Negara Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh dalam pembentangan ucap utama Seminar Sastera Lisan Kebangsaan 2002, pagi tadi.

Dalam permulaan bicaranya, beliau sedikit sebanyak menceritakan latar belakang pendidikannya yang bermula dengan sastera Inggeris. Namun, beliau menjumpai sastera dan bahasa Melayu yang lebih merdu daripada bahasa Inggeris. Selanjutnya, beliau juga menjelaskan tentang peranan alam yang sangat rapat dalam kehidupan manusia. Warna dan bau alam bukan sahaja berperanan dalam membentuk sastera lisan seperti pantun, pepatah dan sebagainya, tetapi turut menjadi watak penting dalam meraut sikap dan sifat manusia. 

Sastera rakyat ini melukis persekitaran alam. Semua orang tahu itu, tetapi bagaimana orang dahulu melukisnya, betapa halusnya, betapa dalamnya, dan betapa erat persahabatannya dengan alam. Sastera moden pula lebih banyak bersahabat dengan ‘simen’.

SN Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh ketika menyampaikan ucapan ucap utama.

Menurutnya lagi, sastera berperanan penting dalam membentuk keperibadian manusia, bukannya bidang teknologi, sains dan matematik. Dalam konteks ini, sastera lisan berperanan besar kerana dicipta oleh leluhur ribuan tahun dahulu. Penciptaannya mengandungi kata hati, kebijaksanaan dan garis seni sesuatu bangsa, yang sempat melukis jiwa terhalusnya. Sastera rakyat atau lisan ini juga sangat universal kerana digunakan juga oleh ahli keluarga, teman tetangga, dan malah untuk dikongsikan bersama-sama dengan masyarakat.

Ujarnya lagi, sastera rakyat memberi makna kehidupan kepada masyarakat dan dalam konteksnya yang tersendiri, bukan semua orang memikirkan tentang makna kehidupan. Oleh itu, sastera rakyat menawarkan perkongsian makna kehidupan kepada masyarakat untuk direnungi bersama. Beliau juga sempat mencuit tentang suasana pendidikan sekarang. Ujarnya,

Dalam sistem pendidikan sekarang, saya ingat makna kehidupan tidak berapa dipentingkan. Makna duit, naik pangkat, dan kaya raya yang dipentingkan.

Menurutnya, sekarang apa-apa yang diutamakan ialah teknologi, sains dan matematik. Baginya, yang menjadikan manusia itu bukannya sains dan matematik, tetapi pemikiran yang datang daripada sastera.

Sastera menulis tentang watak-watak baik dan tidak baik, dan perasaan-perasaan yang halus dan kasar. Sastera membawa kita untuk melihat bagaimana manusia dipertemukan dan menjadi manusia yang lebih baik, terbuka dan mempelajari antara satu sama lain. Kita mengetepikan sastera bermakna kita juga mengetepikan harapan bahawa manusia Malaysia ini boleh jadi lebih baik, teratur dan dihormati.

 

 

 

 

 

,

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.