Oleh Suyuthi Yusuf
10 September 2022, 09:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ipoh – Persidangan Bahasa dan Persuratan Melayu Merentasi Zaman telah diadakan sempena Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa ke-10 (Pulara) di Hotel Travelodge. Antara topik yang dibicarakan dalam persidangan tersebut adalah tentang arah tuju penerbitan karya sastera di Malaysia dan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa.

Ahli panel bagi persidangan kedua yang memperkatakan tentang arah tuju penerbitan sastera ialah Encik Mohd Khair Ngadiron, Puan Nurul Julia Alani Henry, dan Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, manakala moderator pula ialah Dr. Mohamad Shahidan.

Dari kiri: Puan Nurul Julia Alani Henry, Encik Mohd Khair Ngadiron, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dan Dr. Mohamad Shahidan.

Encik Mohd Khair dalam pembentangannya menyatakan bahawa perancangan yang strategik dan terarah harus dilakukan demi kelangsungan penerbitan buku sastera. Jika ada perancangan yang seumpama ini, maka tidak mustahil penerbitan karya sastera akan meriah dan hidup. Ujarnya,

Perancangan penerbitan karya sastera harus tuntas dan ada jajaran tertentu melibatkan penulis dan pembaca. Antara usaha yang mesti dibuat ialah membawa penulis dan karyanya ke peringkat antarabangsa serta kegiatan terjemahan yang konsisten.

Dalam konteks penerbitan karya sastera oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pula, Puan Nurul Julia menjelaskan bahawa sehingga sekarang DBP masih menerima banyak manuskrip dalam genre kreatif iaitu novel, kumpulan puisi, kumpulan cerpen, dan drama.Walaupun begitu, DBP masih menginginkan untuk menerima lebih banyak manuskrip bukan kreatif berkaitan sastera untuk diterbitkan dan seterusnya menemui khalayak pembaca. Jelasnya,

Karya ilmiah dalam bidang sastera sangat kurang dihasilkan sekarang. DBP mengambil tanggungjawab dan inisiatif dengan pergi ke institusi tertentu untuk mendapatkan karya ilmiah tersebut. Buku kritikan sastera bersifat silang budaya juga sangat menarik untuk diterbitkan.

Selain itu, beliau juga menyatakan bahawa DBP juga sekarang bergiat aktif dalam memilih dan mencari karya-karya sastera yang boleh diapdatasi menjadi telefilem atau filem. Dengan adanya pengadaptasian tersebut, maka dunia penerbitan sastera akan lebih dapat mencapai dan menambah bilangan pembaca serta menarik minat khalayak umum.

Dr. Mohamad Saleeh pula dalam pembentangannya menjelaskan tentang keadaan dan kelangsungan buku fizikal. Baginya, walaupun sekarang dunia kehidupan masyarakat khususnya generasi muda lebih terikat dan dikelilingi dengan pendigitalan, namun buku fizikal masih tetap boleh dijual dan dipasarkan. Hal ini terbukti dengan kemeriahan pesta buku baru-baru ini. Ujarnya,

Buku berbahasa Melayu masih ada pasarannya serta kuasa beli yang tinggi. Perkara yang lebih penting sekarang ialah bagaimana caranya hendak membina khalayak dan golongan pembaca baharu.

Baginya lagi, penerbitan buku sastera sekarang memerlukan strategi yang relevan dengan situasi semasa dan situasi masa hadapan. Beliau melihat bahawa perlunya pemain industri buku melihat sasaran pembaca pada masa hadapan. Jelasnya lagi,

Hala tuju penerbitan sastera perlu menjadi lebih progresif sama ada dari segi penyediaan kandungan, promosi, penjualan, mahupun pembinaan khalayak. Perkongsian teks dengan media elektronik, filem dan pelbagai medium lain perlu digerakkan secara bersepadu.

Seterusnya dalam persidangan ketiga yang memperkatakan tentang bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa, ahli panelnya ialah Ahmad Muhammad Mansur dari Sri Lanka yang membacakan teks oleh Dr. Victor A. Pogadev dan Dr. Phaosan Jehwae dari Thailand serta dikendalikan oleh Ku Seman Ku Hussain.

Dari kiri: Dr. Phaosan Jehwae (Thailand), Ahmad Muhammad Mansur (Sri Lanka) dan Ku Seman Ku Hussain.

Dr. Phaosan Jehwae dalam pembentangannya menyorot perkembangan bahasa Melayu di Thailand. Beliau menyatakan bahawa penggunaan bahasa Melayu di beberapa daerah di Thailand semakin merosot selain penggunaannya yang banyak dipengaruhi oleh bahasa Thai.

Para remaja Melayu di Thailand sudah mulai jarang-jarang bertutur dalam bahasa Melayu, malahan sudah ada yang tidak boleh bertutur langsung dalam bahasa Melayu. Menjadi kebiasaan di kawasan yang majoritinya penuturnya berbahasa Thai, maka pemuda-pemudinya juga turut berbahasa Thai apabila berkomunikasi sesama sendiri.

Selain itu, beliau juga menjelaskan tentang betapa sukarnya untuk memperjuangkan bahasa Melayu di Thailand. Sekolah pondok atau sekolah swasta agama Islam serta universiti merupakan nadi penting dalam memartabatkan bahasa Melayu.

Perjuangan bangsa Melayu Patani dalam menjaga dan memartabatkan bahasa Melayu Patani ditempuh dengan nyawa dan air mata darah. Dasar kerajaan Thai terhadap bahasa Melayu selalu berubah mengikut arus politik semasa.

Namun begitu, menurut beliau, setelah berlaku krisis keamanan di Selatan Thai pada tahun 2005, kerajaan Thai mulai menitikberatkan tentang identiti bangsa Melayu Patani khususnya dalam bidang keagamaan dan bahasa Melayu. Kerajaan Thai juga telah membuka peluang yang agak luas bagi penggunaan bahasa Melayu.

Seterusnya, Ahmad Muhammad Mansur dari Sri Lanka yang membacakan teks oleh Dr. Victor A. Pogadev menyatakan tentang mengembalikan nama bahasa Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia serta penggunaan bahasa Melayu yang perlu diperluaskan dalam segala bidang.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.