8 Ogos 2022, 17:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuantan – Johari Ibrahim telah dinobatkan sebagai johan dalam Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan ke-36 Peringkat Negeri Pahang 2022 yang telah diadakan di Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang (PPAP) pada 6 Ogos 2022 yang lalu. Kejuaraan ini merupakan kemenangan kali ketiga berturut-turut setelah beliau muncul johan pada tahun 2020 dan 2021. Dengan mempertaruhkan puisi berjudul “Naratif Ogos Seorang Helang” karya Zainal Rashid Ahmad, Johari yang berkhidmat sebagai guru penolong kanan ko-kurikulum di Sekolah Kebangsaan Kota Perdana, Muadzam Shah, Rompin berjaya menampilkan persembahan dengan penghayatan yang amat baik serta memukau para juri dan penonton.

Selain itu, Wan Muhammad Hanif Wan Abd Hamid, pegawai tadbir di Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang pula telah menyandang naib johan dalam sayembara tersebut. Beliau telah mendeklamasikan puisi berjudul “Darah yang Terpercik di Baju” karya Norazimah Abu Bakar. Sementara itu, tempat ketiga pula telah dimenangi oleh peguam di firma Fatin dan Zaharman iaitu Muhammad Amirull Afiqq Mohamad Lokman dengan puisi berjudul “Landskap Bangsa” karya Mohamad Saleeh Rahamad.

Hadiah sagu hati pula telah dimenangi oleh Nur Nadhirah Zainuddin, Nur Atikah Jamaludin, Siti Nurzulaikha Adam (masing-masing mendeklamasikan puisi berjudul “Milik Siapakah Tanah Ini” karya Mohd Ghazali Taib), Mariani Ali Amran (“Segugus Ingatan Rubaiyat Bangsa” karya Shamsudin Othman) dan Nurul Adibah Azhar (“Darah yang Terpercik di Baju” karya Norazimah Abu Bakar).

Sayembara anjuran Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) dengan kerjasama GAPENA, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang (PPAP) telah disertai oleh 14 orang peserta dari seluruh negeri Pahang. Puisi-puisi yang dipertandingkan pula telah diambil daripada buku Antologi Puisi Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan: Jangan Gendang Bertingkah Lagi terbitan Gapeniaga Sdn. Bhd. dan digunakan bermula tahun 2022. Rata-rata puisi yang dimuatkan dalam antologi ini ditulis oleh penulis mapan seperti Ahmad Sarju, Jasni Matlani, Mahaya Mohd Yassin dan Lim Swee Tin.

Johan telah membawa pulang hadiah wang tunai RM1000, piala pusingan, piala iringan dan buku terbitan DPMP. Naib johan dan pemenang tempat ketiga pula menerima hadiah wang tunai RM700 dan RM500 serta piala iringan dan buku terbitan DPMP.

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Penasihat DPMP, Datuk Indera Wan Bakri Wan Ismail. Johan sayembara ini akan bertanding dalam Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Kali ke-36 Peringkat Kebangsaan yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada bulan September 2022 kelak.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.