Oleh Nisah Haron
22 Julai 2022, 22:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

“Penyenaraian ini penting sebagai indeks dan hala tuju anugerah kerana di sinilah letaknya penanda aras bagi tahap pengkaryaan.” ~ Nisah Haron

(“Finalis HSPM sebagai Indeks Sastera Malaysia”, Dewan Sastera Mei 2010)

Nisah Haron meneliti kembali betapa pentingnya sesebuah perjalanan anugerah sastera disusun secara strategik demi pengukuhan perkembangan sastera yang cemerlang.

Setelah lebih sepuluh tahun berlalu, saranan yang diutarakan dalam artikel tersebut masih lagi terbiar tanpa sebarang tindakan positif yang ketara daripada pihak penganjur.

Apabila mengimbau kembali tulisan sendiri yang berjudul “Finalis HSPM sebagai Indeks Sastera Malaysia” (Dewan Sastera Mei 2010) untuk mengulas cerpen-cerpen yang telah menerima hadiah itu untuk siaran Secangkir Kopi Jam 10 baru-baru ini, terasa seperti membuka kembali lipatan sejarah sastera yang masih berdebu. Dalam artikel itu, saya memberikan respons setelah membaca laporan panel hakim Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2006/2007 dan mahu supaya senarai pendek HSPM menjadi suatu indeks atau petunjuk kepada landskap kesusasteraan tanah air.

Setelah lebih sepuluh tahun berlalu, saranan yang diutarakan dalam artikel tersebut masih lagi terbiar tanpa sebarang tindakan positif yang ketara daripada pihak penganjur. Saya telah menjelaskan juga tentang kepentingan menguaruarkan senarai pendek untuk sebarang anugerah sastera, khususnya HSPM, sebelum keputusan muktamad diumumkan. Hal ini akan membina fenomena yang membuka ruang untuk membincangkan karya-karya yang tersenarai serta mencipta pelbagai jangkaan dan tekaan akan pemenang yang bakal diumumkan.

Sesebuah karya yang malar segar bermula apabila karya itu terpilih untuk diterbitkan atau dimenangkan. Sebelum itu, sesebuah karya melalui tiga takah ujian:

  1. Ujian juri
  2. Ujian masyarakat sastera
  3. Ujian zaman

Setiap takah menaikkan lagi nilai dan prestij karya tersebut. Sesudah itu, kita akan melihat hayat karya dan kepengarangan pengkaryanya dalam mendepani lautan kesusasteraan yang luas dan dalam ini.

Perbezaan antara Senarai Pendek dengan Laporan

Lonjakan jualan pastinya berlaku bukan sahaja bagi buku yang memenangi hadiah ini kemudiannya tetapi yang berada dalam senarai pendek ini juga mendapat tempiasnya.

Mendahului senarai pendek ialah sebuah senarai panjang atau lebih dikenali sebagai longlist. Umum mengetahui, untuk mendapatkan suatu senarai penerima hadiah, proses penyisihan dilakukan. Selepas menolak karya yang terkeluar (disqualified) atas sebab-sebab seperti teknikal, kandungan dan sebagainya, pilihan dilakukan untuk karya yang berpotensi dimenangkan.

Dalam masyarakat sastera antarabangsa, memasuki senarai panjang dalam mana-mana sayembara atau hadiah menjadi suatu permulaan yang amat mencerahkan – kedua-dua pengarang dan pembaca. Ketika ini, kedai-kedai buku dan kumpulan-kumpulan pembaca mula mencari buku-buku ini. Kedai-kedai buku menggunakan kesempatan ini untuk membuka rak khusus yang memfokuskan karya pencalonan yang dimasukkan ke dalam senarai panjang bagi kategori buku dan kumpulan cerpen atau puisi. Lonjakan jualan pastinya berlaku bukan sahaja bagi buku yang memenangi hadiah ini kemudiannya tetapi yang berada dalam senarai pendek ini juga mendapat tempiasnya. Penambahan stok buku dan pesanan kepada penerbit bakal melonjakkan lagi jualan setiap judul yang tersenarai.

