Oleh Rosli K. Matari
19 Ogos 2022, 11:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sasterawan Negeri Kelantan Rosli K. Matari baru-baru ini diundang oleh SMK Geting, Tumpat, Kelantan, untuk berbicara tentang proses kreatif dua buah puisinya yang dipelajari dalam teks antologi KOMSAS Tingkatan 1 dan Kesusasteraan Melayu Komunikatif SPM. Petikan bicara ini diharapkan dapat dikongsikan demi memperluas pengetahuan dan apresiasi bersama semua pelajar di setiap pelosok tanah air yang turut mempelajarinya.

Lazimnya, proses kreatif oleh seseorang pengarang pada karyanya adalah cukup menyeronokkan pembaca yang pernah membaca karya itu, justeru dapat mengetahui dan memahami bagaimana karya itu terhasil.

Ada dua buah puisi saya yang dipelajari oleh adik-adik. Sebuah ialah puisi berjudul “Aku” dalam buku teks KOMSAS, Tingkatan 1 Kuingin Berterima Kasih (DBP, 2014). Sebuah lagi ialah puisi berjudul “Aku Tidak Berani Berjanji” dalam buku teks Kesusasteraan Melayu Komunikatif SPM Kubentang Sehelai Peta (DBP, 2015).

Saya sebagai orang Melayu, atau pada konteks ini sebagai pengarang dan penyair Melayu berasa segan, kekok dan agak malu untuk berbicara dan bercerita tentang diri sendiri, atau karya sendiri. Dalam budaya Melayu, hal ini sebenarnya dielakkan untuk memuluk-mulukkan diri. Namun, dari suatu sudut, khususnya dalam Kesusasteraan, perkara ini diistilahkan sebagai berbicara tentang Proses Kreatif.

Hal ini adalah tentang penceritaan, perkongsian dan pencerakinan oleh seseorang pengarang darihal bagaimana cetusan atau lahirnya sesebuah karya itu dan bagaimana cara karya itu diciptakan, untuk dikongsikan atau apabila ingin diketahui atau jika wajar diketahui oleh masyarakat.

Dengan kata yang lebih mudah, proses kreatif adalah lebih bermaksud sebagai cara dan pengalaman seseorang pengarang menghasilkan karya tertentunya itu. Lazimnya, proses kreatif oleh seseorang pengarang pada karyanya adalah cukup menyeronokkan pembaca yang pernah membaca karya itu, justeru dapat mengetahui dan memahami bagaimana karya itu terhasil.

Dalam kesusasteraan di tanah air, misalnya, khalayak sastera pernah dapat berkongsi dan mengetahui proses kreatif Sasterawan Negara (SN) A. Samad Said mencipta novel terkenalnya, Salina. Di samping itu, sedikit sebanyak tentang proses kreatif SN Shahnon Ahmad menghasilkan novel terkenalnya, Ranjau Sepanjang Jalan dan SN Anwar Ridhwan mengarang novel terkenalnya, Naratif Ogonshoto; serta beberapa orang pengarang lain lagi.

Dalam hal ini, saya dipohon berbicara tentang dua buah puisi – “Aku” dan “Aku Tidak Berani Berjanji” yang adik-adik pelajari dalam teks persekolahan. Saya akan berbicara proses kreatif tentang bagaimana puisi ini tercetus dan diciptakan. Hal ini mungkin menggembirakan adik-adik kerana kita dapat berkongsi serta mengetahui latar penciptaan dan cara penciptaannya.

Di samping itu, hal ini masih boleh tetap berada sebagai keperluan dalam aspek pembelajaran kerana salah satu matlamat pembelajaran adalah untuk menimbulkan rasa seronok belajar dalam kalangan pelajar. Selebihnya adalah sebagai penambahan pengayaan pengetahuan dan pengalaman kepada pelajar.

Pada puisi berjudul “Aku” yang sedang adik-adik pelajari, saya sebenarnya pada beberapa tahun lepas, sudah pernah berbicara tentang Proses Kreatif puisi ini bersama-sama beberapa buah puisi saya yang lain, iaitu pada suatu keperluan program apresiasi puisi yang dianjurkan oleh Persatuan Penyair Malaysia cawangan Negeri Kelantan.

