Oleh Karmila Azmi
12 Ogos 2022, 15:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tanjung Malim – Berdasarkan definisi yang diberikan oleh Muzium British, indeks kewujudan tamadun manusia berasaskan kepada wujudnya konsep seni, agama, sistem berkerajaan yang stabil, dan sistem tulisan.

Walau bagaimanapun, hal ini dinafikan di Tanah Melayu apabila keilmuan intelektualnya “diceroboh” oleh ilmu kolonial penjajah.

Penjajah sepanjang penjajahan mereka mengumpulkan kajian dan naratif sendiri berdasarkan pemahaman mereka yang sedikit. Kajian seperti itu dimuatkan dalam jurnal akademia antarabangsa milik mereka.

Apabila zaman penjajahan berakhir, jurnal sebegitu misalnya The Asiatic Society yang dianggap bermutu tinggi kerana dianggotai oleh penyelidik seluruh dunia dan dianggap betul.

Malangnya, hasil kajiannya merupakan pendapat sepihak (penjajah) yang tidak pun dibantah dan diperbetulkan. Lebih malang, apabila jurnal ilmiah tempatan turut memetik kajian dan pandangan sebegitu.

Hal ini diperjelas oleh Rahimin Affandi Abdul Rahim, Ahmad Farid Abd Jalal dan Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya dalam Persidangan dan Pameran Antarabangsa Manuskrip Melayu 2022 yang berlangsung dari 9 hingga 11 Ogos lalu di Dewan SITC, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak.

Menerusi pembentangan bertajuk “Hukum Kanun Pahang sebagai Korpus Perundangan Tempatan Melayu Pahang”, mereka menegaskan bahawa naratif sejarah yang sebegitu memperjelas British menggunakan pendekatan dominasi dan hegemoni dalam penjajahan Tanah Melayu.

Dominasi merujuk kepada penggunaan kuasa ketenteraan, manakala hegemoni merujuk pada pendekatan intelektual.

Hal ini terlihat jelas dalam Hukum Kanun Pahang (HKP) apabila R.O. Winstedt menyamakannya dengan Hukum Kanun Melaka dan dilihat tidak penting.

“Winstedt hanya mengulas mengenai Islam dan hukum Islam dalam beberapa halaman sahaja, sedangkan isu-isu sastera Melayu diulas dengan lebih panjang lebar.

“Mereka turut memberikan paparan buruk tentang undang-undang Islam. Winstedt pernah mengatakan bahawa undang-undang Islam sebagai ketinggalan zaman kerana bergantung pada sistem undang-undang Timur Tengah,” katanya.

Untuk rekod, HKP yang digubal pada 1592 Masihi oleh Sultan Abdul Ghaffar Mahyuddin Shah ialah hukum kanun tertua selepas Hukum Kanun Melaka. Undang-undang ini merupakan kesinambungan daripada Hukum Kanun Melaka.

Meskipun diambil daripada Hukum Kanun Melaka, beberapa penambahbaikan dibuat bagi memperkemaskan peruntukan sedia ada untuk keperluan semasa.

Justeru tegasnya, tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa sejarah Malaysia, termasuk sejarah intelektualnya telah menjadi mangsa penjajahan epistemologi ilmu kolonial British.

Kredit Foto: Mathias PR Reding/Unspalsh

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.