21 Julai 2022, 09:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tangail – Penyair melukis diksi dalam puisi manakala pelukis menulis puisi dalam warna. Kedua-dua seni ini bermain dengan warna dan kata untuk mencipta keindahan. Memandangkan seni tulis dan seni lukis saling melengkapi, penyair Aminur Rahman mengambil inisiatif untuk mengabadikan nukilan dan lukisan penyair Malaysia di sebuah teratak puisi yang setaraf muzium di Bangladesh.

Aminur Rahman bersama-sama potret lukisan oleh Almarhum Kemala di sudut dinding Teratak Puisi.

Teratak Puisi (Poetry Cottage) yang zahir daripada ilham dan iltizam Aminur Rahman merupakan sebuah rumah seni dua tingkat yang berdiri megah di Konabari, Gopalpur, Tangail berdekatan dengan Sungai Boiran dengan keluasan 1.3 hektar tanah yang penuh kehijauan asli. Tumbuh-tumbuhan hijau, pohon herba, dusun buah-buahan tempatan, dan kolam memancing yang melingkari persekitarannya menggamit perasaan dan mendamaikan jiwa. Jarak dari Dhaka ke teratak indah ini hanya tiga jam perjalanan melalui kenderaan darat.

Menurut Aminur Rahman, saban tahun beberapa orang penyair akan mendapat tajaan sepenuhnya untuk menyiapkan manuskrip mereka di Teratak Puisi ini sebelum diserahkan kepada Poetry Cottage Publishing House untuk diterbitkan sebagai sebuah buku. Persekitaran yang indah, udara yang nyaman dan suasana yang hening dan tenang pasti menjentik perasaan dan membangkitkan ilham untuk berkarya di teratak seni ini.

Teratak Puisi ini dibina dengan niat untuk mengabadikan nukilan dan lukisan penyair dunia. Beberapa buah almari dan sudut dikhususkan untuk karya penyair Malaysia. Antara tulisan dan lukisan yang diabadikan di sini termasuklah hasil seni Almarhum Sasterawan Negara (SN) Ahmad Khamal Abdullah atau Kemala, SN A. Samad Said, SN Zurinah Hassan, Raja Ahmad Aminullah, Raja Rajeswari Seetha Raman, dan pelbagai lagi karya penyair dunia.

Antara koleksi buku yang tersusun kemas di rak pustaka Teratai Puisi.

Sebagai pelukis dan penyair, Aminur Rahman secara peribadi “jatuh cinta” akan lukisan Kemala kerana Kemala tidak melukis dengan menggunakan berus atau pensel, kerana kehidupan insan bermula dengan “titik”. Aliran sufisme yang menjadi idiosinkrasi Kemala bukan sahaja mewarnai tulisan malahan juga lukisannya. Justeru, lukisan Kemala mendapat keutamaan di rumah ini.

Menurut Aminur Rahman, meskipun Kemala sudah tiada namun nukilannya, yakni seni tulis dan seni lukisnya bersimpuh kukuh dan teguh di Teratak Puisi Bangladesh untuk tatapan anak seni seantero dunia.

Kredit Foto: Raja Rajeswari Seetha Raman dan Aminur Rahman

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

Yang Berkaitan

Coretan Puisi

Mata dan Mati

5 April 2024, 09:11
Coretan Puisi

Pintu

5 April 2024, 08:39
Coretan Puisi

Hujan

25 Mac 2024, 14:32
error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.