Terdapat tempoh antara pengumuman senarai panjang dan senarai pendek. Pada ketika ini, sudah boleh dijangka antisipasi pembaca yang semacam menjadi “juri umum” bagi setiap karya. Ciapan-ciapan dan komen-komen akan riuh di media sosial. Mereka yang terpinga-pinga kerana baru mendengar tentang judul atau pengarang tertentu mendapat maklumat baharu dan teruja untuk mendapatkan karya itu kerana enggan menjadi kelompok yang tertinggal. Hal ini menjadikan masyarakat sastera khususnya menjadi peka dan masyarakat umum pun memberikan perhatian.

Beberapa bulan kemudian, diumumkan pula senarai pendek dan tarikh pengumuman itu pula diberi peringatan pada setiap hari. Dapatkan anda bayangkan rasa ingin tahu yang membuak-buak dan berita seperti ini bukan sahaja melintas di media sosial tetapi di media cetak dan media elektronik juga! Tidak cukup dengan itu, juri bagi hadiah ini juga sudah diumumkan lebih awal bagi masyarakat sastera menilai prestij hadiah yang bakal diumumkan ini.

Dalam artikelnya, “Man Booker: Who Decides What Makes a Good Book, the Experts or the Readers?”, Jo Adetunji (2017) menyebut tentang kepentingan masyarakat sastera membaca karya yang telah disenarai pendek oleh juri. Walaupun keputusan muktamad ialah hak juri, tetapi hal itu tidak mengurangkan hak pembaca dalam memberi makna dan pendapat mengikut tahap kefahaman masing-masing. Juri tidak perlu berasa terancam atau terpengaruh dengan komentar atau riuh-rendah pembaca di media sosial, sebaliknya terus menjalankan tugas yang telah diberikan.

Pengalaman ini saya petik ketika menjadi juri kategori cerpen dalam Golden Point Award 2021 anjuran The Art House Limited dengan kerjasama The National Arts Council, Singapura. Tarikh untuk pengumuman senarai pendek itu juga diberikan kira detik (countdown) supaya fenomenanya dapat dibina dan menarik perhatian masyarakat sastera tempatan. Amalan seperti ini turut dilakukan oleh Man Booker Prize yang mengumumkan senarai pendek sebelum mengumumkan buku terbaik. Ketika ini, kedai buku tempatan seperti Kinokuniya dan kadang-kadang MPH juga mengambil peluang mempromosi judul-judul ini sementara masih berada dalam tempoh penjurian.

Kaedah ini juga telah dilakukan dalam Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) beberapa tahun sebelum hadiah itu berakhir dengan pembubaran Kumpulan Utusan pada tahun 2019. Kesannya, karya eceran yang diumumkan dalam senarai pendek walaupun tidak memenangi kategori berkenaan diberikan perhatian oleh pembaca. Hal ini memberikan inspirasi dan semangat kepada penulis, isyarat kepada editor dan juga peluang untuk pihak-pihak ini memperbaiki karya masing-masing pada masa hadapan.

Baca Bahagian Kedua Reaksi |

Finalis Hadiah dan Anugerah Sastera: Fenomena yang Tidak Dibina (Bhg. 2)

Kredit Gambar: MP7EO/Unsplash

_________________________

Nisah Haron dilahirkan di Seremban, Negeri Sembilan. Beliau merupakan penerima Hadiah Sasterawan Muda Asia Tenggara (MASTERA) pada tahun 2017. Beliau memiliki lima buah novel, puluhan cerpen, esei dan sajak yang terbit dalam akhbar dan majalah tempatan dan antarabangsa, selain terpilih untuk diterjemahkan. Beliau mewakili Malaysia ke International Writing Program di University of Iowa, Amerika Syarikat pada tahun 2015.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.