Oleh Karmila Azmi
4 September 2022, 12:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Langkawi – Ketika kita mengenali Eka Kurniawan sebagai seorang novelis antarabangsa, masa yang diambil oleh beliau untuk meraih kedudukan itu sebenarnya memakan puluhan tahun.

Eka, 47, novelis Indonesia yang tersenarai dalam Man Booker International Prize 2016 berkata, ketika menulis novel pertamanya, Cantik Itu Luka, naskhah itu ditolak oleh pelbagai penerbitan atas macam-macam alasan.

“Ada yang menyebutnya terlalu sastera, ada yang mengatakan ia terlalu tebal.

“Jadi waktu ia diterbitkan oleh penerbit kecil dengan cetakan pertama berjumlah 2000 naskhah ia sudah cukup menggembirakan,” katanya dalam sesi bual bicara di Festival Penulis Langkawi, semalam.

Dalam sesi yang dikendalikan oleh Muhammad Lutfi Ishak, Eka berkata Cantik Itu Luka dihasilkan ketika usianya 25 tahun dan tidak bermimpi pun untuk menjadi penulis.

“Pada usia itu, saya mimpi menjadi penyanyi rock mungkin, tapi Cantik Itu Luka membawa saya ke sini,” katanya

Naskhah itu yang kemudiannya diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris malah disenaraikan dalam 100 buku terbaik oleh The New York Times.

Katanya, walaupun naskhah itu diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa asing, tujuan awalnya mahu bercerita kepada orang Indonesia.

“Saya menulis dalam bahasa Indonesia untuk orang Indonesia, tetapi tidak ramai yang membacanya. Hanya apabila ia diterbitkan dalam bahasa Inggeris, barulah ia disedari ramai,” katanya.

Malah katanya, ketika awal kemunculannya, novel itu mendapat kritikan hebat termasuk dikatakan gagal sebagai sebuah naskhah fiksyen sejarah.

“Saya fikir yang salah adalah melihat sejarah dari satu kerangka sahaja.

“Sejarah itu boleh dipandang dari sudut mana pun dan itu yang dihujahkan oleh rakan pengkritik lain ketika mereka menjawab kritikan berkenaan,” katanya.

Eka Kurniawan merupakan penulis tamu yang dijemput ke Festival Penulis Langkawi yang diadakan di Panggung Seni Kota Mahsuri. Festival yang berlangsung pada 1 hingga 4 September 2022 ini dianjurkan oleh Morne Art Gallery dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Lembaga Pembangunan Langkawi, Balai Seni Negara Langkawi, dan John Beaufoy.

Kredit Foto: Karmila Azmi

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.