Oleh Rosli K. Matari
26 Ogos 2022, 15:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sasterawan Negeri Kelantan Rosli K. Matari baru-baru ini diundang oleh SMK Geting, Tumpat, Kelantan, untuk berbicara tentang proses kreatif dua buah puisinya yang dipelajari dalam teks antologi KOMSAS Tingkatan 1 dan Kesusasteraan Melayu Komunikatif SPM. Petikan bicara ini diharapkan dapat dikongsikan demi memperluas pengetahuan dan apresiasi bersama semua pelajar di setiap pelosok tanah air yang turut mempelajarinya.

Dahulu, kampung saya, meski sebagai dusun, namun terdapat juga kebun getah dan hutan, di samping ada sungai. Oleh yang demikian, saya dapat mengenal, menyukai, malah berasa jiwa akrab dengan hutan dan belukar, juga serangga, burung dan haiwan hutan.

Bagi puisi “Aku Tidak Berani Berjanji” yang terdapat dalam teks subjek Kesusasteraan Melayu Komunikatif peringkat SPM pula, saya tidaklah diilhamkan oleh cetusan dan kepekaan pada mana-mana jurus alam atau landskap yang indah. Puisi ini tercetus oleh suatu ingatan, suatu kenangan yang panjang dan cukup lama dalam hidup saya.

Saya dilahirkan di pekan, atau sekarang bandar, di Kubang Kerian, pada tahun 1961, atau tepatnya pada 5 April tahun tersebut. Rumah kediaman saya, kalau pada waktu yang lalu itu adalah di tengah-tengah di antara dua batang jalan.

Rumah saya membahagikan laluan dari Kota Bharu – Bachok dan Kota Bharu – Pasir Puteh, iaitu berhampiran lampu isyarat lalu lintas di Kubang Kerian sekarang yang menghala ke Kota Bahru – Bachok dan Pasir Puteh serta Hospital Universiti Sains Malaysia. Berhampiran, sisi lampu isyarat itulah kediaman zaman kecil saya.

Rumah kediaman saya pada zaman kanak-kanak itu sudah tidak ada lagi. Malah, latar landskap dan suasana juga sudah tidak lagi seperti dahulu. Masa dan zaman dalam kehidupan kita cepat berubah.

Di Kubang Kerian, semasa kecil, saya dipelihara dan dibesarkan oleh nenek dan seorang datuk tiri yang sangat baik hati. Pada usia saya 10 atau mungkin 11 tahun, nenek membawa saya ke dalam kampung untuk menetap, mengenal dan hidup secara lebih dekat dan akrab dengan kedua-dua ibu bapa saya.

Malah, nenek saya membesarkan lagi rumah. Terletak dalam seekar tanah dusun yang penuh dengan pokok rambutan, juga sawo nilo (ciku), durian, nanas, limau jebol, limau kasturi, menseta (manggis), langsat, duku, gelugur, kandis, serta sebatang pokok jambu merah.

Di situlah saya menetap, sebelum kira-kira tiga tahun kemudian, pada usia 13 tahun, berpisah lagi buat sementara dengan ibu bapa kerana saya memasuki sekolah berasrama penuh, iaitu Sekolah Menengah Sains Kelantan atau sekarang dikenal dengan nama Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra, di Pengkalan Chepa.

Sehingga saya dewasa, saya masih selalu teringat dan terkenang pada kampung tempat tinggal saya, di pinggir bandar Kubang Kerian itu. Kampung ini pun sekarang sudah membangun, penuh dengan kediaman rumah batu. Tidak ada lagi segala landskap dan keindahan alam zaman dahulu itu.

Dahulu, kampung saya, meski sebagai dusun, namun terdapat juga kebun getah dan hutan, di samping ada sungai. Oleh yang demikian, saya dapat mengenal, menyukai, malah berasa jiwa akrab dengan hutan dan belukar, juga serangga, burung dan haiwan hutan.

Saya memiliki sebuah kumpulan puisi remaja, Anak Dusun (GEMA, 2014) yang saya karangkan khusus untuk mengabadikan kenangan hidup zaman kecil di kampung dusun, kerana saya ingin kongsikan kenangan dan pengalaman hidup kepada generasi remaja pada masa kini.

Puisi “Aku Tidak Berani Berjanji” dalam buku antologi teks Kesusasteraan Melayu Komunikatif Kubentang Sehelai Peta.

Juga, sangat saya ingat, kampung dusun saya dahulu belum ada elektrik. Elektrik datang lewat dalam pembangunan desa, ketika usia saya sudah menjangkau 16 tahun. Oleh itu, hidup malam dengan pelita dan lampu gasolin.