Program itu adalah semasa bulan puasa, atau Ramadan. Beberapa buah puisi itu – termasuk puisi berjudul “Aku” – ialah puisi berpemikiran Islam, sesuai dengan aspirasi bulan Ramadan, pada program itu.

Pada kali ini, saya harus bercerita lagi tentang puisi “Aku” – untuk adik-adik.

Saya selalu mempercayai bahawa ketekunan, kesabaran dan ketabahan akan selalu dapat menghasilkan kebaikan, kesempurnaan dan kejayaan.

Puisi ini tercipta pada tahun 1997, iaitu 25 tahun yang lalu. Adik-adik yang kini di bangku persekolahan, tingkatan 1 sekarang, berusia 13 tahun, belum lahir ke dunia ini ketika saya mengarang puisi ini, iaitu 12 tahun sebelum adik-adik dilahirkan.

Namun begitu, walaupun puisi ini tercipta pada tahun 1997, puisi ini tidaklah tersiar pada tahun yang sama. Saya biasa menyimpan draf sesebuah puisi, lama sekali, beberapa tahun – ada yang lebih lima tahun, ada yang lebih 10 tahun – tidak terus tergesa-gesa mengirimkan kepada media untuk disiarkan.

Draf puisi ini tersimpan selama 13 tahun untuk sesekali dibaiki dan masih dibaiki lagi ketika itu. Kemudian, saya kirimkan untuk disiarkan dalam Dewan Sastera yang pada bulan Mac 2010, iaitu majalah yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Setahun kemudian, puisi ini saya muatkan dalam kumpulan puisi saya, Nun Bulan, yang diterbitkan oleh Persatuan Penulis Kelantan (PPK) pada tahun 2011. Hal ini bermakna, selepas 14 tahun tercipta, barulah puisi ini berpeluang untuk digunakan bagi kumpulan puisi Nun Bulan.

Puisi “Aku” dalam buku teks Komponen Sastera Kuingin Berterima Kasih.

Nun Bulan ialah kumpulan puisi saya yang pertama kali diterbitkan, selepas 33 tahun saya hadir dalam dunia sastera tanah air, dari jarak tahun 1978 karya puisi pertama saya disiarkan oleh Dewan Sastera.

Saya tidak pernah mengambil sikap tergesa-gesa atau gelojoh untuk bergegas atau cepat menerbitkan dan memiliki kumpulan puisi. Itulah sebabnya saya sabar, tabah dan tekun – 33 tahun – kerana saya selalu mempercayai bahawa ketekunan, kesabaran dan ketabahan akan selalu dapat menghasilkan kebaikan, kesempurnaan dan kejayaan.

Jika adik-adik ingin mengetahui bagaimana puisi “Aku” ini tercipta, cetusan ilhamnya berlaku apabila saya berada di sebuah pantai. Itulah sebabnya terdapat rangkap, iaitu pada rangkap pertama, saya ungkapkan:

Tidak ada manusia lain
di pantai ini,
kecuali diriku.

Pantai itu ialah Pantai Kemasin, di Bachok, Kelantan. Bapa saya, salah satu hobi pada masa lapang atau masa ruang senangnya ialah suka menjala di pantai, sungai dan terusan atau tali air, dan menyerkap atau menyuluh dan menetak ikan pada waktu malam di sawah.

Saya biasa mengikutinya dari zaman kecil hingga dewasa. Namun begitu, saya tidak pernah pandai menjala, kecuali menyuluh dan menyerkap kerana cara itu mudah. Saya suka mengikutinya kerana ingin menikmati keindahan alam, di mana-mana tempat. Itulah sebenar yang lebih menjadi motif saya, bukan sangat kerana menangkap ikan.

Kadang-kadang, bapa menggelarkan saya sebagai “pengarah”. Tidak pandai menjala, tetapi selalu memintanya, bagai “mengarah”, mencadangkannya menebarkan jala di kawasan ini, kawasan itu. Akan tetapi, sifat kasih seorang bapa, walau beliau sudah tua dan saya sudah dewasa, maka dijalakan juga pada mana-mana tempat itu untuk tidak menghampakan permintaan dan harapan saya.

