Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangLumpur kota ini
sedang memamah
kulit, dan jasadmu.
Ramai yang pentingkan
poket, dari Tuhan
baginya, hidup
hanyalah wang
dan makan.
Terlalu banyak lumpur
walau tidak nampak
begitu kotor
walau dilihat segak.
Di sini, orang bergaduh
kerana ruang parkir
tuan perlu berlagak sombong
agar dihormati, dan tidak didekati.
Sayuran, telur, beras, sardin
dan segala keperluan dapur
dijual dengan pelbagai harga
…sesuka hati
masih ada yang beli
dan, penjualnya tetap kaya
kerana dalam segala kesempitan
kota inilah tempat orang ambil kesempatan.
Lumpur kota ini tidak nampak
tapi terlalu banyak
dadamu terasa sesak
lumpur kota ini bahaya
lebih-lebih lagi
jika kau tidak kaya.
Bersilih ganti
antara yang berkejar ke masjid
dengan yang menghambat ringgit
lampu merah dilanggar
kerja penat, tiada rehat
orang-orang di jalan
hampir dirempuh.
Betapa ramai pekerja
dipaksa perah kudrat
hingga terlupa memakai akal
dan ada yang terjelepok
ke tanah
hanya kerana
…duit, dan keperluan.
Desakan hidup
…tanggungjawab, dan tuntutan
akan hilangkan
…segala pertimbangan.
Seluruh kehidupan
selalu, berakhir di simpang
…dan usianya, menjadi nisan di jalan.
Kuala Lumpur
2 Februari 2024
