26 Ogos 2022, 12:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pasir Puteh – Negeri yang diberi julukan ‘lubuk puisi’ mencatatkan sejarah yang tersendiri dalam Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Peringkat Negeri Kelantan 2022. Seramai 17 orang peserta telah berentap bagi merebut kejuaraan sekali gus mewakili negeri Kelantan untuk ke peringkat kebangsaan. Program anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT), Persatuan Seniman dan Penulis Kelantan (PUSPA), Majlis Kebudayaan Negeri Kelantan (MKNK) dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) ini dilaksanakan di SMK Selising, Pasir Puteh pada 20 Ogos 2022 lalu.

Puan Zahani Che Ismail mewakili Pengarah DBP Wilayah Timur menyampaikan hadiah kepada johan sayembara.

Mazli Husma dalam ulasannya mengakui bahawa juri menghadapi kesukaran untuk menentukan peserta yang boleh dinobatkan sebagai juara. Ujar beliau selaku ketua juri yang juga dibantu oleh pendeklamasi kebangsaan, Maroof Seman dan Awang Darus, penyair PUSPA,

Juri dibekalkan dengan format pemarkahan mengikut standard peringkat kebangsaan. Pemarkahan tertumpu kepada aspek vokal, tempo, nada, hafalan, kelancaran, penghayatan, bahasa tubuh, keyakinan dan keterampilan. Ramai peserta menunjukkan mutu deklamasi puisi yang baik yang menyebabkan persaingan sangat sengit.

Juri akhirnya telah sepakat memilih Zainul Amin Mat Zin yang mendeklamasikan sajak berjudul “Milik Siapakah Tanah Ini?”, karya Mohd Ghazali Taib sebagai johan. Naib Johan pula disandang oleh Nor Hafuza Muhammad Arif yang mempersembahkan sajak bertajuk “Memilih untuk Bercinta dengan Tanah Airku”, karya Jasni Matlani . Nik Fateeha Syuhada Imran yang mendeklamasikan juga sajak “Milik Siapakan Tanah Ini?” memenangi tempat ketiga. Mereka masing-masingnya menerima sebanyak RM1000, RM700 dan RM500.

Peserta yang mendapat tempat sagu hati pertandingan pula menerima RM200 setiap seorang. Antara peserta yang mendapat sagu hati ialah Siti Nur Fatihah Zainal Abidin,  Muizzuddin Mohamad  dan Ros Adila Romzi.

Johan sayembara, Zainul Amin Mat Zin.

Zainul Amin mengakui bahawa beliau terkejut dengan kemenangan ini.

Saya jangka dapat sagu hati sahaja kerana kebanyakan peserta yang bertanding sudah ada nama pada peringkat negeri dan kebangsaan.

Beliau mula mendekati sajak sejak berada di sekolah dan universiti serta sesekali juga menerima jemputan untuk persembahan.

Minat kepada sastera berputik sejak di bangku sekolah. Saya berpantun, bersyair, bersajak, berpidato dan menyertai syarahan. Pada masa itu, saya menyerlah dalam bidang pidato dan syarahan. Di peringkat IPTA, saya kembangkan minat bersajak tetapi ruang untuk pergi lebih jauh itu terbatas. Apabila masuk dalam alam pekerjaan, saya serius dalam bidang pengacaraan majlis rasmi dan tidak rasmi. Semasa PKP, saya menyertai bengkel deklamasi puisi secara dalam talian yang dianjurkan oleh GEMA dan DBP Wilayah Timur. Pembimbingnya ialah Haji Aminudin Mamat dan Siti Nurzafran. Bermula dari bengkel tersebut, saya asah semula pengalaman sebagai pendeklamasi sehinggalah ke hari ini,

Beliau yang bertugas di Bahagian Audit Dalaman, Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) mengakui kunci kejayaan beliau ialah berlatih secara konsisten lebih kurang dua jam sehari dalam seminggu. Selain itu, beliau juga menyatakan bahawa sajak “Milik Siapakah Tanah Ini?” yang dideklamasikannya sedikit sebanyak sesuai dengan jiwanya, iaitu berkenaan dengan pembelaan nasib bangsa, semangat dan kecintaan kepada negara.

Hadiah pertandingan disampaikan oleh Puan Zahani Che Ismail mewakili Pengarah DBP Wilayah Timur diiringi Dr. Abdul Aziz Mahmood (Abham TR), Ketua Satu PUSPA. Turut hadir ialah Encik Abdullah Sanusi Tuan Ismail, Guru Kanan Sains Kemasyarakatan, SMK Selising.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.