Berbeza sama sekali, ketika saya tinggal di pekan Kubang Kerian, sebelumnya, rumah sudah ada lampu. Di dusun, hanya pelita. Saya membaca buku sekolah di hadapan pelita, malah kadang-kadang asap mencari lubang hidung saya.

Namun begitu, pelita itu ialah kenangan indah. Sebahagian antara yang indah dalam hidup pada zaman saya kanak-kanak. Adik-adik kini sudah menjadi anak generasi yang tidak sempat membaca buku dengan bertemankan pelita.

Demikianlah, adik-adik sudah menjadi sebuah generasi yang beruntung, kerana hidup serba senang dalam nikmat kemakmuran dan kemajuan negara. Suatu nikmat yang harus disyukuri.

Saya ketika itu, dengan pelita, dapat bermain dengan bayang-bayang, di hadapan api pelita. Dengan jari, dapat membuat baying-bayang burung terbang, kelelawar, arnab, kuda, dan beberapa lain lagi pada dinding.

Saya fikir, adik-adik yang ada di hadapan saya sekarang, tidak mempunyai pengalaman, keseronokan dan keindahan kenangan – seperti itu – kerana adik-adik ialah generasi yang sudah dibesarkan oleh lampu, TV dan peti sejuk.

Oleh itu, sehingga kini dewasa, saya tetap ingat pada kenangan indah bermain dengan bayang-bayang, di hadapan pelita. Itulah sebab, sehingga usia saya 50 tahun, ketika puisi ini tercipta pada tahun 2011, saya dapat mengenang dan menghidupkan kembali watak pelita – Sang Pelita dengan bayangnya.

Jarak penciptaan puisi “Aku Tidak Berani Berjanji” dengan puisi “Aku” ialah 14 tahun. Puisi ini juga saya muatkan dalam kumpulan Nun Bulan.

Namun sebenarnya, draf awal puisi ini bukanlah pada tahun 2011. Drafnya lebih awal, namun saya tidak ingat tahunnya. Saya hanya ingat saya mendrafnya pada suatu tengah malam, hujan lebat, dan saya payah lena. Saya teringat zaman kanak-kanak, terkenang kampung dusun, dan terbayang pada pelita tua itu lagi.

Itulah cetusan yang mengilhamkan puisi ini. Beberapa tahun puisi ini disimpan untuk diperbaiki, sehingga akhirnya, kerana tidak ingat pada tarikh atau tahun ketika mula-mula mendrafnya, maka saya catatkan tahun 2011, ketika saya berasa sudah selesai, tidak perlu atau tidak ingin menambah baiknya lagi.

Puisi ini saya kirim, tersiar dalam akhbar Mingguan Malaysia. Alhamdulillah, kemudian terpilih memenangi hadiah penghargaan bagi sastera Utusan Melayu. Saya sudah lupa, sama ada Hadiah Sastera Utusan Melayu-Public Bank atau Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-ExxonMobil.

Justeru, jika tanpa ada pelita itu lagi, bayang itu juga akan terus hilang, selama-lamanya.

Adik-adik yang membaca dan mempelajari puisi ini, tentulah mengetahui, sebagai kisah antara sebuah pelita dengan sosok bayangnya. Namun begitu, dari segi hakikat pemikiran utama – puisi ini membawakan tendensi bahawa hidup ini adalah sementara, fana, sekejap masa sahaja – tidak kekal.

Itulah sebabnya, saya mengukuhkan pengucapan sebagai:

Menjelang ujung dinihari
Bayangnya pandai pula bersopan dan hormat

Mengucapkan selamat tinggal
Berharap bertemu lagi esok malam

Tetapi Sang Pelita membiarkan sahaja
Bayangnya pergi

 Hanya sekali, ia pernah menjawab:
“Aku tidak berani berjanji apa-apa.”

Ungkapan “Aku tidak berani berjanji apa-apa” oleh Sang Pelita membawa erti bahawa, justeru dalam hidup ini, tiada sesiapa yang mengetahui dan dapat memberikan jaminan bahawa kita pasti akan dapat hidup lagi atau usia tentu akan masih panjang lagi, esok hari. Kematian sebenarnya selalu menunggu dalam hidup ini dan akan berlaku pada bila-bila masa sahaja:

“Aku ngeri pada maut,
Lebih daripada jeritanmu”

“Maut lebih pantas daripada angin,
Lebih gelita daripada malam”

Tetapi kata-kata itu, Sang Pelita pun
Gementar untuk mengucapkannya

Rosli K. Matari

Begitulah pemikiran utama sebagai renungan saya melalui puisi ini, sebagaimana yang dijawab oleh Sang Pelita kepada bayangnya, “Aku tidak berani berjanji apa-apa”, yakni tidak dapat memberikan janji dan jaminan bahawa dirinya – Sang Pelita – dan bayangnya itu akan masih dapat terus kekal lagi, esok hari, dalam hidup ini.