Demikian saya dengan bapa. Usianya masih panjang, alhamdulillah, sudah lebih 80 tahun sekarang, mendekati 90. Namun begitu, tidaklah menjala lagi.

Malah, saya memiliki sebuah puisi yang dikarangkan khusus untuk bapa saya berjudul “Bapaku”. Sebagai sebuah puisi agak panjang. Saya tidak karangkan sebagai puisi pendek atau sebagai satu halaman sahaja, semata-mata ingin mengenang jasa dan pengorbanan hidupnya memelihara kami anak-anak.

Sebagai anak, saya bangga dan bersyukur dapat menciptakan sebuah puisi yang khusus untuknya. Malah, saya memiliki sebuah puisi untuk ibu tercinta saya, Allahyarhamah. Puisi “Bapaku” ini saya muatkan dalam kumpulan puisi kedua saya, Tidakkah Kita Berada Di Sana?, diterbitkan oleh Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN) pada tahun 2014. Namun begitu, puisi untuk ibu, saya masih menyimpannya sampai kini, berpuluh-puluh tahun.

Berbalik pada kisah menjala di pesisir Pantai Kemasin itu, pada suatu kali, saya membiarkan bapa menjala seorang diri. Manakala, saya pula berjalan sendirian menyusur pantai. Menikmati sepenuh keindahan alam semula jadi ciptaan Ilahi. “Melihat laut, langit, dan pohon.”

Oleh sebab sendirian, “Tidak ada manusia lain – di pantai ini – kecuali diriku”, menyusur sepanjang pantai itu, saya menjadi teringat pada Nabi Adam a.s. kerana “Tidak ada manusia lain”:

Kususur pasir panjang
sambil kubayangkan
aku ini Adam.

Itulah cetusan yang mengilhamkan tercipta puisi “Aku”. Justeru sendirian, saya memikirkan – (1) Saya sebagai manusia, sebagai Adam, (2) Dari mana saya datang?, (3) Bagaimana saya boleh berada di sini (di dunia ini)?, dan (4) Bagaimana saya tercipta?

Itu juga sebabnya, meski tiada diketahui sesiapa, satu-satunya ungkapan yang paling saya senangi, sayangi dalam puisi ini – yang saya anggap sebagai baris dinamik untuk direnung secara mendalam, difikirkan setepat-tepatnya dan cukup menginsafkan – ialah baris yang mengucapkan kata-kata “Kelmarin aku belum ada” kerana sedar dan mengetahui bahawa:

Hari inilah aku tercipta
dan pertama kali melihat
laut, langit, dan pohon.

Hal ini, justeru dapat direnung mendalam:

Kelmarin aku belum ada
tidak terdengar olehku
bunyi ombak itu.

Tidak terasa olehku
sentuhan angin ini,
bertiup di mana-mana.

Bahkan, aku tidak tahu
kulit kerang dan rhu
pernah wujud di sini.

Bagaimana saya, atau Adam (Nabi Adam a.s.) boleh mengetahui bahawa sudah sedia terdapat, ada, atau wujud – pantai, laut, ombak, angin, kulit kerang, dan rhu – segala kejadian alam itu, jika saya (Adam) sendiri belum pernah wujud, tercipta dan diciptakan oleh Tuhan?

Oleh sebab itu, saya – pada konteks sebagai manusia, sebagai Adam (Nabi Adam a.s.) –tidak mungkin tiba-tiba sahaja boleh tercipta secara sendiri, tidak mungkin dapat menciptakan diri sendiri untuk menjadi manusia, melainkan sebagai makhluk yang diciptakan oleh Allah SWT, Tuhan Maha Pencipta.

Oleh yang demikian, tiada sebab untuk tidak mempercayai alam semesta yang maha luas, serba indah, serba lengkap dan serba sempurna ini memiliki – ada Maha Penciptanya. Alam semesta ini, mustahil tiba-tiba tercipta sendiri, seumpama sebuah rumah yang tiba-tiba sahaja serba lengkap dengan tiang, pintu, jendela, bilik, dan tangga, jika tidak kerana diciptakan.

