Oleh Zaidi Saad
27 Julai 2022, 16:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Aforisme ialah pesanan yang indah dan kemas, baik yang merupakan nasihat, amaran, pedoman atau peringatan. Dengan kata lain, aforisme ialah baris kata-kata yang memuatkan makna untuk difikirkan, dihayati dan dipegang. Tokoh-tokoh masyarakat yang menguasai gaya puisi akan mengaplikasikan aforisme bagi tujuan keberkesanan.

Aforisme memang berguna untuk khalayak pembaca. Terpulanglah kepada individu, sama ada akan mengambil berat pesanan yang disampaikan, atau sekadar menikmatinya. Pesanan yang berupa aforisme bersifat padat. Oleh itu, pesanan mudah melekat di minda sesiapa yang membaca atau mendengarnya. Pesanan yang sesuai dengan peribadi seseorang akan melekat di akal, dan terbawa-bawa dalam amalan.

Sasterawan Negara, YBhg. Dato’ Rahman Shaari membicarakan buku Himpunan Puisi Dr. MAZA: Jambangan Puisi Jentikan Nurani.

Perkara itu dikongsi oleh Sasterawan Negara (SN), YBhg. Dato’ Rahman Shaari ketika membicarakan buku Himpunan Puisi Dr. MAZA: Jambangan Puisi Jentikan Nurani karya Sahibus Samahah Profesor Dato’ Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin atau lebih dikenali sebagai Dr. MAZA pada pagi ini. Buku ini merupakan hasil nukilan Dr. MAZA yang dikumpulkan sejak dari tahun 1994 hingga 2021. Sepanjang 27 tahun tersebut, beliau berjaya menghimpunkan 62 buah puisi, termasuklah tiga buah pantun yang berkisar tentang pengalaman beliau dan realiti kehidupan masyarakat setempat. Selain itu, kesemua karya tersebut turut mempunyai nilai dan pengajaran yang mampu menyentuh sanubari setiap pembaca dan sekali gus memberikan didikan kepada masyarakat.

Menurut SN Dato’ Rahman Shaari, dalam bicara ini penulis bertujuan memetik aforisme daripada puisi. Terdapat puisi panjang yang berkesan, namun pembaca hanya teringat akan kekuatan sebaris atau dua baris sahaja. Sebagai contoh, terdapat beberapa puisi yang tersedia kata-kata yang kukuh, yang dapat dijadikan aforisme yang kemas. Pesanan Dr. MAZA melalui sajak “Sebuah Mahligai Pasir” cukup berkesan. Saya kemukakan empat baris awal sajak tersebut:

Sebuah mahligai pasir di tepian pantai
Sekalipun indah, tapi binaannya lemah
Bila dihempas badai mahligai pun berkecai
Tersadai dan tersepai.

Pesanan daripada Dr. MAZA secara simboliknya adalah supaya sesiapa sahaja membina mahligai yang kukuh. Jangan utamakan keindahan melebihi kekuatan. Apabila keseluruhan sajak ini dibaca dengan rapi dan teliti, kita akan berbalik pada bahagian awal itu juga. Aforisme yang dapat kita cipta ialah “Mahligai indah yang lemah, dihempas badai berkecai”. Penulis yakin, aforisme ini melekat di fikiran pembaca. Pembaca tentu bersetuju bahawa Dr. MAZA telah memberikan satu peringatan yang berguna, iaitu peringatan tentang kemungkinan berkecainya harapan jika seseorang kekurangan ilmu.

Kandungan sajak “Yang Benar Tetap Benar” juga berupaya untuk dijadikan aforisme. Rangkap keduanya kemas:

Hantarlah bicara yang benar
agar mengalir ke setiap alur dan datar,
ke hutan belukar dan paya terbiar
ke desa yang pudar dan bandar yang besar.

Prinsip yang dikemukakan oleh penyair bersifat pendidikan (educational). Penyair mengatakan bahawa kebenaran tetap mengatasi kebatilan. Jadi, pertahankan yang benar walaupun di mana-mana kita berada. Penulis mencadangkan rekonstruksi yang menghasilkan aforisme begini: Benar tetap benar, walau di belukar atau di bandar. Kata ‘belukar’ melambangkan kawasan yang jarang dimasuki manusia, manakala bandar ialah tempat yang maju dan ramai. Aforisme ini menjadi tema sajak “Yang Benar Tetap Benar”.

Dr. MAZA juga menulis pantun. Tambah SN Dato’ Rahman Shaari, dalam pantun yang dinukilkan oleh Dr. MAZA, beliau tidak hanya menumpukan perhatian terhadap rima akhir baris, tetapi juga rima di pertengahan baris. Perkara ini menandakan kesungguhan kerapiannya dalam mencipta setiap rangkap pantun. Perhatikan rangkap pertama dan rangkap terakhir pantun yang berjudul “Cari Ganti”.

Kota sarat disimpan tempayan,
      Zahir berlian disunyi hari;
Harta rakyat dijadikan taruhan,
       Akhir kebencian menjadi api.
                       
Pergilah mandi berbau setanggi,
      Jalan tersepak tali pencuci;
Carilah ganti berbudi tinggi,
      Bukan perompak ganti pencuri.

Jelas SN Dato’ Rahman Shaari lagi, pantun di atas mungkin berkaitan dengan perkembangan politik di mana-mana negara. Itu tidaklah terlalu penting, dan tidak menjadi fokus bicara ini tetapi perkara yang ingin diperlihatkan oleh penulis ialah rupa aforisme, yang dapat kita hasilkan. Oleh itu, penulis mencadangkan aforisme ini: “Kalau mencari ganti, janganlah perompak ganti pencuri”. 

Pantun yang berjudul “Cari Ganti” tidak hanya menumpukan perhatian terhadap rima akhir baris, tetapi juga rima di pertengahan baris.

SN Dato’ Rahman Shaari mengakhiri pembicaraannya dengan mengatakan bahawa pesanan daripada aforisme tidak mengkhusus pada mana-mana lapangan. Perkataan ‘perompak’ dan ‘pencuri’ ialah lambang-lambang. Maksudnya, pilihlah yang terbaik, untuk membina kehidupan yang bahagia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!