Justeru, jika tanpa ada pelita itu lagi, bayang itu juga akan terus hilang, selama-lamanya.

Akan tetapi, sewaktu puisi ini terpilih memenangi hadiah, ketika membaca laporan ringkas panel pada setiap puisi yang menang, saya terkejut besar. Namun begitu, saya diam sahaja. Keputusan panel adalah muktamad dan laporan panel tentulah bijak. Panel mengulas bahawa puisi saya mengenai pemimpin yang hilang golongan pengikutnya.

Saya tercengang kerana persepsi panel jauh berbeza daripada pemikiran saya. Namun begitu, saya menghormati panel. Malah, menganggap bahawa panel bijak. Dalam erti kata dapat memikirkan dan merumuskan dengan lebih jauh lagi, mengatasi pemikiran saya.

Benarlah seperti yang ditegaskan oleh penyair terkemuka Indonesia, Sapardi Djoko Damono bahawa puisi ialah suatu yang “ditulis begini, dibilang begitu”. Perkataan ‘bilang’ dan ‘dibilang’ dalam bahasa Indonesia, pada maksud oleh Sapardi itu ialah kata-kata, beritahu, atau percakapan.

Michael Riffaterre yang terkenal di dunia berkaitan kajian sastera, juga berkata demikian. “A poem says something anda means another.” Puisi mengatakan sesuatu, tetapi maksudnya lain. Puisi boleh bersifat demikian. Ertinya, puisi ialah karya yang dapat berhadapan dengan tafsiran yang lebih luas.

Oleh yang demikian, saya menganggap panel mampu menjangkau tafsiran yang lebih jauh dan berhak pada komentar dan keputusannya.

Namun begitu, saya menjadi gusar apabila kemudian puisi ini terpilih sebagai salah sebuah puisi bagi pelajaran dan kajian pelajar dalam teks Kesusasteraan Melayu Komunikatif SPM.

Hal yang cepat menggusarkan hati saya ialah – yang mana satukah nanti akan dijadikan dan dimuktamadkan oleh guru semasa mengajarkan puisi ini nanti? Dalam erti kata, saya fikir dan yakin bahawa nanti pasti akan ada juga guru yang boleh memahami tentang tema hidup ini yang tiada kekal atau sementara – sebagaimana yang saya fikirkan.

Namun pada suatu sudut lain lagi – tentang pemimpin yang kehilangan pengikut, sebagaimana yang dirumuskan oleh panel, kerana saya dapati, buku-buku ulasan teks dan ulasan dalam pembelajaran melalui internet memang sudah memegang pakai rumusan panel.

Sesetengah ulasan pula menjelaskan, pemimpin yang jujur tidak akan memberikan janji yang tidak dapat ditunaikannya kepada masyarakat.

Saya fikir, pemikiran ini pun betul juga.

Kegusaran saya kemudian menjadi semakin bertambah lagi apabila Didik TV (sebagai Rancangan Pendidikan melalui program siaran televisyen oleh Kementerian Pendidikan Malaysia) melalui kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan hadir untuk menemu ramah bagi rancangan pendidikannya, memberikan fokus pembelajaran pada puisi ini.

Terfikir oleh saya – yang mana satukah harus saya pilih untuk ditegaskan sebagai pemikiran utama atau tema? Hal ini akan melibatkan pengajaran dan pembelajaran pelajar dalam negara.

Saya tahu tentang pemikiran utama yang lebih saya hasratkan dan saya tahu juga rumusan panel adalah boleh diterima dengan tepat. Namun untuk mengemukakan pemikiran utama atau tema secara bercapah – yakni sebagai sekali gus mengandungi dua lapis pemikiran kepada pelajar tentulah akan menyusahkan dan menyukarkan mereka.

Saya berasa amat kasihan, justeru adik-adik sebagai pelajar tidak seharusnya dibebankan dengan soal yang bercapah sedemikian. Adik-adik yang belum tiba sebagai siswa sastera di universiti, apakah mampu berfikir dengan lebih mendalam?