Nabi Adam a.s. diciptakan di Syurga oleh Allah SWT, sebelum diturunkan atau didatangkan ke bumi. Nabi Adam a.s. mempercayai Allah SWT, dari segi keimanannya, kerana baginda sedar dan insaf merupakan makhluk yang tidak wujud sebelum diciptakan. Kewujudan dirinya adalah kerana diciptakan oleh Allah SWT.

Dalam konteks kesusasteraan kreatif, renungan ini merupakan perkara menarik pada peluasan pemikiran. Jika misalnya, dalam sastera Indonesia, peluasan pemikiran seperti ini lazim dilakukan dalam kreativiti puisi oleh penyair Goenawan Mohamad, Sapardi Djoko Damono dan W.S. Rendra; berkait pada Nabi Daud a.s., Nuh a.s. dan Ibrahim a.s.

Jika pada konteks kreativiti puisi “Aku” ini, bertujuan untuk mempertingkatkan lagi keyakinan dari segi anjakan cara yang lebih mudah, demi memahami kewujudan dan keinsafan diri secara lebih berkesan.

Oleh itu, tiada sebab untuk tidak mempercayai bahawa Allah SWT ialah Tuhan Maha Pencipta:

Tuhan,
aku percaya Kau Pencipta
kerana aku baru ada.

Itulah sebabnya, pada pemikiran saya – dengan cara berfikir, merenung dan insaf demikian, ialah cara yang paling mudah untuk memahami, menerima, mengakui, dan mempercayai bahawa Tuhan Maha Pencipta itu ada, kerana “kelmarin aku belum ada”.

Puisi ini tidak mudah tercipta oleh saya kerana harus rapi menentukan imbangan pengucapan dengan jumlah barisnya.

Saya bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dapat terilham dan mencipta puisi ini sebagai puisi berpemikiran Islam untuk dikongsikan dengan para pembaca, khalayak sastera dan masyarakat. Terutama juga kerana dengan limpahan rahmat daripada Allah SWT, maka puisi ini dapat dipelajari untuk renungan dan pemahaman para pelajar di seluruh tanah air.

Cuma, sebagai perkongsian bicara akhir berkenaan puisi ini: mengapa puisi ini dikarangkan sebagai puisi berbentuk terikat yang berbentuk terzine, iaitu sebagai puisi yang berdiri dengan tiga baris bagi setiap rangkap. Hal ini sebenarnya bertujuan untuk mementingkan kesempurnaan.

Justeru, kita insaf bahawa Allah SWT menciptakan segala sesuatu di alam semesta itu adalah dengan sebegitu sempurna, tiada cacat-cela pada ciptaan-Nya. Sudah tentu, puisi ini boleh sahaja diciptakan sebagai puisi berbentuk bebas, tanpa peduli pada aturan jumlah rangkap dan baris.

Rosli K. Matari

Namun saya tidak berhasrat demikian, kerana jika berbentuk bebas tidaklah sebagai puisi yang rapi untuk mementingkan kesempurnaan, selain kesemukuran posisi rangkap penciptaan.

Oleh itu, tanpa bermaksud membesarkan diri, puisi ini tidak mudah tercipta oleh saya kerana harus rapi menentukan imbangan pengucapan dengan jumlah barisnya. Bahkan, segi jumlah rangkapnya.

Jumlah perkataan, saya rapikan, sempurnakan sebagai had 1–4 patah perkataan sahaja, tidak melebihi. Itulah juga sebabnya, mengapa jumlah rangkap pengucapan puisi ialah sebanyak tujuh rangkap. Tidak enam, delapan atau lebih lagi.

Hal ini kerana saya mengingat pada kosmologi Islam yang mementingkan angka ‘7’. Contohnya, langit tujuh lapis. Maka, puisi ini terdiri dengan tujuh rangkap demikian.

