Oleh Harlym Yeo
1 September 2022, 15:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bersempena dengan sambutan hari ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-65, Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menganjurkan program baca puisi bulanan PEMUISI di DBP edisi ke-8 bertemakan ‘Puisi Nurani, Mewangi Pertiwi’, bertempat di Stor Teater DBP, Kuala Lumpur.

Dalam rangka matlamatnya untuk memasyarakatkan puisi, penganjur berharap program seumpama itu mampu meningkatkan penghayatan nilai murni dalam kehidupan dan menerapkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat.

Menurut Presiden PEMUISI, Dato’ Dr. Radzuan Ibrahim (Wanrazuhar),

Puisi ialah ragam sastera yang bahasanya terikat oleh irama, ritma, rima, serta penyusunan larik dan bait.

Presiden PEMUISI, Dato’ Dr. Radzuan Ibrahim (Wanrazuhar).

Oleh itu, beliau berpendapat bahawa pelbagai tema boleh diangkat dalam sebuah puisi dan salah satunya ialah tema kemerdekaan.

Puisi dengan tema kemerdekaan umumnya berisi ungkapan atau ekspresi perasaan pemuisi tentang makna perjuangan pahlawan kemerdekaan dan semangat nasionalisme. Selain itu, puisi kemerdekaan juga berisi harapan untuk para penerus generasi bangsa agar memiliki jiwa patriotisme dan cinta akan tanah air.

Beliau menyatakan lagi bahawa dalam keadaan semasa, yang lebih penting bukan lagi puisi yang meniupkan semangat kemerdekaan, tetapi persoalan tentang bagaimanakah mengisi kemerdekaan ini sebaik-baiknya. Perpaduan dan keharmonian hidup dalam masyarakat, menghindari perpecahan dan pergolakan antara kaum, merupakan perkara yang perlu diutamakan dalam membina negara bangsa dalam arus kemajuan dan kemodenan dunia baharu ini.

Beliau juga menyeru khalayak agar mencipta puisi yang mempunyai nilai positif dan harmoni dari dalam lubuk hati sekali gus berupaya memberikan semangat setiakawan dan kejayaan dalam membangunkan negara tercinta. Maka atas dasar dan semangat itu tercetuslah konsep program kali ini yang bertemakan “Puisi Nurani, Mewangi Pertiwi”.

Dr. Abang Patdeli Abg Muhi, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP sedang menyampaikan ucapan.

Dr. Abang Patdeli Abg Muhi, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP, yang turut hadir menyatakan bahawa DBP sentiasa berusaha membantu dalam merealisasikan segala aktiviti berkaitan sastera, terutamanya kegiatan berkaitan dengan puisi dalam kalangan persatuan dan penggiat sastera.

Kepten Datuk Prof. Emeritus Dr. Hashim Yaacob, Naib Canselor Universiti Malaya ke-8 sedang berucap.

Kepten Datuk Prof. Emeritus Dr. Hashim Yaacob, Naib Canselor Universiti Malaya ke-8, yang hadir merakamkan ucapan dan sekali gus merasmikan program menggesa generasi muda agar mempertingkatkan keupayaan berkomunikasi dan berbahasa dalam kehidupan.

Sambil menyorat pengalamannya sendiri, beliau menegaskan bahawa kepetahan berkata-kata dan kebijaksanaan berbahasa membolehkan kita mempertahankan diri daripada dihina oleh orang lain. Lebih penting daripada itu, kebolehan berkomunikasi juga mampu mendorong kita memartabatkan bahasa, membentuk jati diri bangsa, dan mendaulatkan negara.

“Kalau kita tidak pandai berkata-kata, kita akan kalah dalam semua perkara – dalam perbahasan mahupun perbincangan,” jelas beliau yang seterusnya membaca puisi karya beliau sendiri yang berjudul ‘Kata-kata’ selain daripada sajak berunsur patriotik bertajuk ‘Negara Kita, Kita Jaga’.

Turut hadir dalam program tersebut dan turut sama mendeklamasikan sajak ialah Sasterawan Negara Dato’ Rahman Shaari, Prof. Madya Dr. Norhayati Ab Rahman, Timbalan Presiden PEMUISI, selain daripada pelbagai persembahan menarik yang dibawakan oleh para Exco dan ahli PEMUISI, serta para peminat sastera tanah air.

Sasterawan Negara Dato’ Rahman Shaari.
Prof. Madya Dr. Norhayati Ab Rahman, Timbalan Presiden PEMUISI.

Antara yang menyuntikkan semangat kebangsaan melalui persembahan sajak dan lagu puisi mereka ialah Dr. Zainatul Shuhaida, Marzelan Perindu Seni, Harlym Yeo, Maslinah Yusof, Letfee Ahmad, Ijamala, Liz Haslinaz, Julia Ikin, Pak Teh (Pena Permai), Firdaus Sidek, Mawaddah Bt Marzelan, Aryan Andika, Man Bakrie, Abdul Aziz, Rasdi Daud, Noradini Ismail, dan Hosni Mubarak.

Pengacaraan majlis program itu dilaksanakan oleh Exco Perkembangan Karya, Bahasa, Sastera dan Budaya PEMUISI iaitu Iwan Hamain Mahamis atau lebih dikenali dengan panggilan Dani.

Selain daripada pelbagai persembahan yang membakar semangat kemerdekaan negara, program kali itu turut mengumumkan lima video pemenang program ‘Video Baca Puisi Hari Merdeka’ yang diadakan sejak 1 hingga 25 Ogos melalui Facebook PEMUISI BERKARYA. Pemenang yang hadir malam itu, iaitu Mawaddah Marzelan dan Liz Haslinaz, turut diberi kesempatan mendeklamasikan puisi secara langsung.

Program baca puisi bulanan itu bersiaran pada setiap Sabtu minggu keempat. Edisi September PEMUISI di DBP edisi ke-9 bakal menemui khalayak dan peminat sastera pada 24 September 2022, Sabtu, 8.30 malam di Stor Teater DBP, Kuala Lumpur dan turut disiarkan dalam media sosial rasmi DBP.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.