31 Ogos 2022, 16:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sasterawan Negara Anwar Ridhwan dijemput sebagai panel dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia bagi menyatakan pandangan beliau perihal kemerdekaan, dokumentari, dan penulisan. Penampilan beliau dalam rancangan itu bersempena dengan penerbitan sebuah dokumentari khas Hari Kemerdekaan bertajuk “Pejuang Mata Pena”. Beliau akan tampil sebagai salah seorang panel dokumentari tersebut.

Menerusi rancangan ini, beliau menyentuh tentang keberkesanan dokumentari dalam menyampaikan konteks hubungan antara penulisan dengan kemerdekaan. Ujarnya,

Sebuah dokumentari mengandungi prinsip menyebarkan pengetahuan dan penyampaiannya diolah dengan teknik tertentu. Dokumentari “Pejuang Mata Pena” cuba untuk menceritakan dan menyampaikan perspektif para pengarang dalam kerja menulis, dan seterusnya peranan tersebut yang mendorong masyarakat bersedia ke arah kemerdekaan negara.

Beliau juga menyebut istilah “digital-native” yang berkaitan dengan kerelevanan kandungan digital bagi memenuhi sudut pandang generasi muda kini.

Mereka ini ialah “digital native”. Pengalaman hidup mereka dipenuhi dengan penggunaan teknologi digital. Kita boleh menjawab kemahuan dan sudut pandang mereka dengan memanfaatkan teknologi digital ini dalam menyampaikan dan menerapkan pelbagai unsur kehidupan.

Tambah beliau, penerbitan dokumentari sebenarnya ialah sebuah karya seni kolaborasi disiplin. Matlamatnya adalah untuk memberikan informasi dan juga pengetahuan. Dokumentari juga merupakan genre yang sangat berpengaruh dalam menambah pengetahuan masyarakat.

Bercakap tentang penulisan dalam konteks kemerdekaan, penulis novel Naratif Ogonshoto itu menyatakan bahawa ianya sudah ada jauh lebih awal, iaitu pada kurun ke-18 lagi. Tidak menafikan proses sejarah itu, beliau cuba untuk berkongsi penulisan kemerdekaan pada era moden (sekitar tahun 1940-an). Beliau menyebut beberapa karya seperti novel Putera Gunung Tahan (Pak Sako), Tulang-Tulang Berserakan (Usman Awang) dan cerpen Keris Mas iaitu “Pemimpin Kecil dari Kuala Semantan”.

Selain daripada gaya penulisan yang memberi kesan kepada pembaca dan kemahiran pengetahuan sastera yang terdapat dalam diri para pengarang ketika itu, beliau juga menyatakan tentang situasi geografi, sosial dan ekonomi masyarakat pada ketika itu.  Peranan karya-karya penulisan yang terbit dalam media penerbitan ketika itu memainkan peranan penting dalam memupuk pemikiran masyarakat.

Penerbitan penulisan karya-karya yang disebut beliau ‘sampai’ kepada masyarakat, sama ada yang berada dalam bandar atau luar bandar. ‘Sampai’ itu dimaksudkan dengan hadirnya karya-karya tersebut secara fizikal kepada masyarakat di seluruh negara melalui pelbagai lapisan umur dan latar belakang.

Buku dan akhbar yang mengandungi karya penulisan sastera berkaitan semangat kemerdekaan ini sampai ke seluruh pelosok kediaman masyarakat. Melalui karya-karya ini, muncul kesedaran secara meluas dalam kalangan masyarakat ketika itu bahawa kita sedang bergerak bersama-sama untuk mencapai kemerdekaan.

SN Anwar Ridhwan (Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman, Naratif Ogonshoto) tampil dalam rancangan ini pada 25 Ogos lalu bersama-sama penulis, Wan Nor Azriq (D.U.B.L.I.N, Mana Dadu Darjeeling) dan Faizal Hilmie Yusof untuk membicarakan perihal dokumentari “Pejuang Mata Pena” yang ditayangkan pada 31 Ogos ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.