Akan tetapi, hal yang tersembunyi sebalik konsep struktur atau bentuknya pada penciptaan puisi ini, bukanlah suatu keperluan dari segi pemahaman dan kajian dalam pembelajaran adik-adik.

Hal demikian hanyalah sebagai dinamika kreativiti yang tersembunyi, yang mungkin, jika dapat direnung dan ditemui secara lebih mendalam oleh para pengkritik dan pengkaji. Jika tidak, dinamika kreativiti itu boleh memadai setakat penelitian atau kajian secara biasa sahaja.

Demikian itulah bagaimana tercetus dan tercipta puisi “Aku” ini, iaitu diriku, insaf pada Keagungan, Kekuasaan dan Kebesaran Allah SWT sebagai Tuhan Maha Esa, Maha Pencipta. Oleh yang demikian, teras puisi ini sebagai puisi berpemikiran Islam.

Puisi ini agak meriah juga dalam YouTube. Terutamanya, tentu sahaja oleh tontonan kalangan pendidik dan pelajar. Dan, tentulah diusahakan bagi membantu sisi pendidikan, pada motif bahawa salah satu aspek pembelajaran adalah dengan memberikan “keseronokan” dan “penikmatan”, justeru para pelajar harus didorong berasa seronok untuk belajar.

Saya ingin merakamkan ucapan sedalam-dalam terima kasih kepada para pendidik berkenaan, atas budi dan inisiatif mereka, meski tidak saya kenali.

Adik-adik boleh menemukan tiga buah video bagi lagu dan deklamasi puisi ini daripada Youtube. Taipkan: lagu puisi aku. Tampak nanti capaian video lagu yang diciptakan oleh Cikgu Rabiaatul Adawiyah Momi; dicatatkan lagu dan lirik oleh Aduldhaty, vokal oleh JPII, dan dimuat naik oleh FauzanIzaan. Selain itu, video bacaan yang dimuat naik oleh Muhammad Mahmuddin dan video deklamasi oleh Cikgu Nurulain Taham, dimuat naik oleh Cik Ainpipitembam.

Bicara saya ini tidaklah dapat adik-adik gunakan pada peperiksaan. Soalan peperiksaan sama sekali tidak akan mengaitkan proses kreatif sesebuah karya. Justeru, hal ini merupakan proses kepengarangan yang tersembunyi, berada di sebalik kreativiti sesebuah karya. Tidak diketahui umum.

Akan tetapi, dalam usaha pembelajaran, apabila berpeluang mengetahui proses kreatif seseorang pengarang dan karya tentulah menyeronokkan juga. Justeru, dapat mengisi pengayaan dan peluasan pengetahuan.

TEKS PENUH

Aku

Tidak ada manusia lain
di pantai ini,
kecuali diriku.

Kususur pasir panjang
sambil kubayangkan
aku ini Adam. 

Hari inilah aku tercipta
dan pertama kali melihat
laut, langit, dan pohon.

Kelmarin aku belum ada
tidak terdengar olehku
bunyi ombak itu.

Tidak terasa olehku
sentuhan angin ini,
bertiup di mana-mana.

Bahkan, aku tidak tahu
kulit kerang dan rhu
pernah wujud di sini.

Tuhan,
aku percaya Kau Pencipta
kerana aku baru ada.

3 Disember 1997

Baca Bahagian Kedua Refleksi |

Di Sebalik Puisi “Aku” dan “Aku Tidak Berani Berjanji” (Bhg. 2)

Kredit Foto: Madib Zikri/Unsplash

_________________________

Bicara ini disesuaikan daripada pembentangan Rosli K. Matari di SMK Geting, Tumpat, Kelantan, baru-baru ini. Program anjuran bersama persatuan penulis PESISIR dan Majlis Kebudayaan Negeri Kelantan dengan SMK Geting serta Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur. Beliau merupakan Sasterawan Negeri Kelantan dan penerima S.E.A. Write Award 2021.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

Yang Berkaitan

Coretan Puisi

Mata dan Mati

5 April 2024, 09:11
Coretan Puisi

Pintu

5 April 2024, 08:39
Coretan Puisi

Hujan

25 Mac 2024, 14:32
error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.