Maka, saya berterus terang tentang pemikiran utama sebenar puisi ini, daripada sisi saya, dengan menunjukkan dan menerangkan isi serta contoh dan bukti yang terkandung dalam puisi ini. Namun begitu, pada masa yang sama, saya menjelaskan juga tentang rumusan panel itu, yang juga boleh diterima, juga kupasan yang terdapat dalam buku-buku ulasan yang sudah pun menerima pakai ulasan panel.

Didik TV bersetuju menerima kedua-dua persepsi pemikiran, pada erti kata – salah satu juga diterima benar, kedua-duanya juga diterima benar. Ertinya, puisi ini diterima sebagai mempunyai tema ambiguiti, iaitu puisi yang mengandungi dua lapis tema yang sama penting.

Maka, Didik TV menerangkan kedua-dua lapis tema tersebut. Saya bersyukur kerana kegusaran saya dapat dianggap selesai.

Pengajaran puisi ini dalam Didik TV, dapat adik-adik ikuti melalui YouTube. Video ini dibimbing oleh Cikgu Tengku Rae sebagai moderator, manakala pendidik yang mengajarkan puisi ini ialah Cikgu Maizura Muhammad dan Cikgu Shamsuriati Hassan.

Dalam hal ini, saya ingin memberikan nasihat kepada adik-adik. Tidak usahlah adik-adik berasa rendah diri untuk mempelajari Kesusasteraan. Tidak usahlah berasa malu apa-apa, jika ada orang menggumam, “Apa faedah mempelajari pelajaran Kesusasteraan?” atau, jika ada orang berkata, “Sastera tidak dapat digunakan untuk membaiki enjin dan mesin.”

Orang itulah yang buta dan dungu.

Tiada sesiapa dalam dunia ini yang menggunakan Kesusasteraan untuk membaiki enjin dan mesin. Kesusasteraan digunakan untuk membaiki minda dan jiwa. Justeru, dalam dunia ini, tiada enjin dan mesin yang dapat membaiki minda dan jiwa manusia.

TEKS PENUH

Aku Tidak Berani Berjanji

Seperti tiap-tiap malam, yang sudah-sudah
Sang Pelita membiarkan sahaja

Bayangnya bermain sepuas-puasnya
Atau membebel sekehendak hatinya

Sang Pelita enggan ketawa
Walau ada ketika mungkin agak lucu

Sewaktu bayangnya terhantuk tiang
Atau terbolos lubang lantai, jatuh ke tanah

Bahkan, ketika angin mencuri-curi masuk
Sang Pelita berdiam diri sahaja

Tidak peduli sekuat-kuat mana
Bayangnya menjerit-jerit cemas

“Aku ngeri pada maut,
Lebih daripada jeritanmu”

“Maut lebih pantas daripada angin,
Lebih gelita daripada malam”

Tetapi kata-kata itu, Sang Pelita pun
Gementar untuk mengucapkannya

Dibiarkan sahaja
Bayangnya leka atau bermuka-muka

Menjadi helang mengepak-ngepak sayap
Meniru orang tua terbongkok-bongkok

Merungut atau berdekah-dekah
Menjelma atau menyelinap sementara

Mengatup dan menganga mulut luas-luas
Sesekali liar bagai tedung selar

Menjelang ujung dinihari
Bayangnya pandai pula bersopan dan hormat

Mengucapkan selamat tinggal
Berharap bertemu lagi esok malam

Tetapi Sang Pelita membiarkan sahaja
Bayangnya pergi                                                     

Hanya sekali, ia pernah menjawab:
“Aku tidak berani berjanji apa-apa.”

21 Jan 11

Baca Bahagian Pertama Refleksi |

Di Sebalik Puisi “Aku” dan “Aku Tidak Berani Berjanji” (Bhg. 1)

Kredit Gambar: Binaan Kecerdasan Buatan DALL-E

_________________________

Bicara ini disesuaikan daripada pembentangan Rosli K. Matari di SMK Geting, Tumpat, Kelantan, baru-baru ini. Program anjuran bersama persatuan penulis PESISIR dan Majlis Kebudayaan Negeri Kelantan dengan SMK Geting serta Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur. Beliau merupakan Sasterawan Negeri Kelantan dan penerima S.E.A. Write Award 2021.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

Yang Berkaitan

Coretan Puisi

Mata dan Mati

5 April 2024, 09:11
Coretan Puisi

Pintu

5 April 2024, 08:39
Coretan Puisi

Hujan

25 Mac 2024, 14:32
error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.