7 Oktober 2021, 12:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pengumuman pemenang Sayembara Penulisan Kreatif MASTERA yang julung-julung kalinya diadakan, menyaksikan penulis Malaysia merangkul hadiah naib johan dalam kedua-dua kategori, cerpen dan puisi. Acara ini yang dianjurkan selari dengan pengumuman Hadiah Sastera MASTERA ke-9, menampilkan karyawan dari negara Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam.

Cerpenis, novelis dan pensyarah, Ummi Hani Abu Hassan mendapat Naib Johan bagi cerpen “M-Suami”, membawa pulang wang tunai sebanyak RM4000. Bagi kategori puisi pula, sajak “Aku Adalah Permata Intan Yang Kau Canai” karya Marini Azahri dari Malaysia mendapat Naib Johan, membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM2000.

Indonesia menampilkan kehebatan mereka apabila tiga tempat pemenang dipenuhi oleh para karyawannya. Johan kategori cerpen dimenangi oleh Alfian Dipphatang melalui cerpen “Mati Muda”, sementara rakan negaranya, Yulizar Fadli mendapat Tempat Ketiga melalui cerpen “Ikan-ikan dan Jalanan yang Berlubang”. Bagi kategori puisi, penulis Indonesia, Faisal Syahreza merangkul Tempat Ketiga melalui puisi beliau, “Ziarah”.

Johan kategori puisi dimenangi oleh penyair dari Brunei Darussalam, Awangku Mohd Noor Sham, dengan puisinya “Soldadu Aksara”.

Pemenang Johan kategori cerpen membawa pulang wang tunai sebanyak RM5000, manakala Naib Johan dan Tempat Ketiga masing-masing membawa pulang RM4000 dan RM3000. Bagi kategori puisi, Johan membawa pulang wang tunai sebanyak RM3000, diikuti pemenang Naib Johan membawa pulang RM2000, manakala hadiah wang tunai RM1500 diberikan kepada pemenang Tempat Ketiga. Kesemua pemenang akan disisipkan sijil penghargaan atas penyertaan karya mereka.

Sayembara ini dilaksanakan secara bersama oleh negara anggota MASTERA (Majlis Sastera Asia Tenggara), iaitu Malaysia, Indonesia, Brunei Darussalam, Singapura dan Thailand. Selain memartabatkan sastera, bahasa dan budaya serantau, objektif utama sayembara ini adalah untuk mengembangkan bakat dan karya kreatif dalam kalangan masyarakat negara anggota MASTERA, di samping memperbanyak penerbitan bahan sastera bermutu dalam bahasa Melayu dan Indonesia.

Tonton pengumuman di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.